Kerana-Nya, kepada-Nya

Dalam program pertama The 4th Alternative, salah seorang peserta bertanya : adakah kita perlu memilih untuk membuat pilihan bermula dengan Allah atau berakhir dengan Allah. Saya tahu bahawa kedua-duanya penting, namun apakah jawapan ?

Salah satu kalimah penting untuk dijadikan panduan ialah :

Inna lillahi wa inna ilaihi rajiun

Sesungguhnya kerana Allah, dan sesungguhnya kepada-Nya kembali.

Jadi dalam membuat pilihan dan penilaian dalam kehidupan seharian, kita perlu buat kerana-Nya. Niat difokuskan kepada Allah. Kemudian usaha dibuat dengan mengambil langkah 1,2 dan 3 sehingga ia mampu mencapai langkah ke-4: The 4th Alternative. Apabila mencapai langkah ke-4, kita kembali kepada-Nya.

Lillah dan ilaihi yang terdapat dalam doa di atas termaktub dalam al-Quran. Kedua-dua perkataan tersebut mempunyai implikasi berbeza.

Lillah adalah niat yang diserahkan untuk mencari ridha Ilahi – lintasan yang berada dalam benak fikiran. Manakala untuk ilaihi memerlukan kepada usaha yang berkesan untuk kembali kepada-Nya. Untuk seseorang berbuat sesuatu kerana mengingat ibunya adalah berbeza dengan tindakan untuk sampai bertemu dengan ibunya. Yang pertama memerlukan kepercayaan, yang kedua memerlukan kepada amal.

Bagaimana kalau kurang percaya pada Tuhan?

Isu ini berlaku kerana Allah pada awal dan akhir yang sering silap difahami. Yang sering ‘ditakuti’ ialah ilaihi kerana ia melibatkan usaha yang kuat untuk sampai kepada-Nya. Yang mudah dan boleh dilakukan oleh semua orang ialah buat kerana-Nya. Buat kerana-Nya adalah permulaan yang penting – menidakkan semua ilaah lain dalam kepercayaan.

Kalau hati manusia boleh ditundukkan sebagai hamba Allah, dan buat kerana-Nya, ia akan menyebabkan kekuatan untuk mencari penyelesaian di peringkat My Solution, Your Solution atau Our Solution akan sentiasa diberkati dan dinaungi Allah. Tetapi kalau dibuat kerana selain-Nya, ia akan menyebabkan bongkak berlaku pada mana-mana pihak. Bongkak takbur ini tidak dibenarkan oleh Allah. Ia akan mengganggu urusan mencari Our Solution atau menuju His Solution.

Adakah kerana-Nya itu diwakili oleh kerendahan hati, bukan sekadar menyatakan ‘kerana Allah’ ?

‘Kerana Allah’ boleh menjadi perkataan fizikal atau terus menuju emosi dan spiritual. Individu empunya perkataan yang perlu menilainya. Allah jua yang mengetahui tentang letak duduk sebenar.

Bagi yang bukan Islam atau kurang ‘Islamik’, perkataan ‘kerana Allah’ mungkin tidak kedengaran. Namun dari aspek intelek, emosi atau spiritual, mereka ada kemungkinan untuk sampai kepada tahap ‘kerana Tuhan’. Ini disebabkan fitrah dalam diri manusia itu sendiri ingin kembali kepada Tuhan. Lambang ada perkara ini ialah dengan sifat kehambaan yang wujud. Sifat kehambaan ini amat diperlukan untuk melonjakkan potensi diri manusia. Sifat merendah diri dan low esteem  sesama manusia ada kaitan dengan sifat kehambaan yang rendah atau tidak dijelmakan dalam kefahaman sebagai khalifah. Apakah dinamik hamba dan khalifah ?

Dinamik rasa hamba dan khalifah

Apabila seseorang itu merasa hamba, ia hanya tertuju kepada Allah. Sesama manusia, kita akan faham bahawa semuanya lemah. Kelebihan masing-masing bukanlah satu kekuatan. Seorang yang bijak Fizik tidak semestinya satu kekuatan kalau ia tidak mulia dan dekat dengan Tuhan. Seorang yang lemah Fizik kekadang menjadi lebih dekat dengan Tuhan. Ini disebabkan ia sering mengadu kepada Tuhannya.

Apabila seseorang berpegang kepada nilai kehambaan kepada Allah, maka ia akan menjadi seorang khalifah yang akan memimpin diri, keluarga dan orang sekeliling dengan rasa yakin – lemah lembut dengan yang juga merasa rendah kepada Allah, dan bertegas kepada yang bongkak kepada Allah. Ini disebabkan orang yang bongkak kepada Allah secara spiritual ini adalah individu yang paling lemah.

Cuma cabarannya, bab spiritual ini bukan untuk dihukumi, tetapi untuk dibantu. Rasul membantu dan melihat dengan kasih sayang – menggunakan pendekatan emosi – untuk membawa ramai individu yang tersasar spiritual iaitu bongkak atau menafikan Allah kepada Islam. Kalau Rasul menggunakan pendekatan intelek, sudah tentu Rasul menghukumi mereka tanpa perlu bersifat kasih sayang dan berempati untuk mengajak mereka kepada spiritual. Bertegas dalam ayat Surah al-Maidah ayat 54 bukanlah dalam aspek muamalah harian, tetapi lebih kepada hujah untuk aspek spiritual. Hujah itu perlu dalam bentuk yang ‘dibanggakan’ atau penuh ‘izzah’ tetapi pendekatannya amat lembut. Izzah ini penting kepada orang yang ‘ragu-ragu’ dalam melihat kebenaran. Bagi orang Islam, digalakkan berlemah lembut kerana mereka sudah melihat kebenaran yang utama – walaupun bukan 100%.

Jangan menghukum, tetapi mengajak

Atas dasar itu, kita ada hujah yang mantap – tetapi gunakannya sebagai peneguh dalam diri untuk bersifat lemah lembut sesama manusia – bukan untuk menghukum dan mencantas. Kita perlu berhubung. Kita ada My Solution. Namun perlu berhubung dengan individu lain untuk memahami Your Solution. Apa-apa sahaj Our Solution yang membawa kepada perubahan bersifat baik, ia adalah His Solution. Namun kalau ia tidak berlaku dengan nama Allah dan kerana Allah, Our Solution itu mungkin sekadar strategi lain untuk melawan Allah.

Moga Tuhan memberi kerendahan hati kepada kita dan dimudahkan kita menyukai keadilan, kebijaksanaan, pemurah, sabar dan semua sifat dari 99 nama Allah.

 

Facebook Comments:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Read previous post:
Beza menggunakan The 3rd Alternative dan The 4th Alternative

S: Apa beza menggunakan The 3rd Alternative berbanding The 4th Alternative? Bukankah kita juga yang perlu membuat keputusan? J: The

Close