Rasa hati, rasa lidah

Rasa lidah menjamah durian. Ia amat sedap dan menarik bagi yang sudi merasainya dan sedia untuk belajar erti rasa. Rasa lidah akan mencuba pelbagai jenis makanan. Rasa lidah amat indah ketika ia berada pada dos yang sesuai. Namun kalau ia sudah berlebihan dan diri tidak mampu menelannya, ia akan dimuntahkan. Rasa lidah perlu diasaskan ilmu yang betul. Bagaimana pula dengan rasa hati ?

Rasa hati boleh menjamah emosi kasih sayang. Rasa hati juga boleh menjamah kemanisan iman jika ia difokuskan kepada dalaman sebenar seorang insan. Di manakah ia diperoleh? Salah satunya ialah di waktu berzikir dan bulan Ramadhan.

Ramadhan menerbitkan rasa hati

Rasa hati diterbitkan dengan mengekang rasa lidah dan aspek fizikal. Ketika salah satu elemen dalam diri manusia di’uji’, maka ia akan mendatangkan kecerdasan pada aspek lain. Aspek fizikal tidak cukup untuk hidup di atas muka bumi ini. Ia perlukan intelek untuk berfikir, emosi untuk merasa kasih dan spiritual untuk merasa manis iman.

Kemanisan iman ini dilatih pada bulan Ramadhan. Ketika masa awal Ramadhan, fizikal sedang berubah untuk menyesuaikan keadaan – makanan minumum yang minimum pada siang hari dengan bekalan sahur yang ada. Apabila fizikal sudah sebati dengan makanan yang sedikit, ia akan membuka pintu intelek, emosi dan spiritual yang lebih luas. Intelek mampu berfikir lebih jernih, emosi lebih mantap dan iman makin cemerlang – jika ruh puasa itu diambil dengan pakej al-Quran dan doa di bulan Ramadhan.

Apa jadi kalau hati tidak lagi rasa apa-apa?

Kalau ia tidak rasa apa-apa, ia dalam keadaan bahaya! Bayangkan tubuh fizikal tidak rasa lapar. Ia pasti menghilangkan kelazatan juadah berbuka. Kelaparan diperlukan bagi menghargai sesuatu di peringkat minda, emosi dan rohani.

Kalau Ramadhan datang dilihat menyusahkan dan perginya disambut hilai ketawa, maka ia menandakan hati sedang dalam keadaan parah. Ia amat parah, sehingga perlu disemak kembali apakah yang menyebabkannya menjadi sedemikian.

Ada yang tidak rasa apa-apa pada awal Ramadhan. Amat bahaya.

Ada yang tidak rasa apa-apa pada 10 hari kedua Ramadhan. Bahaya

Ada yang tidak rasa apa-apa di penghujung Ramadhan malah sujud syukur kerana Ramadhan pergi. Baguskah sujud syukur sedemikian ? Atau perlu sujud syukur kerana dapat beribadat ? Tepuk dada tanya iman dan selera serakah. Kedua-duanya akan menjawab dengan jawapan berbeza.

Syawal hadir 

Apabila Syawal hadir dengan rasa lidah, sememangnya bumi Malaysia adalah syuurga untuk lidah yang ingin menjamah pelbagai juadah. Namun kalau hasil Ramadhan ingin diteruskan, Syawal akan menjadi medan untuk melaungkan takbir dan mengucapkan syukur sebagai tanda kemenangan. Hati akan berkata  untuk meneruskan kemanisan iman, dan dalam masa yang sama, si lidah akan berujar: cukuplah sebulan Ramadhan.

Manakah yang berujar dan berkuasa dalam diri anda? Kalau ianya lidah, ia perlu disemak. Kalau ianya hati yang memahami erti kelaparan sebagai ruang menerobos dunia emosi dan spiritual lebih hebat, TAHNIAH! Moga kita dikurniakan taqwa oleh Allah dalam Syawal ini.

Facebook Comments:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Read previous post:
Antara Naqal dan Aqal – Membina Modul

Dalam program baru-baru ini Bengkel R&D Surah al-Kahf, dikongsikan teknik teknik bagaimana untuk membina modul. Ada dua pendekatan: dari aqal

Close