Surah al-Alaq: Penyelesaian masalah yang silih berganti

Zaman itu penuh dengan kerosakan. Nabi berada dalam satu umat yang dipandang ringan oleh Parsi dan Rom. Umat yang tidak pandai membaca. Nabi diselebungi pelbagai masalah yang melanda kehidupan sekeliling bumi Mekah. Ada yang menanam anak perempuan hidup-hidup. Ada yang menghambakan wanita. Pesta ibadah di sekitar Kaabah tidak membawa kepada konsep Hanif seperti mana berlaku di zaman Nabi Ibrahim lagi.

Nabi bermenung. Nabi mengasingkan diri di Gua Hira’. Berulang alik ke sana, disokong oleh isteri tercinta Saidatina Khadijah. Hingga turun wahyu pertama, Iqra’!

Nabi tidak pandai membaca.

Dibaca lagi: Iqra’.

Nabi tidak pandai membaca.

Lantas dipeluk untuk kesekian kalinya, lantas Nabi mengikut bacaan malaikat Jibril hingga ayat kelima Surah al-Alaq. Wahyu itu tidak diletakkan pada urutan pertama dalam mushaf Quran kini tetapi pada urutan no 96, antara Surah at-Teen dan Surah al-Qadr.

Wahyu pertama dan urutan 95,96 dan 97

Iqra’ disetujui sebagai wahyu pertama untuk menjadi latar betapa dalam Islam, membaca adalah satu asas untuk membina keimanan dan keberagamaan. Bacaan itu bukan sekadar bermaksud membaca tulisan dari majalah atau buku, tetapi ‘menghimpunkan beberapa perkara hingga menjadi sesuatu yang bermakna’. Inilah asas Iqra’.

Jika yang dibaca itu ialah B, A, C dan A, maka maknanya ialah BACA.

Jika yang dibaca itu ialah nombor 1, nombor 2, nombor 3 dan nombor 4, ia boleh menjadi 1234 atau boleh juga menunjukkan pola sesuatu jualan yang berlaku dalam satu bisnes yang sedang diusahakan.

Jika yang dibaca itu dari alam, maka kita akan nampak matahari, bulan, awan, malam dan siang tidak terjadi secara automatik. Pasti ada yang menyusunnya, seperti artikel ini tersusun rapi bukan secara rawak. Keberangkaliannya ialah 1 daripada beberapa ribu huruf dan perkataan.

Jika yang dibaca itu dari mimik muka manusia di sesuatu tempat, maklumat sosial dapat dibaca dengan baik.

Itulah kehebatan IQRA’. Ia akan menjadi amat hebat apabila dilaksanakan dengan nama Tuhan.

Apabila surah ini diletakkan pada urutan 96 antara Surah at-Teen dan Surah al-Qadr, ia melonjakkan lagi kehebatan IQRA’ dengan nama Rabb.

Mengapa? Surah at-Teen ada khabar gembira: manusia dicipta sebaik-baik kejadian. Surah al-Alaq menyeimbangkan intipati Surah at-Teen bahawa khabar itu tetap akan  gembira apabila khabar amaran disekalikan. Basheer dan Nazeer dari Allah.

Surah al-Qadr memperincikan apa yang telah dinyatakan dalam Surah al-Alaq.

Dalam Surah al-Alaq, Allah membawakan amaran demi amaran.

Amaran demi amaran untuk kita

1. Amaran Allah menjadikan manusia dari segumpal darah

Nabi mencari penyelesaian cabaran pelbagai yang ada. Nabi memerhati dan bertafakur. Mengasingkan diri untuk mencari penyelesaian. Allah memberi penyelesaian dengan amaran pertama: Allah menjadikan manusia dari segumpal darah.

Banyak masalah yang ada dalam kehidupan kita dapat di’teka’ jalan penyelesaiannya.

Seorang ayah di rumah boleh ‘meneka’ bagaimana untuk melonjakkan mutu akademik si anak dengan pelbagai cadangan yang boleh difikirkan atau dibincangkan.

Seorang bos boleh ‘meneka’ apakah penyelesaian kepada masalah bisnes atau staf yang tidak menunjukkan kerja yang bagus.

Seorang guru boleh ‘meneka’ apakah kaedah untuk melonjakkan prestasi sekolah.

Bagaimana pula dengan seorang individu yang masih tidak bertemu pasangan? Adakah dia mampu ‘meneka’ penyelesaiannya: seorang pemuda Perak yang dibesarkan di Johor mampu bertemu seorang pemudi Sabah yang tinggal di Pulau Pinang dan pertemuan itu berlaku di US lantas bernikah di Malaysia?

Bukan itu sahaja. Pertemuan itu ditentukan dengan pertemuan-pertemuan lain hingga lahir seorang insan dari segumpal darah. Siapakah yang mampu ‘meneka’ penyelesaian kepada ‘masalah’ ini?

Bagi yang sudah bernikah, ini mungkin dipandang remeh. Namun bayangkan mereka yang masih tidak bernikah sampai sekarang.

Bagi yang sudah dikurnia anak, ini mungkin dipandang remeh.  Bayangkan mereka yang masih belum dikurniakan anak.

Lahirnya seorang insan dari segumpal darah itu petanda penyelesaian hebat dari Yang Maha Menciptakan. Jika yang sekompleks itu mampu dilaksanakan, sukarkah menyelesaikan kemelut dalam diri, keluarga dan masyarakat? Tidak sukar bagi membaca dengan nama Tuhan.

2. Amaran mendekati Allah Yang Maha Mulia

“Aku tak pastilah kalau penyelesaian ini ok atau tidak.”

“Kau buat sahaja,”cadang seorang rakan.

Ramai akan membuat keputusan untuk memuaskan diri atau orang lain. Dalam ayat ketiga Surah al-Alaq, Allah menekankan tentang penyelesaian yang dibuat perlulah dirujuk kepada Yang Maha Mulia.

Apabila seorang rakyat amat rapat dengan rajanya, pasti si rakyat akan dipandang mulia oleh orang sekeliling. Apabila si hamba itu amat rapat dengan Yang Maha Mulia, pasti Yang Mulia akan memuliakannya.

…Yang paling mulia di sisi Allah ialah yang paling bertaqwa (Surah al-Hujurat, 49:13)

Apakah rahsia menjadi orang mulia? Bertaqwa dengan menjadikan al-Quran sebagai petunjuk.

Inilah kitab yang tiada keraguan, petunjuk kepada orang bertaqwa (Surah al-Baqarah, 2:2)

Apakah kesan kalau tidak mendekati yang Maha Mulia? Seseorang itu akan dibiarkan dengan dirinya untuk menentukan nasibnya yang amat malang!

3. Amaran nikmat qalam dan pelajaran dari Tuhan

Penyelesaian masalah sering dikaitkan dengan catatan dan ilmu yang banyak. Catatan dengan pena dan ilmu yang banyak itu bukan datang dengan tiba-tiba, biarpun ramai yang sudah ada SPM, ijazah atau PhD akan mendabik ini adalah usahanya untuk mengecap ilmu yang ada.

Allah menegaskan nikmat yang besar: pena dan ilmu yang diajarkan itu datang dari Allah – Tuhanmu dan Tuhan Yang Maha Mulia. Dua nikmat ini perlu diuruskan dengan baik kerana ia banyak menyebabkan manusia melampai batas serta merasakan diri ‘sudah bagus’.

Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan; (96:4) 
Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya. (96:5)

Ingatlah! Sesungguhnya jenis manusia tetap melampaui batas (yang sepatutnya atau yang sewajibnya), (96: 6)
Dengan sebab dia melihat dirinya sudah cukup apa yang dihajatinya. (96:7)

Ubat kepada semua masalah yang ada

Sudah tentu kembali kepada Allah.

(Ingatlah) sesungguhnya kepada Tuhanmulah tempat kembali (untuk menerima balasan) (96:8)

“Saya tidak pandai baca Quran.”

Dulu saya tidak pandai ilmu kimia. Apabila digembar-gemburkan bahawa ilmu ini akan menjadikan saya seorang jurutera kimia yang baik, statusnya tinggi dan akan dapat gaji yang banyak, ia menyebabkan saya bersama rakan-rakan lain yang bertungkus lumus untuk memahami dan menghafaz pelbagai formula.

Quran ini pasti akan menaikkan darjat sesiapa yang membaca, mengkaji, memahami serta memahaminya sampai ke akhirat. Ia boleh bermula dengan mengeja perlahan-lahan, diikuti bacaan dan hafazan.

“Saya tidak pandai bahasa Arab.”

Terjemahan al-Quran yang ada boleh membantu. Ia amat berbaloi untuk diambil masa dan dikaitkan dengan diri untuk memandu kehidupan di atas jalan yang benar. Jalan yang benar ini sifatnya lurus. Jalan paling pendek dalam hidup ialah jalan yang paling lurus.

“Bagaimana kau selesaikan perkara ini?” tanya Ahmad.

“Buat A, B, C, D, E dan F. Bagaimana pula kau?” jawab seorang rakan.

“Aku ikut kaedah A, B dan C sahaja untuk berjaya,” jawab Ali.

“Eh bestnya kalau dapat selalu jalan pintas macam kau, Ali. Aku selalu je kena ikut jalan panjang untuk mendapatkan kejayaan dan ketenangan dalam hidup.”

Itulah manfaat jalan yang lurus. Jalan yang menjimatkan masa dan tidak perlu mengambil risiko yang tinggi untuk berjaya. Syaratnya? Dapatkan penyelesaian itu dari Yang Maha Menciptakan.

Petanda Membaca dengan Nama Tuhanmu

Apabila seseorang itu menyelesaikan masalah hidup dengan nama Tuhan, ia akan beroleh jalan pintas. Yang mengikut jalan bengkang-bengkok ini akan mempunyai ciri begini:

1) Suka melampau batas

2) Rasa diri bagus tanpa perlu pertolongan Tuhan

3) Menghalang orang lain solat dan melaksanakan ibadah lain

4) Rasa tidak senang pada orang yang beroleh hidayah

5) Rasa tidak senang pada orang yang menyeru kepada taqwa

6) Suka mendustakan dan berpaling pada seruan kebaikan

7) Bersama dengan kelab atau kumpulan yang berdusta dan tersilap

8) Akan bermusuh dengan malaikat Zabaniyyah yang akan menghumbankan orang derhaka ke dalam seksaan

Ada petanda yang penting dalam Surah al-Alaq bagi menunjukkan kita semua sedang membaca dengan nama Tuhan atau menyelesaikan masalah kehidupan dengan asas Ilahi:

1) Banyak bersujud kepada Allah

2) Banyak melaksanakan perkara-perkara yang mendekatkan diri kepada Allah.

Berapa banyak sujud anda hari ini? Apabila sujud wajib sudah dilaksanakan pada tepat masanya, itu tanda anda membaca dengan nama Tuhanmu.

Berapa banyak perkataan dan amalan kebaikan mendekatkan diri kepada Allah hari ini? Apabila ia makin banyak, ia melambangkan cara berfikir kita dalam menguruskan hidup adalah berteraskan pedoman Rabbani.

Tahniah! Surah al-Alaq tetap relevan sebagai pedoman menyelesaikan masalah yang silih berganti dalam diri manusia pada setiap ketika.

 

 

 

 

 

 

Facebook Comments:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Read previous post:
‘Long term result, short term process’

"Aku tak tahu bagaimana nak buat kerja." "Mengapa?" Tanya Ahmad. "Bila aku fikir pasal result, aku tension. Bila aku fikir

Close