Hanya kerana 45 sen


Hari raya kedua, tak banyak kedai yang buka. Nak masak, kena guna minyak masak. Alhamdulillah, ada kedai yang buka. Namun hanya dibenarkan seorang 1 bungkus minyak sahaja. Justeru terpaksa ambil minyak dalam botol yang sedikit mahal.

Saya: Pakcik, berapa harga sebotol minyak ni?

Pakcik: RM3.40

Sambil membelek botol minyak, tiba-tiba ternampak harga sebenar di botol. Cuma RM2.95 sahaja.

Saya: Boleh tanya sikit Pakcik, kat botol ni ditulis harganya adalah RM2.95.

Pakcik: Mari saya tengok botol tu (sambil mengangguk-angguk). Hmm…memang RM2.95. Tak apalah, kamu letak semula di rak sana. Pakcik tak jual minyak ni.

Saya: Tapi saya perlu minyak ni. Tak apalah, saya beli dengan harga RM3.40.

Pakcik: Maaf nak. Pakcik tak boleh jual. Harga dah jelas RM2.95. Pakcik kena pulang semula pada pembekal sebab kalau jual dengan harga RM2.95, saya rugi. Tapi saya tak boleh jual pada kamu dengan harga RM3.40, itu tak beretika.

Saya: Tapi saya memang perlu minyak masak ni. Beginilah, Pakcik jual minyak masak bungkus itu sebungkus pada saya, dan sebungkus lagi pada anak saudara saya (sambil menunjuk ke arah anak saudara). Di rumah mentua saya sekarang ada 7 keluarga sedang berkumpul. Boleh bantu saya?

Pakcik: Baiklah kalau begitu.

Alhamdulillah, dapat juga 2 bungkus minyak masak. Terima kasih Pakcik.

Situasi menang-menang VS menang-kalah

Cara fikir menang-kalah memang popular dalam kalangan masyarakat. “Sekiranya saya menang, bermakna saudara kalah”. Ia berlaku dalam kalangan keluarga, organisasi, institusi pendidikan, sukan, malah di peringkat antarabangsa. Manusia yang berpegang pada konsep ini selalunya suka menggunakan kedudukan, kuasa, pengaruh, pemilikan mahupun personaliti yang ada pada diri mereka demi menegakkan cara sendiri.

Berbeza dengan konsep menang-menang. Di mana semua pihak mendapat habuannya dengan melihat setiap kejayaan tidak hanya dicapai secara bersendirian, bahkan ia melibatkan orang lain. Konsep ini tidak menganjurkan cara saya atau cara saudara, tetapi cara yang lebih baik dan lebih mulia.

Pakcik menang, saya menang

Bayangkan kalau Pakcik tadi tetap menjual dengan harga RM3.40 pada saya. Sudah pasti Pakcik tadi akan untung, dan saya akan rugi walau beberapa sen.

Apakah kesannya?

Kesan jangka masa panjang, saya pasti akan merungut dan mengingati bahawa Pakcik tersebut tidak beretika dalam berniaga. Dan pastinya di waktu yang lain, sekiranya ada kedai lain yang buka, saya tidak akan menjadikan kedai Pakcik tadi sebagai pilihan untuk membeli barang. Pakcik mungkin untung RM0.45, namun jangka masa panjang beliau akan kehilangan seorang pelanggan.

Dan sekiranya Pakcik menjual dengan harga RM2.95, sudah pasti Pakcik akan rugi. Dalam situasi ini, saya yang akan untung kerana dapat memiliki minyak tersebut dengan kemungkinan Pakcik tersebut terpaksa menanggung kos rugi untuk saya.

Apakah kesannya?

Pakcik mungkin akan tidak berpuas hati dengan pembekal minyak masak tersebut. Bahkan mungkin akan mengungkit tentang kerugiannya ketika menjual kepada pelanggan. Kesannya mungkin akan mengeruhkan hubungan dan mencacatkan akaun emosi Pakcik dan pembekal.

Bagaimana solusi?

Dengan bertegas tidak akan menjual minyak tersebut pada saya, Pakcik tersebut tahu bahawa beliau akan rugi beberapa sen kerana barang tidak dijual. Dan beliau tahu, saya pasti kecewa tidak dapat membeli minyak masak tersebut kerana memang saya amat perlukannya.

Pada peringkat awal sudah berlaku ‘no deal‘. Kesan jangka panjang, bank emosi antara kami tidak akan terganggu. Lantas kami melihat cara yang lebih baik dan lebih mulia. Bagaimana saya dapat memiliki minyak masak dan Pakcik dapat untung dari jualan. Kerana ada kemahuan untuk mencari jalan yang lebih baik, maka terhasil cadangan agar bungkusan minyak masak berikutnya dijual kepada keluarga anak saudara saya.

Menang-menang dalam masyarakat

Paradigma bahawa saya berhak menang, awak berhak kalah adalah amat tidak wajar. Masyarakat perlu dididik dengan cara fikir menang-menang, bahkan perlu sehingga dapat dididik kepada peringkat menang-menang-menang. Cara berfikir sempit tidak mungkin dapat merealisasikan perkara ini.

“dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan” (5:2)

Semoga kita semua dapat terus memenangkan kebaikan dengan saling tolong-menolong dalam membawa masyarakat ke peringkat yang lebih baik dan mulia.

Alamat Email:

Facebook Comments:

Leave a Comment

Read previous post:
Soalan, Doa dan Dengar Belajar

Apakah 3 tip yang amat penting untuk mendekati al-Quran terutama pada bulan Ramadhan? Berdasarkan kepada teknik WER yang mengambil ibrah...

Close