Mulakan dengan matlamat akhir di minda


Saya cadangkan untuk kita beristighfar, mohon keampunan kepada Allah swt, bertenang dan mari sama-sama mohon petunjuk daripadaNya. Kosongkan fikiran kita daripada semua perkara, kecuali tentang saranan saya yang kita akan baca berikutnya.

******************************************************************************Bayangkan diri kita sekarang sedang dalam perjalanan menghadiri upacara pengebumian orang yang tersayang. Kita meletakkan kereta, lalu keluar berjalan ke arah jenazah ditempatkan. Semasa sedang menghampiri jenazah, kita mendengar bacaan Al-Quran yang dibaca oleh hadirin yang ada di situ. Sepanjang kaki kita melangkah, wajah rakan-rakan dan ahli keluarga lain yang berada di situ kita perhatikan. Kita dapat melihat wajah-wajah sedih yang meratapi pemergian jenazah tersebut.

Sebaik sahaja memasuki ruang yang menempatkan jenazah, kita pun menghampiri dan menjenguk wajahnya. Tiba-tiba wajah yang kita lihat itu adalah diri kita sendiri. Rupa-rupanya pada hari itu adalah hari pengebumian kita. Semua yang hadir pada hari tersebut adalah untuk memberikan penghormatan terakhir sebelum jenazah kita dimasukkan ke dalam liang lahad dan bersemadi sendirian di sana.

Sekarang mari kita fikirkan secara mendalam. Apakah yang kita harapkan tergambar dalam ucapan mereka tentang diri dan kehidupan kita nanti? Bagaimanakah yang kita harapkan tergambar dalam ucapan tentang siapa diri kita sebagai seorang suami, isteri, ibu, ayah, atau anak? Bagaimana gambaran kita sebagai sahabat, rakan sekerja? Bagaimana gambaran kita sebagai majikan atau pemimpin di organisasi? Apakah sumbangan yang sudah kita berikan kepada masyarakat untuk membina dunia yang lebih mulia? Apakah gambaran dari ucapan mereka tentang apa yang sudah kita tinggalkan untuk diteruskan oleh anak-anak atau masyarakat? Apakah sistem kepercayaan yang sudah kita tinggalkan untuk mereka?

Sebelum kita meneruskan bacaan berkenaan legasi, ambil masa beberapa minit bagi mencatatkan jawapan itu. Ia membantu untuk kita memahami pada perbincangan selanjutnya nanti.

******************************************************************************

Secara fitrahnya, semua orang mahu meninggalkan dunia ini dengan kebaikan dan membawa pergi dari dunia ini juga dengan kebaikan. Untuk memastikan perkara ini berlaku, kita perlu bermula dengan matlamat terakhir di minda kita. Ungkapan ini sering dikenali dengan ‘Begin with the End in Mind’ iaitu bermaksud kita memikirkan apakah matlamat hidup kita dengan jelas. Dalam erti kata lain, kita tahu ke mana hala tuju hidup kita sendiri supaya memahami dengan lebih jelas di mana kedudukan kita sekarang. Oleh itu, kita dapat memastikan kita sentiasa mengambil langkah yang betul dalam menuju ke arah yang telah ditetapkan. Lazimnya kita mudah terpedaya dengan corak rutin harian kita sendiri. Keadaan itu sama seperti kita berusaha memanjat tangga kejayaan satu per satu dengan lebih tekun dan gigih, tetapi akhirnya menjadi sia-sia kerana tangga yang dipijak itu rupa-rupanya bersandar pada dinding yang salah.

Stephen R.Covey menyatakan bahawa semua benda dicipta sebanyak dua kali. Kita mengambil contoh rumah yang idaman yang hendak dibina, terlebih dahulu kita mencipta ciri-ciri rumah itu sebelum memulakan kerja pertukangan. Tukang kayu biasanya mengambil peraturan berikut, “Ambil ukuran sebanyak dua kali, dan potong hanya sekali.” Ini bermakna, kita mesti memastikan ciptaan yang pertama adalah lakaran yang benar-benar dikehendaki dan diteliti sedalam-dalamnya dari segala segi. Hanya selepas itu baru kita mulakan dengan kerja-kerja pertukangan, melawat tapak binaan dan memastikan pembinaan yang sedang dijalankan berjalan menepati perancangan pada hari itu.

 

Mari kita rujuk semula aktiviti yang kita lakukan di awal tadi. Gambaran ungkapan tentang siapa kita boleh jadi tergantung kepada apa yang sudah kita tinggalkan di dunia ini. Seorang lelaki yang meninggalkan dunia ini dengan harta yang banyak, kemudian dia menyumbangkan harta tersebut untuk kepentingan masyarakat, dan beliau juga memiliki sebuah pusat pengajian yang memberikan pendidikan terbaik kepada masyarakat, serta meninggalkan anak-anak dan isteri yang baik, apakah gambaran anda pada beliau sekarang?

Sekiranya anda mempunyai anggapan yang baik terhadap lelaki tersebut, apakah ianya sesuatu yang berkekalan atau sementara? Memulakan dengan matlamat akhir di minda boleh hanya setakat perkara di atas, namun saya mencadangkan agar kita memikirkan sesuatu yang lebih jauh. Ia dinamakan sebagai ‘minda akhirat.’ Firman Allah swt bermaksud:

Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari akhirat).

Surah Al-Fatihah, 1 (4)

Hari pembalasan atau ‘yaumiddin’ adalah satu hari yang pasti ditemui oleh semua yang bergelar makhluk Allah. Pada masa tersebut, manusia akan berjumpa dengan Allah yang bersifat ‘Al-Malik’ di mana Dialah yang menguasai segala perkara dari sekecil-kecilnya dan Dialah yang memiliki segala perkara hingga sebesar-besarnya. Maka jika harta yang banyak sudah ditinggalkan dan digunakan untuk kepentingan masyarakat, adakah ianya bertepatan dengan kehendak ‘Al-Malik’? Jika sudah meninggalkan anak-anak dan isteri yang baik, apakah mereka dapat membantu dengan jawapan yang baik ketika mana berhadapan dengan hari pembalasan segala yang dilakukan di dunia ini? Jika sudah meninggalkan institusi pendidikan yang terbaik untuk masyarakat, adakah ianya terbaik untuk keperluan dunia semata-mata atau terbaik secara holistik di mana ia bertepatan dengan kehendak ‘Al-Malik’?

Maka, bermula dengan matlamat akhir di minda bukan sahaja perlu terarah kepada apa yang akan ditinggalkan untuk manfaat dunia, bahkan ia perlu diperhatikan secara teliti bahawa ianya mempunyai kaitan secara langsung dengan hari perhitungan bersama ‘Al-Malik’ kelak. Samada mahu membina rumah yang cantik di dunia ini, atau mahu membina rumah yang cantik di dunia ini dengan membawa manfaat kepada rumah yang lebih cantik di akhirat kelak. Secara umumnya, gambaran memulakan dengan matlamat akhir di minda boleh dilihat dalam rajah di bawah.

Kita tahu bahawa akan berhadapan dengan pelbagai konflik dalam kehidupan ini. Samada ianya konflik personal atau konflik dengan orang lain, ianya perlu diurus dengan baik. Mengetahui matlamat akhir kita, akan membantu untuk melaksanakan keputusan yang baik. Dalam bahagian legasi ini, kita ambil masa sedikit untuk memahami terlebih dahulu apakah yang mahu kita tinggalkan dan perlu dipastikan bahawa ianya ada kaitan dengan akhirat kita nanti.

Facebook Comments:

Leave a Comment

Read previous post:
Kematian itu pasti

Ketika bercakap dengan isteri di telefon, tiba-tiba nada suara isteriku berubah. “Abang sudah baca mesej di ‘whatsapp’ keluarga?” Aku meneliti...

Close