Kegagalan dan Kejayaan Seorang Pemimpin


Pemimpin Itu Gagal, Kecuali..

Semua kepimpinan masa lepas dan kini gagal.

Dalam teori dan dalam amalan, kepimpinan telah menghasilkan kegagalan.

Ianya mungkin terlampau berlebih-lebih untuk menyatakan banyak kepimpinan gagal. Apa buktinya?

Sebelum itu, kita tambah lagi kenyataan; keseluruhan manusiawi dalam kegagalan.

Lebih tajam dan tidak sanggup untuk kita akui bukan?

Dengan segala pencapaian, pembangunan dan kejayaan, bagaimana boleh dikatakan kepimpinan dan kemanusiaan kita telah gagal?

Namun asasnya, keseluruhan manusia dalam kegagalan, seperti yang dinyatakan al-Quran dalam Surah Al-Asr.

Pemimpin sebagai seorang insan, manusia, tidak terlepas membawa kepimpinannya dan manusia-manusia yang lain dalam kegagalan jika satu aspek yang penting ini tidak menjadi agenda utamanya.

Agenda itu adalah agenda iman, amal kebaikan dan saling menasihati.

Untuk itu tanda aras kepimpinan dulu, semasa dan akan datang yang tidak gagal dan berjaya adalah yang membawa agenda keimanan.

Pemimpin Yang Berjaya Belajar- Pemimpin Yang Berjaya Memberi Tunjuk Ajar.

Kitaran Kepimpinan

Kitaran Kepimpinan Belajar – Mengajar

 

 

Pemimpin dari aspek kemanusiaannya akan mencapai kejayaan dengan empat langkah dari Surah Al-Asr (Ibn Qayyim, Miftah Dar As-Saadah).

Kita mudahkan bentuk visual empat langkah tersebut sebagai Kitaran Kepimpinan Belajar – Mengajar.

Sebelum Tuhan memberikan jalan keluar dari kegagalan, Tuhan memperingatkan ‘masa’ dengan sumpah, agar masa tidak disia-siakan, jangan diabaikan. Sejarah kemanusiaan, kepimpinan, dan ketamadunan ditentukan oleh edaran masa. (Hamka, Tafsir Al-Azhar)

Pemimpin yang menyedari masa (usia dan waktu kepimpinan) amat terhad, akan mengoptimumkan masa tersebut dengan agenda iman:-

Pertama, mempelajari kebenaran. Belajar pelbagai subjek dan kemahiran akan membantu meningkatkan keupayaan seseorang untuk memimpin. Namun diatas semua itu yang akan memandu kemahiran kepada kebaikan adalah keimanan. Iman menimbulkan keinsafan dari kesedaran bertuhan. Iman menjawab tujuan hidup dan kepimpinan yang digalas. Iman menimbulkan tekad untuk membawa semua manusia dekat kepada akhirat.

Itulah kepimpinan yang sebenarnya.

Kedua, mengamalkan apa yang telah dipelajari. Pemimpin akan sentiasa dinilai melalui perancangan, aktiviti, strategi dan gerakan yang dilaksanakan kepada organisasi atau negara. Perkara baik yang dilakukan akan terpuji, yang buruk akan merugikan diri dan orang sekeliling. Keimanan perlu dijelmakan melalui dua bentuk- mematuhi suruhan Allah dan membina manfaat kepada manusia.

Ketiga, mengajarkan apa yang telah dipelajari. Kepimpinan adalah interaksi diri – kumpulan – organisasi. Mencapai matlamat bersama dihubungkan dengan tali persaudaraan dan saling memahami. Tolong-menolong; beri-memberi; belajar-mengajar; nasihat-menasihati; dengan berpandukan kepada nilai kebenaran akan memberi keuntungan kepada seluruh tingkat interaksi.

Keempat, sabar dalam belajar, mengamal dan mengajarkan. Putaran masa akan sentiasa membawa roda kehidupan naik dan turun. Malah iman juga ada masa meningkat, mendatar atau menjunam. Boleh jadi pemimpin menjadi lemah dalaman. Boleh jadi pemimpin berdepan tekanan luaran. Konflik-konflik ini adalah ujian komitmen pemimpin untuk setia dengan kebenaran. Belajar dari pengalaman dan mempelajari kisah-kisah manusia kuat keazaman akan membuka keluasan dada kepada pemimpin.

Masa Sebagai Modal Legasi Pemimpin

Masa tidak terhenti, namun usia akan sampai ke penghujung. Agenda keimanan masih perlu diteruskan walau seorang pemimpin itu sudah tiada lagi. Untuk itu peranan belajar dan mengajar menjadi satu faktor paling kritikal yang perlu dilaksanakan seorang pemimpin.

Dalam masa sama, jika pemimpin berusaha memenuhi masanya dengan membina legasi kebaikan, setelah dia mati jasanya akan tetap hidup seiringan selama masa berjalan. Kadang-kadang jasa itu lebih hidup lama daripada masa jasadnya sendiri.

Facebook Comments:

Leave a Comment

Read previous post:
Minta tolong?

Ada 11 kali perkataan 'minta tolong' diulang dalam al-Quran. Berikut saya senaraikan dengan makna bersama konteks. Nabi dituduh dibantu untuk...

Close