Ritual kepada Spiritual

Perbahasan berkenaan dengan nama-nama Allah (asma ulhusna) kali ini akan dibawakan  kepada anda  dengan satu sudut pandangan kefahaman atau paradigma mengenai budaya ritual. Mengapa hal ini diketengahkan? Ini adalah kerana, budaya ritual di kalangan masyarakat Malaysia merupakan budaya yang mana ianya sangat dominon dan sering di anggap sebagai salah satu perbuatan yang bersifat berulang-ulang dengan disertai unsur keterpaksaan. Natijahnya, kefahaman atau persepsi ini telah  menyebabkan satu penerimaan dan keyakinan yang bersifat kabur serta tidak jelas tertanam di benak pemikiran masyarakat kita.

Apakah yang perkara yang dikatakan kabur? Jika kita lihat yang berlaku di kalangan masyarakat kita pada hari ini, adakah mereka benar-benar mengenali Pencipta mereka? Soalan kedua, dari manakah pula mereka memperolehi ilmu mengenali Pencipta mereka? Dan bagaiamana pula untuk menterjemahkan prinsip atau panduan yang telah diturunkan kepada sekalian manusia di dalam kehiduan seharian?

Jawapan yang pasti dijawab oleh mereka jika soalan-soalan itu ditanyakan kepada masyarakat kita pada hari ini dan rata-rata mereka akan menjawab, tahu, tapi tak kenal sangat.

Kedua pula, di sekolah dan jawapan yang ketiga pula entah atau ikut apa sahajalah yang terkandung di dalam quran, itu kot?.

 

Saya hendak membawakan satu kisah yang berlaku kepada saya di Melaka pada suatu ketika dahulu. Pada suatu petang, saya ditugaskan untuk menjaga kaunter Cyber Café (CC) di sebuah premis perniagaan sahabat saya. Seperti biasa, pengguna yang selesai menggunakan kemudahan internet akan membayar di kaunter. Kebetulan pada hari itu, saya berjumpa dengan seorang lelaki berbangsa India, berusia di dalam lingkungan 30 an. Semasa  dia hendak membayar, saya pun menyapa beliau dan akhirnya kami ‘berborak’ panjang. Dapatan saya melalui perbincangan dengan lelaki India pada hari itu adalah, beliau merupakan seorang yang ‘kuat’ berpegang kepada ajaran Kristien, dan yang lebih menarik lagi, beliau ada mengajukan beberapa pandangan yang menarik. Antaranya ialah; Do you know Syamil? What is it? jawab saya dengan perasaan ingin tahu. Many peoples in this world practicing their own religion, but most of them did not know his God. Why do you said like that? Saya mengajukan soalan lagi. Well, we can see the world today. God has send us a guidance, but people rules this world by using their own guidance. So it is a proofing that, man did not know his Creator!

 

Bila difikirkan semula apa yang dibincangkan pada hari tersebut, saya beranggapan bahawa memang ada kebenarannya. Kebanyakkan masyarakat kita mendakwa bahawa kita adalah masyarakat yang beragama, kita berpegang kepada panduan Quran dan hadith, kita juga turut mempertahankan pegangan nenek moyang kita dan kepada apa yang telah disampaikan kepada kita hari ini, namun apa yang sering berlaku ialah kerosakan, penindasan, kehancuran serta kezaliman. Ini juga turut berlaku di kalangan mereka yang benar-benar dilihat seperti berpegang atau ‘taat’ kepada ajaran agama. Mengapa semua ini berlaku? Bolehkah kita bersetuju dengan pandangan lelaki tadi? Mari kita lihat hal ini.    

 

Pertama, kita lihat soalan yang telah diajukan tadi. Adakah anda benar-benar mengenali atau merasai kewujudan Pencipta anda? Dan jawapan yang biasa akan kita dengar ialah tahu tapi tak kenal sangat. Di manakah silapnya pendidikan di tahap anak-anak berkenaan dengan pengenalan kepada Allah? Adakah kita gagal memperkenalkan Allah kepada generasi pewaris kita? Atau teknik yang diajarkan itu tidak menepati akan maksudnya? Atau ibubapa, guru dan mereka yang bertanggungjawab mendidik anak-anak telah tersilap langkah? Ataupun mereka yang bertanggungjawab itu jua tidak mampu menterjemahkan maksud sebenar siapakah itu Allah? Ada kemungkinan hal ini terjadi.

 

Krisis ilmu di dalam mengenali Allah merupakan satu krisis yang besar. Ini bertepatan dengan hal yang mana, ramai di antara manusia mampu mengamalkan ajaran yang telah diturunkan tetapi tidak mampu untuk menjawab kepada siapakah yang sebenarnya mereka tujui. Inilah amalan ritual yang berlaku di kalangan manusia yang beragama. Mereka mampu untuk melaksanakan tuntutan secara berulang-ulang, namun mereka gagal menepati nilai sebenar spiritual yang bersifat ehsan.

 

Sebagai contoh, ramai di antara kita yang mengerjakan haji, namun ramai juga di antara mereka yang kembali kepada perlakuan atau tabiat asal mereka. Malah, mereka juga turut melaksanakan haji serta umrah dengan berkali-kali, namun mereka tetap tidak berjaya menerobosi jiwa ehsan yang sebenar. Ada juga di antara manusia yang tidak kenal jemu mengeluarkan harta untuk memenuhi tuntutan zakat, namun, sikap riak dan sombong tidak pernah luntur di dalam jiwa mereka. Mereka hanya menjalani aktiviti ritual mereka dan ada juga mereka yang menjalani ibadah puasa pada setiap tahun, namun mereka tidak pernah merasai dan menjiwai nilai spiritual  di dalam ibadah puasa itu sehinggakan Rasulullah s.a.w. bersabda bahawa ada manusia yang berpuasa namun mereka hanya mendapat lapar dan dahaga. Bukankah itu merupakan satu aktiviti ritual, yang mana ia harus dilaksanakan di dalam konteks ‘perlu dilaksanakan’? dan terdapat juga suatu amalan yang sangat dekat dengan kita iaitu ibadah solat. Sejauh manakah solat lima
waktu itu, kita memeliharanya dengan kata erti yang sebenar, adakah kita benar-benar menghargai nilai spiritual di dalam solat kita atau hanya merasai ianya adalah suatu rutin yang perlu dilaksanakan pada setiap masa? Inilah perkara yang amat malang bagi umat Islam yang mana mereka dilihat seperti sedang bersolat namun mereka lalai dan tidak khusyuk mengerjakannya!

Kembali kepada soalan yang kedua, darimanakah ilmu atau pengetahuan mengenai Pencipta ini kamu perolehi. Jawapan untuk soalan ini sudah pasti tidak lari dari bibir-bibir mereka iaitu pasti dari sekolah. Ya, jawapan ini perlu dilihat semula. Adakah mereka yang bertanggungjawab di dalam mendidik anak-anak menyerahkan sepenuhnya anak-anak mereka agar mereka mengenali Allah? Atau menghantar mereka ke sekolah agar mereka menjadi orang yang bijak, memperolehi markah yang tinggi dan terus menerus di dalam pengajian di IPT dalam dan luar Negara dan hal ini berterusan sehingga mereka memperolehi pekerjaan yang mampu menyara hidup mereka kelak dengan sumber kekayaan? Atau masih adakah ibubapa atau penjaga yang seharusnya memastikan hal pendidikan mengenal Allah dikalangan anak-anak dikaburi dengan niat yang sebegitu? Hal ini sebenarnya semakin kabur dan makin jauhlah unutk generasi akan datang mengenal Tuhan mereka yang sebenar. Apa yang terjadi ialah mereka pasti akan bertuhankan kepada wang, bukan kepada Allah. Mereka juga turut menjadikan kerjaya mereka sebagai illah, dan bukannya Allah. Hal ini terus menerus akan berlaku dan ianya pasti akan melahirkan manusia yang kabur dan terawang-awang mencari makna kehidupan yang sebenar.

 

Cuba kita lihat sistem pendidikan di Barat. Mereka telah meletakkan asas pendidikan utama mereka kepada generasi pewaris (anak-anak mereka) ini dengan nilai ilmu yang menolak prinsip ketuhanan. Mereka mengagung-agungkan nilai ilmu yang tidak terbatas namun tidak selari dengan nilai ilmu spiritual dan akhirnya mereka menjadi produk yang jauh mengenali erti sebenarnya tentang kehidupan. Maka inilah kekeliruan yang lahir di dalam tahun demi tahun, abad demi abad kerana mereka jauh dari sudut fitrah sebenar mereka kepada Tuhan mereka yang Agung. Mereka gagal untuk menjawab persoalan-persoalan asas di dalam kehidupan. Untuk apa dilahirkan di dunia ini, untuk apa kita bekerja dan untuk apa kita melakukan semua perkara di dunia ini? Soalan-soalan ini tidak mampu dijawab dengan mata hati ketuhanan, dan mereka hanya mampu menjawab soalan-soalan ini dengan mata hawa nafsu mereka. Kerana mereka telah menjadikan hawa nafsu sebagai illah iaitu tuhan mereka. Inilah bentuk ilmu yang bersifat terpisah yang akhirnya membentuk manusia kepada suatu konsep kefahaman yang jauh dan tidak jelas mengenai hakikat ketuhanan yang sebenar.

 

Itulah yang berlaku kepada generasi pewaris mereka. Mereka lebih mengenali ilmu yang bersifat material tetapi buta di dalam ilmu spiritual. Adakah perkara yang sama perlu kita letakkan nilainya di dalam pendidikan anak-anak pewaris generasi kita ini? Sudah tentu mereka akan mengikuti jejak langkah yang mana sama seperti yang ada di Barat. Di dunia-dunia moden seumpamanya seperti di negara dunia pertama,  Jepun, Amerika Syarikat, UK dan banyak lagi, dimanakah kestabilan sosial di dalam negara mereka? Adakah mereka selari membangun dengan pembangunan tamadun material mereka? Atau mereka jauh lebih dahsyat dari sebelumnya? Kita lihat sahaja statistik jenayah, rogol, juvenil dan sebagainya, adalah mengejut kita. Bukankah kemajuan dari segi tamadun ini harus membimbing manusia kepada suatu peradaban yang lebih bersifat terurus dan tersusun? Namun, perkiraan manusia jauh terpesong dengan teori-teori yang bersifat literature menjadi darah daging mereka. Teori-teori yang bersifat literature seumpama teori Maslow, Darwinisme, Marxisme dan sebagainya telah membuktikan bahawa ianya tidak berjaya memimpin manusia ke arah kesempurnaan.

 

Persoalannya kini, dimanakah kesempurnaan itu?

 

Ya, sebelum kita pergi lebih jauh, satu persoalan untuk anda. Adakah anda benar-benar mengenali Allah dengan kata sebenar-benar mengenaliNya di sekolah? Adakah subjek yang di ajarkan di sekolah benar-benar berjaya melahirkan manusia yang akhirnya memiliki sifat ubudiyyah iaitu sifat penghambaan yang mutlak kepada Allah? Kita lihat sahaja senarionya di Malaysia, tidak perlu pergi jauh. Anda juga pasti setuju jika kita katakan bahawa sistem persekolahan yang diterima oleh kita dahulu di sekolah pun kini hampir sama seperti mana generasi kini menerimanya. Ya atau tidak?

 

Baiklah, mari kita lihat dan bahas satu persatu. Pertama, mari kita lihat sistem pendidikan sekolah kini dan sebelum itu soalan ini dikeutarakan adalah bertujuan untuk kita sama-sama menilai dan memperbaiki keadaan, dan bukanlah berniat untuk memandang rendah atau memasang prasangka yang negatif terhadap sistem pendidikan di negara kita. Apa yang saya cuba bawakan di sini adalah supaya di akhirnya nanti kita akan mendapati bahawa fungsi ibubapa adalah cukup besar di dalam mencorakkan nilai spiritual anak-anak. Ini selari dengan sabda Rasululullah s.a.w. yang menyatakan bahawa anak yang lahir itu adalah dalam keadaan fitrah, namun kedua ibubapa-nyalah yang mencorakkannya.

 

Bagaimanakah bentuk pendidikan atau ko-kurikulum di sekolah negara kita? Sebelum itu juga, saya bawakan kepada anda berkenaan den
gan falsafah pendidikan kebangsaan sebagai renungan kita bersama;

 

Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.

 

Usaha ini adalah bagi melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan.

 

Jika kita melihat di dalam aspek falsafah ini, aspek rohani, jasmani, emosi serta intelek mennjadi satu tumpuan utama di dalam mengembleng potensi manusia ke suatu tahap yang maksima. Tetapi yang menjadi persoalan kini, adakah ianya benar-benar mengarah kepada melahirkan insan yang seimbang itu? Apa yang jelas dilihat di sekolah-sekolah pada hari ini, aspek IQ menjadi satu fokus yang amat mendalam. Apa buktinya? Buktinya ialah sistem pendidikan di Malaysia adalah berdasarkan kepada orientasi peperiksaan semata-mata, bukan kepada aspek pengalaman (experiential learning).

 

Kebanyakkan pelajar di asak dengan unsur pendidikan yang bersifat external dan bukannya internal. Kelemahan ini terpapar di dalam sistem pendidikan kita yang hanya berbentuk hafalan dan perlu menjawab soalan ketika peperiksaan. Orientasi ini juga ‘terbawa-bawa’ sehinggakan konsep mengenali Islam itu juga adalah berdasarkan orientasi ini, malah adalah amat malang lagi apabila ilmu mengenal Pencipta juga turut menggunakan kaedah hafalan dan teknik menjawab soalan. Bukankah kaedah ini amat lemah di dalam membawa kefahaman yang menyeluruh berkenaan dengan konsep tauhid? Bagaimanakah iman hendak muncul di dalam jiwa pelajar jika pengajar atau guru mengasak secara eksternal ini supaya mereka mendapat markah yang tertinggi di dalam matapelajaran agama Islam dan bukan menghayatinya? Maka tidak hairanlah jika ada pelajar yang bukan Islam mampu menjawab dan mendapat markah yang tinggi di dalam matapelajaran tersebut! Bukankah orientasi peperiksaan semata-mata mampu membutakan hati manusia untuk mengenali Tuhannya?

Inilah kelemahan yang mana semua pihak perlu melihat dan memperbaikinya semula. Pernah suatu ketika di dada-dada akhbar ada menyatakan bahawa pelajar sekolah agama berasrama penuh di tangkap kerana berkhalwat? Bukankah pendedahan ilmu tentang halal dan haram telah dipelajari di bilik darjah? Maka itulah puncanya yang mana, manusia di asak menerusi IQ-nya sahaja tetapi tidak merujuk kepada aspek penghayatan, kefahaman dan amalan. Ada juga berita yang menggemparkan kita pada suatu ketika dahulu yang mana, seorang ustaz ditangkap kerana didapati bersalah melakukan seks diluar tabii dengan salah seorang anak muridnya. Bukankah ini suatu dapatan yang menghairankan? Seorang yang berilmu tetapi tidak menjadikan ilmunya sebagai batasan kepada perkara-perkara yang batil! Maka persoalan lagi ditujukan, jadi bagaimanakah pula remaja yang ada diluar sana? Adakah mereka terjebak dengan kegiatan yang kurang sihat atau terlibat dengan masalah sosial di luar sana adalah mereka yang mendapat C atau D di dalam matapelajaran Pendidikan Islam?

 

Astinasinya kini, adakah sistem persekolahan kini mampu menyentuh aspek moral atau ketuhanan yang sebenar jika orientasi peperiksaan menjadi tumpuan di dalam kaedah pembelajaran (pedagogi)? Maka, jawapannya terdapat di dalam diri kita sendiri. Mungkin kita tidak mampu untuk mengubah sistem pendidikan tetapi mampu menerajui pendidikan ini menerusi kaedah ‘terbaru’ di dalam sistem pedagogi kita.

Facebook Comments:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Read previous post:
Ledakan Gelombang Ke-4

Stephen R. Covey, di dalam bukunya yang bertajuk ‘The 8th Habit’  ada membincangkan sedikit mengenai ledakan gelombang revolusi ini. Covey

Close