Lintasan-Lintasan Keimanan Dari Surah Maryam

Ketokohan Maryam Adalah Sebuah Peringatan

Tokoh-tokoh yang ada disebutkan dalam Al-Quran adalah untuk menjadi peringatan yang akan mendatangkan manfaat dalam kehidupan beragama. Salah seorangnya adalah Maryam ibu Nabi Isa AS. Dalam Surah Maryam ayat ke 16

Maryam. 16

Dan ceritakanlah (Muhammad) kisah Maryam didalam kitab, ketika dia mengasingkan diri dari keluarganya ke suatu tempat disebelah timur (Baitulmaqdis).

Kebanyakan terjemahan al-Quran akan menggunakan terjemahan ceritankah walaupun secara harfiah perkataan yang digunakan adalah wazkur dari perkataan zakara yang membawa pengertian ingatkanlah.

Tujuan asal ayat ini diturunkan adalah untuk diberikan kepada kaum Yahudi, seolah al-Quran berkata pada Rasulullah SAW; Ingatkanlah kepada kaum Yahudi akan Maryam yang ada disebutkan dalam kitab al-Quran.  Mereka menyelewangkan peribadi Maryam, sedangkan al-Quran mengangkatnya sebagai wanita suci dan mulia.

Melalui Surah Yusuf pula, kisah perjalanan hidup Nabi Yusuf secara spesifik diangkat sebagai sebuah cerita.

Yusuf. 3

Kami ceritakan kepadamu kisah yang paling baik dengan mewahyukan al-Quran ini kepadamu. (Surah Yusuf, 12: 3).

Perbezaan kata wazkur dan qasas akan membawa perbezaan yang signifikan dalam konteks setiap kali perkataan itu digunakan. Seperti yang dicontohkan diatas, ketika perkataan qasas (cerita) disebutkan pada awal Surah Yusuf, ia membawa pembaca untuk mengambil pelajaran langkah demi langkah melalui tauladan Nabi Yusuf. Kisah kehidupan Nabi Yusuf boleh dicontohi dalam semua aspek kerana pelajarannya amat manusiawi.

Adapun dalam konteks Maryam, tidak semua perkara perlu dicontohi kerana ada unsur yang istimewa yang khusus untuk Maryam sahaja.

Dan ketika malaikat berkata; Wahai Maryam sesungguhnya Allah memilihmu dan mensucikanmu dan melebihkanmu dari sekalian wanita diseluruh alam. (Surah Ali-Imran, 3: 42)

Allah memilih Maryam dengan menjadikannya tidak sama dengan wanita-wanita lain didunia. Maryam hidup sentiasa dalam kelancara kekuasaan Allah sebagai suatu persediaan kepadanya untuk kelahiran Nabi Isa ‘alaihissalam.

Sheikh Mutawalli Sya’rawi turut mengatakan, dalam ayat itu Allah tidak menggunakan perkataan ‘wanita bumi’ akan tetapi perkataan ‘wanita di seluruh alam’, iaitu jenis wanita dari bangsa manusia, jin dan seluruh makhluk Allah Swt. Itulah mukjizat proses kelahiran manusia dari seorang perempuan tanpa sentuhan lelaki yang tidak akan berulang lagi sampai bila-bila.

Apa Yang Ingin Diingatkan Surah Maryam?

Kisah-kisah disebutkan dalam al-Quran untuk menarik perhatian pembaca kepada peristiwa yang berhubungan dengan sebab dan akibat. Apabila dalam peristiwa itu terselip pesan-pesan dan pelajaran mengenai peristiwa-peristiwa terdahulu, rasa ingin tahu merupakan faktor paling kuat yang dapat menanamkan kesan peristiwa tersebut ke dalam hati.

Bagaimanapun terdapat peristiwa-peristiwa yang tidak terikat kepada sebab dan akibat. Peristiwa ini wujud sebagai satu bukti kekuasaan Allah kepada manusia terutamanya kepada golongan yang berfahaman material. Keistimewaan para Rasul yang diberikan mukjizat yang tidak terikat dengan sebab dan akibat ini banyak disentuh dalam Surah Maryam. Dan Surah Maryam, selepas Surah al-Kahf, amat spesifik ditujukan pada golongan Yahudi dan Nasrani yang hanya mahu beriman secara material.

Pemilihan Maryam sebagai nama surah juga menggambarkan tujuan pusat surah ini yang membawa pesan kelancaran kuasa Allah yang melangkaui sebab dan akibat.

Untuk itu setiap kali satu tokoh penting disebutkan dalam Surah Maryam, ianya disebutkan sebagai uzkur dan bukannya qasas. Peristiwa-peristiwa dalam Surah Maryam adalah peringatan yang melebihi dari sebuah cerita. Ianya adalah peringatan untuk diimani tanpa terikat kepada sebab dan akibat.

Selain tokoh Maryam, ada

Dan ceritakanlah kisah Ibrahim didalam kitab (al-Quran), sesugguhnya dia seorang yang sangat mencintai kebenaran lagi seorang nabi. (19: 41)

Dan ceritakanlah kisah Musa didalam kitab (al-Quran), dia benar-benar orang yang terpilih, seorang rasul dan nabi (19: 51)

Dan ceritakanlah kisah Ismail didalam kitab (al-Quran), dia benar-benar seorang yang benar janjinya, seorang rasul dan nabi. (19: 54)

Dan ceritakanlah kisah Idris didalam kitab (al-Quran), sesungguhnya dia seorang yang sangat mencintai kebenaran dan seorang nabi. (19: 56)

Kebanyakan terjemahan akan menggunakan ‘dan ceritakanlah’. Berbeza dengan Hamka dalam Tafsiz Al-Azhar menggunakan ‘dan ingatkanlah’ untuk lebih jelas penekanan kata wazkur.

Peringatan akan dapat menimbulkan perasaan takut sehingga seseorang akan sentiasa mengingat Allah, kata Sheikh Ibn Taimiyyah.

Untuk itu apa yang diingatkan Surah Maryam disini adalah keteguhan iman mereka. Meyakini mereka adalah manusia pilhan Allah untuk kita mengikut jejak-jejak keimanan.

Berinteraksi Dengan Ayat-Ayat Mukjizat

Penulis, dengan keterbatasan ilmu, cenderung untuk membetulkan salah faham masyarakat yang mahu mengikuti orang-orang pilihan Tuhan ini pada aspek yang bukan menjadi tujuan mesej al-Quran.

Contohnya dalam peristiwa kelahiran Maryam secara bersendiri, tidaklah al-Quran menjadikan itu sebagai mesej proses kelahiran semulajadi yang perlu dicontohi segenap wanita. Menjadikan proses Maryam melahirkan bayi tanpa bantuan apa-apa bahan perubatan sebagai dalil kaedah beranak yang bagus, serta mempromosi makan buah kurma selepas bersalin seperti Maryam adalah tidak tepat, malah sekaligus salah meletakkan konteks tujuan Surah Maryam diturunkan.

Disini al-Quran bukan ingin menunjukkan kaedah bersalin. Al-Quran ingin menggambarkan kekuasaan Allah pada seorang insan pilihan, Maryam. Adapun wanita yang lain adalah manusia umum, mereka perlu melalui proses bersalin yang telah ditetapkan sunnatullah. Termasuk sunnatullah adalah mengambil nasihat serta pandangan orang yang pakar dan ahli perubatan, baik doktor atau bidan yang diiktiraf.

Secara syariatnya ayat itu mengajar akan kesedaran bertawakal, kesabaran menghadap ujian, meyakini pertolongan Allah yang masih perlu dipegang erat-erat setiap wanita dalam apa jua keadaan terutama keadaan genting dan cemas.

Begitu juga dengan sesetengah yang meletakkan kaifiat Surah Maryam dibaca ketika ibu mengandung untuk melancarkan proses bersalin. Perkara ini tidak pernah dikhabarkan melalui percakapan Rasulullah SAW. Cukuplah membacanya untuk mengingatkan diri akan kekuasaan Allah yang sentiasa menjaga hamba-hambaNya yang beriman, dari dalam kandungan sehingga dewasa. Moga-moga Surah Maryam juga akan dibaca tidak kira waktu hamil atau bukan, kerana mesejnya amat besar untuk dibataskan pada satu waktu tertentu sahaja.

Melalui tokoh-tokoh itu, al-Quran tidak menggesa seseorang bersalin tanpa bantuan perubatan seperti Maryam, berdakwah sehingga dicampak dalam api seperti Nabi Ibrahim, sanggup berkorban diri seperti Ismail, atau naik ke tempat suci untuk bercakap dengan Tuhan seperti Musa. Al-Quran hanya menggesa seseorang beriman kepada Rasulullah SAW yang menyampaikan cerita itu, dan itu sudah cukup membuktikan keimanan seseorang tanpa melalui cabaran seperti insan-insan pilihan itu.

Al-Ghasiyyah. 88

Maka berilah peringatan (fazakkir), sesungguhnya engkau hanyalah pemberi peringatan. (Surah al-Ghasiiyyah, 88: 21)

Berinteraksi dengan lintasan ayat-ayat mukjizat serta tokoh-tokoh seperti ini lebih mendamaikan malah lebih menunjukkan sisi praktikal ajaran al-Quran yang diturunkan untuk menambahkan iman manusia.

 

 

Facebook Comments:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Read previous post:
Fasabrun jameel… Melihat secara sistemik

Apabila berhadapan dengan karenah anak membawa baju berlumuran darah tipu, fasabrun jameel. Apabila si adik hilang selepas bertemu dengan pemerintah

Close