Dimensi 99 Asma Ulhusna; Ritual kepada Spiritual

Paradigma di dalam memahami nama-nama Allah menerusi nilai spiritual yang benar memerlukan kepada suatu penghayatan dan kefahaman yang benar-benar tulus. Tidak ada unsur keterpaksaan eksternal, tetapi memerlukan suatu kerelaan dan jemputan kepada sifat internal yang sangat halus.

Ayat Allah di dalam surah Al-Baqarah juga ada menyatakan bahawa ‘Tiada unsur paksaan di dalam Islam…’ . Apakah maksud di dalam ayat ini sebenarnya? Saya kira ia membawa maksud yang cukup mendalam, sehinggakan kita menjangkakan ianya adalah tertumpu kepada bukan Islam. Ya, paradigma kita selama ini adalah menyatakan bahawa, sekiranya kita ingin menceritakan tentang Islam kepada orang bukan Islam, bukanlah caranya dengan paksaan. Tetapi kita juga terlepas pandang bahawa kedudukan orang Islam sendiri ada di dalam ayat ini. Apakah posisi atau kedudukan itu?

 

Sering kita dengar di dalam lagu nasyid kumpulan Raihan yang liriknya ada menyebut bahawa;

 

Iman adalah mutiara

di dalam hati manusia

Yang meyakini, Allah, Maha Esa, Maha Kuasa

Iman tidak dapat diwarisi

Dari seorang ayah yang bertaqwa

Iman tidak dapat dijual beli

Ia tiada di tepian pantai

 

Engkau merentas lautan api

Engkau mendaki gunung yang tinggi……

 

Walau apapun caranya jua

Namun tidak dapat jua dimiliki

Jika tidak, kembali pada Allah…..

 

 

Lagu ini sangat tinggi nilainya. Saya amat tersentuh apabila melihat apa yang terjadi pada hari ini. Memang benar bahawa iman memang tidak dapat diwarisi dan dipindahkan kepada orang lain. Memang benar bahawa iman ini tidak dapat ditukar ganti atau diwasiatkan dan memang benar bahawa iman ini tidak dapat di jual dengan rela atau dengan paksa!

 

Kembali kepada ayat di dalam surah Al-Baqarah tadi yang mana kondisi kita sebagai orang yang sudah memeluk Islam. Unsur paksa juga tidak akan berlaku di dalam hal berkenaan dengan iman ini. Mampukah kita memaksa anak-anak kita beriman? Jika mampu, apa yang terjadi kepada anak-anak Nabi Nuh? Jika kita mampu memaksa orang lain beriman, mengapa tidak ada orang yang menerimanya dengan baik?

 

Saya membawakan paradigma ‘paksa’ di dalam konteks dakwah ini adalah supaya kita bersikap optimis di dalam segala hal. Peristiwa nabi Nuh dengan anak-anaknya sudah ditegur oleh Allah supaya tinggalkan dan biarkan mereka, kerana tiada gunanya apabila hati yang telah dikurniakan itu ‘dibutakan’ oleh diri mereka sendiri. Saya tidak bemaksud untuk kita tiada usaha dakwah. Kita berusaha, tetapi bertawakal-lah kita kepada Allah. Itulah konsep yang perlu ada di dalam diri seorang manusia yang komited dengan pegangannya.

 

Justeru itu, paradigma ritual kepada spiritual yang sebenar, adalah bukan secara keterpaksaan tetapi berlandaskan kepada fitrah mereka. Bagaimanakah kita boleh memaksa manusia untuk mengenal Allah? Mengenal diri mereka sendiri? Sedangkan fitrah mereka terpancar-pancar kepada suatu sudut yang berbeza-beza? Inilah suatu paradigma yang jauh dari perspektif yang sebenarnya kepada fitrah yang benar.

 Surah Al-A’raaf (172);

Dan ingatlah ketika Tuhanmu mengeluarkan keturunan Adam dari tulang sulbi mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka; ‘Bukankah Aku ini Tuhanmu?’ Mereka menjawab; ‘Betul (Engkau Tuhan kami), kami menjadi saksi’. (Kami lakukan sedemikian itu) agar di hari kiamat kamu tidak mengatakan; ‘Sesungguhnya kami (bani Adam)_ adalah orang-orang yang lengah terhadap ini (Keesaan Allah)

 

Dan begitu juga di dalam surah Ar-Rum (30);

 

 Maka hadapkanlah wajahmu yang lurus kepada Agama (Allah), (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus; tetapi kebanyakkan manusia tidak mengetahuinya

 

Memang benar bahawa terdapat sebilangan manusia yang menggelarkan diri mereka sebagai orang yang tidak mempercayai Tuhan (Athies), dan ada juga manusia yang sombong menyatakan bahawa diri mereka tidak memerlukan Tuhan. Malah ada juga manusia yang berbangga dengan kepercayaan datuk nenek, moyang mereka yang mana memang jelas jauh menyimpang dari landasan yang sebenar.

 

Di dalam surah Al-Araaf yang saya bawakan tadi, jelas ternyata bahawa seluruh manusia memiliki nilai spiritual yang tinggi di dalam alam roh lagi. Mereka mengakui bahwa Allah adalah Tuhan mereka. Allah itu adalah yang layak disembah dan di takuti. Tetapi apa yang berlaku di dalam dunia yang nyata ini adalah berbeza dengan ikrar yang telah dinyatakan di alam roh mereka. Pembawaan mereka mula membawa kepada suatu paradigma yang akhirnya menyeru kepada aktiviti ritual semata-mata.

 

Bukti bahawa Allah itu benar-benar wujud di dalam diri mereka melalui nilai spiritual ini ada disampaikan melalui surah Ar-Rum (30). Dinyatakan bahawa manusia dijadikan melalui nilai spiritual yang universal, sama dan ‘standard’. Tidak ada perbezaan di antara mereka semua. Ini membuktikan bahawa semua manusia di dalam dunia ini adalah sama dari segi aspek dalamannya.

 

Facebook Comments:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Read previous post:
Amalan Marhaban atau Selawat

Sesuatu yang menarik bagi saya setelah 6 tahun di Johor, suatu budaya yang tidak pernah lekang dari pemikiran warga tua

Close