Kali 0 atau kali 1


Daniel mengusahakan projek tanaman kelapa sawit di Terengganu. Beliau menganggarkan projek tersebut dapat disiapkan dalam tempoh 5 tahun dan syarikatnya akan beroleh hasil yang lumayan. Setiap hari, beliau akan menghabiskan waktunya untuk memastikan projeknya itu berjalan dengan lancar dan berjaya. Pada tahun kelima projek, tiba-tiba ladang beliau telah diserang penyakit aneh yang menyebabkan seluruh tanaman musnah. Semacam sebuah mimpi ngeri, namun itulah realiti yang berlaku kepada Daniel. Segala yang diusahakannya selama ini musnah sekelip mata.

Bayangkan, sekiranya anda berada di tempat Daniel. Pasti akan merasa kecewa yang amat sangat kerana segala usaha keras selama ini akhirnya menjadi sia-sia. Tidak ada manusia yang sanggup menghabiskan seluruh tenaga dan usahanya hanya semata-mata untuk mencapai perkara yang sia-sia. Sekiranya begitu, bagaimana untuk memastikan setiap yang kita ada, apa yang kita usahakan, tidak akan menjadi sia-sia? Ianya akan tetap kekal selama-lamanya.

Bagi memastikan sesuatu itu kekal atau binasa, konsep kali 0 atau kali 1 amat bagus untuk kita fahami bersama. Dan kehidupan ini tidak lari daripada perihal ilmu dan amal. Seorang yang banyak ilmunya namun tidak diamalkan, atau banyak beramal namun tidak berdasarkan ilmu, adalah perkara yang sia-sia. Justeru, bagi memastikan ilmu dan amal tidak sia-sia, maka perlu diselarikan kedua-duanya iaitu semakin banyak ilmu, semakin bagus amalan seseorang. Amal yang dilaksanakan itu perlu berpaksikan kepada ilmu yang benar. Dengan melaksanakan hal ini, akan menatijahkan nikmat yang baik di sisi Allah untuk pengamalnya. Ini berdasarkan firman Allah swt pada ayat ketujuh surah Al-Fatihah yang bermaksud ‘Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat.’

Ilmu Benar + Amal Benar = Nikmat

 

Ilmu yang benar dan amal yang benar adalah apabila ianya dapat membawa manusia semakin tunduk sebagai hamba kepada Allah swt. Setiap kelakuannya adalah untuk ditujukan kepada Allah swt. Daniel mungkin secara fizikalnya sudah kehilangan projek yang diusahakan selama ini, namun sekiranya apa yang diusahakan oleh Daniel selama 5 tahun tersebut adalah untuk mendekatkan dirinya kepada Allah swt, ianya akan kekal sebagai amal kebaikan yang mempunyai ganjaran yang amat besar di sisi Allah swt.

Mari kita renungkan sejenak maksud ayat dalam surah Al-Qasas ini. Firman Allah swt yang bermaksud:

Dan janganlah engkau menyembah tuhan yang lain bersama-sama Allah. Tiada Tuhan melainkan Dia. Tiap-tiap sesuatu akan binasa melainkan Zat Allah. BagiNyalah kuasa memutuskan segala hukum dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan (untuk dihitung amal masing-masing dan menerima balasan).

Surah Al-Qasas, 28 (88)

Setiap sesuatu akan binasa termasuklah harta kita, kerajaan kita, kekuasaan kita dan ianya hanya akan kekal bila ianya dilakukan hanya kerana Allah. Maka kita boleh meletakkan segala yang dilaksanakan kerana Allah adalah ‘kali 1’, iaitu akan mendatangkan hasil pada akhirnya. Manakala segala yang dilaksanakan bukan kerana Allah adalah kali ‘0’, iaitu pada akhirnya tidak mendatangkan apa-apa hasil atau sia-sia. Seperti mana jika kita menambah satu angka ke satu angka yang lain, akhirnya dikalikan dengan ‘0’, pasti ianya menjadi sia-sia.

Adakah kita akan merasa tenang jika berhadapan dengan Allah satu hari nanti, sebanyak mana harta, sebanyak mana kebaikan kita, akhirnya dinilai sebagai ‘0’ iaitu sia-sia? Sudah pasti kita tidak mahu keadaan ini berlaku. Oleh kerana itu, ketika menguruskan konflik, soalan ini mungkin boleh dijadikan sebagai satu persoalan untuk diri kita iaitu samada kita mahu menghadapi konflik dan menguruskannya kerana kepentingan diri kita sahaja, atau kerana orang lain, atau kerana kita meletakkan Allah sebagai hala tuju untuk memastikan ianya tetap abadi selamanya di sisi Allah swt sebagai ganjaran kebaikan.

Facebook Comments:

Leave a Comment

Read previous post:
Mulakan dengan matlamat akhir di minda

Saya cadangkan untuk kita beristighfar, mohon keampunan kepada Allah swt, bertenang dan mari sama-sama mohon petunjuk daripadaNya. Kosongkan fikiran kita...

Close