Bolehkah ‘bias’ ke arah satu pihak?


Soalan ini ditujukan dalam satu program usrah di mana seorang ahli bertanya tentang ‘bias’. Sekiranya ada seseorang yang cenderung untuk memenangkan Allah, bukankah ia sudah bersikap ‘bias’ dalam hal tersebut? Sedangkan dalam kaedah menang-menang, ia perlu menjurus kepada semua pihak yang menang. Sekiranya kita berinteraksi dengan non-muslim, bukankah itu dinamakan menang-kalah.

Pada bahagian menang-menang-menang, kita memang menfokuskan agar semua pihak mencapai kemenangan. Dan naluri manusia itu sendiri adalah suka atau cenderung untuk menang. Contohnya pada artikel ‘Hanya kerana 45 sen’, saya membincangkan tentang konflik antara saya dan tuan kedai yang menjual minyak masak kepada saya. Akhirnya, kami mencapai keputusan yang lebih baik dengan saya memperoleh minyak masak yang diingini, dan tuan kedai dapat menjual barangan di kedainya dengan jujur. Kami bersama-sama cenderung kepada satu pihak iaitu ‘kemuliaan’. Justeru, apakah salah untuk kami cenderung ke arah kemuliaan?

Dan bagaimana sekiranya kita cenderung kepada satu pihak iaitu Allah? Mari kita sama-sama merujuk maksud ayat di bawah.

Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami tinggikan pangkatnya dengan (sebab mengamalkan) ayat-ayat itu. Tetapi dia bermati-mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya adalah seperti anjing, jika engkau menghalaunya: Dia menghulurkan lidahnya termengah-mengah dan jika engkau membiarkannya: Dia juga menghulurkan lidahnya termengah-mengah. Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir.

Surah Al-A’raf, 7 (176)

Orang yang mengikuti ayat Allah adalah mereka yang cenderung kepada pihak Allah. Namun, ada golongan yang mahu cenderung ke arah pendustaan ayat-ayat Allah dengan bermati-matian cenderung kepada dunia dan hawa nafsunya, maka mereka ini ditempelak sehingga dibandingkan seperti anjing yang menghulurkan lidahnya dalam keadaan termengah-mengah. Maka, orang yang mengikuti kebenaran adalah orang yang cenderung kepada Allah, manakala orang yang mengikuti pendustaan adalah orang yang cenderung kepada selain Allah.

Firman Allah swt dalam ayat yang lain pula:

Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

Surah Al-Anfal, 8 (61)

Ketika saat peperangan, pihak musuh mahu cenderung kepada perdamaian. Dan Allah mengiktiraf kecenderungan pada kebaikan itu sehingga Rasulullah saw juga boleh mengikut kepada perdamaian tersebut. Maka, mereka yang cenderung kepada kebaikan seperti perdamaian juga adalah cenderung kepada Allah swt.

Ada 2 perkara yang dapat di garis bawahi pada perbincangan 2 ayat di atas iaitu pertama, kecenderungan kepada Allah bermakna perlu cenderung pada kebenaran. Kedua, cenderung kepada Allah bermakna perlu cenderung pada kedamaian. Maka, apakah salah jika ada seseorang itu ‘bias’ atau cenderung kepada memenangkan Allah? Soalan itu mungkin boleh berbunyi begini, “Apakah salah untuk seseorang cenderung kepada kebaikan atau kemuliaan?”

Justeru, dalam meletakkan penilaian samada kita cenderung kepada menang-menang atau menang-kalah, kecenderungan kepada Allah itu sendiri adalah keinginan untuk berada dalam situasi menang-menang. Dalam bahasa sunnatullah, ia mungkin berbunyi sekiranya mahu semua orang menang, maka kita perlu mencapai kata sepakat atau bekerjasama untuk menuju ke arah yang lebih mulia. Namun dalam bahasa lain, ia boleh berbunyi sekiranya mahu semua orang menang, maka kita perlu cenderung untuk memenangkan Allah di mana sekiranya Allah dimenangkan, maka secara langsung kebenaran dan kemuliaan juga sedang dimenangkan.

Facebook Comments:

Leave a Comment

Read previous post:
Kali 0 atau kali 1

Daniel mengusahakan projek tanaman kelapa sawit di Terengganu. Beliau menganggarkan projek tersebut dapat disiapkan dalam tempoh 5 tahun dan syarikatnya...

Close