Harta dunia

“Banyak cantik muka mereka, tanah di kampung tu arwah nenek kamu yang beli! Dulu, semasa nenek kamu masih hidup, masing-masing tak mahu tanah itu. Tengoklah sekarang, semua berebut nak beritahu bahawa mereka juga ada bahagian atas tanah itu,” Harun mendengar luahan hati ibunya yang geram dengan sikap adik-beradik arwah ibunya.

“Tokcik kamu yang pandai-pandai ubah nama dalam geran tanah, sepatutnya tanah itu peninggalan arwah nenek kamu untuk mak dan paksu kamu sahaja. Geran asal di pejabat tanah juga kata mereka sudah hilang. Bagaimana pejabat tanah boleh hilangkan geran asal itu”? Kali ini habis semua pihak dilibatkan. Mencari-cari kesilapan untuk dinyatakan sebagai hujah di hadapan hakim nanti.

Senario seperti ini seperti tidak dianggap janggal dalam kalangan masyarakat. Bukan sahaja dari kalangan yang tidak berpendidikan agama, bahkan yang mempunyai pendidikan agama juga turut terlibat dalam hal yang membabitkan perebutan harta. Pernah satu ketika dahulu, sahabat saya dengan 7 adik beradik semua sudah sepakat dengan pembahagian harta secara sama-rata. Tiba-tiba abang sulong yang belajar Pengajian Fiqh di Jordan membantah keras kerana tahu bahawa bahagiannya akan berkurangan bila dibahagi sama rata.

Dulu, ibu dan ayah bekerja keras dan mengumpulkan harta yang secukupnya demi memastikan anak-anak tidak hidup merempat atau meminta-minta. Namun, amat malang sekali bila harta yang ditinggalkan setelah ibu dan ayah meninggal dunia, menjadi duri dan barah untuk keluarga berantakan dalam perebutan harta yang lazatnya cuma sementara di dunia.

Legasi kekal

Tidak salah untuk ibu dan ayah memastikan kelestarian hidup anak-anak selepas ketiadaan mereka kelak. Bahkan itu sesuatu yang digalakkan agar generasi yang akan datang tidak meminta-minta. Namun, apakah berbaloi dengan peninggalan yang ada, lalu menjadi medan perpecahan keluarga? Abang sulong mula bermasam muka dengan adik bongsu, bertegang leher dengan bapa saudara dan pelbagai reaksi lagi. Sudah pasti ianya amat tidak berbaloi.

Justeru, membina minda keluarga yang memahami ‘legasi kekal’ adalah amat penting. Tidak salah mempunyai ramai anak yang cantik, segak dan sedap mata memandang. Tidak juga satu kesalahan meninggalkan harta berbillion ringgit nilainya. Bahkan, itu boleh menjadi saham berterusan ketika seseorang sudah meninggalkan dunia ini. Apakah ‘legasi kekal’ itu? Firman Allah swt bermaksud:

Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia dan amal-amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan, dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan.

Surah Al-Kahf, 18 (46)

Sememangnya harta dan anak-anak merupakan perhiasan di dunia ini. Dan hanya akan kekal sebagai perhiasan bila manfaatnya terarah pada dunia semata-mata. Ayat di atas memahamkan kita tentang pentingnya menukar harta dan anak-anak menjadi ‘legasi kekal’. Syaratnya adalah dengan menjadikan anak-anak mampu beramal dengan kebenaran di sisi Allah. Anak-anak yang mampu melihat kebenaran dan beramal dengan kebenaran, akan bijak menguruskan harta yang ada dengan menggunakannya untuk tujuan kebaikan yang kekal di sisi Allah.

Ibu Harun pasti akan lebih tenang menguruskan tanah peninggalan arwah ibunya. Beliau akan berfikir tentang manfaat yang lebih besar yang dapat digunakan pada tanah tersebut di mana pahala akan terus mengalir kepada arwah ibunya. Bukan soal apa yang beliau akan dapat semata-mata, bahkan beliau akan berfikir tentang manfaat kepada banyak pihak. Begitu juga seorang lelaki yang mempunyai pelajaran agama yang tinggi, pasti akan berfikir tentang kemaslahatan adik-beradik yang lain berbanding hanya melihat bahawa haknya telah dirampas oleh adik-beradiknya.

Pasti bukan mudah untuk bertindak secara ‘countertype’, apalagi melibatkan kepentingan diri. Justeru, membina minda ‘legasi kekal’ adalah penting untuk terus berstamina dalam melaksanakan amal soleh yang kekal di sisi Allah.

Facebook Comments:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Read previous post:
Misi Kekal

James Kim merupakan seorang lelaki yang mempunyai ‘misi kekal’. Ketika berusia 15 tahun, beliau telah mewakili Korea Selatan bertempur di

Close