04 Win-Win-Win

Hubris merencatkan perundingan

Ali merupakan CEO di sebuah syarikat KLM semenjak 9 tahun yang lepas. Ahli lembaga pengarah bercadang menggantikan tempat Ali dengan Yazid. Ketika Yazid membentangkan perancangannya untuk syarikat bagi tempoh 5 tahun akan datang, Ali memandang sinis perancangan tersebut dan merasakan Yazid tidak akan mampu melaksanakan tugasan sebaik dirinya.

Hubris merupakan sikap keangkuhan atau kesombongan yang melampau. Orang Yunani suatu ketika dulu mempunyai kepercayaan bahawa hubris boleh mendatangkan nemesis, iaitu kemusnahan yang tidak dapat dielakkan. Pada hari ini, kita akan dapat melihat kejatuhan sebahagian daripada institusi yang dipercayai akibat hubris yang mencapai kemuncaknya. Syarikat Enron misalnya mengalami kejatuhan kerana mempunyai sikap anti-sinergi. Kononnya untuk mengekalkan kejayaan dan terus unggul di persada perniagaan, syarikat ini sengaja menolak alternatif dan konflik dengan menafikan pandangan realiti.

Bahkan hubris ini juga merupakan antara sebab mengapa iblis dikeluarkan dari syurga sedangkan ia dulu merupakan makhluk yang taat kepada Allah. Keangkuhan iblis terhadap manusia ini dirakamkan dalam Al-Quran. Firman Allah swt:

Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada malaikat: Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam. Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; dia enggan dan takbur dan menjadilah dia dari golongan yang kafir.

Al-Baqarah (2:34)

Dalam sesebuah perundingan, hubris merupakan elemen yang boleh merencatkan kejayaan. ‘Pelaburan saudara tidak akan bernilai sekiranya tidak melaksanakan dengan cara saya’ atau ‘cara saya adalah yang terbaik dan saudara perlu menurut cara saya sepenuhnya’. Skrip seperti ini sering mendatangkan ketidakselesaan dalam sesebuah perundingan.

Apakah solusinya?

Sebuah kisah yang masyhur, telah berlaku suatu dialog antara seorang pemuda dengan Rasulullah saw. Pemuda tersebut mendatangi Rasulullah dan menyatakan keinginan beliau untuk berzina. Saat itu pasti Rasulullah saw dapat menggunakan kedudukan Baginda untuk menjatuhkan pemuda ini dan memberi pengajaran kepada yang lain agar tidak melakukan zina. Namun Rasulullah saw tidak bersifat hubris dalam menangani pemuda tersebut. Bahkan pemuda tersebut diajak berfikir bersama tentang bagaimana sekiranya seorang lelaki berzina dengan ahli keluarganya. Dan akhirnya pemuda tersebut menyedari kesilapannya tanpa sebarang kekerasan dari Baginda saw.

Seorang ayah yang melihat anak sebagai individu yang perlu taat kepadanya pasti sukar menerima pendapat dari anaknya itu. Pekerja biasa adalah merupakan orang bawahan yang mempunyai majikan yang memberinya gaji setiap bulan. Ketua yang menganggap orang bawahan sebagai suruhannya sahaja tentu tidak dapat berunding dengan baik sekiranya berlaku perselisihan sehingga wujud pendekatan mercy killing seperti yang pernah digunakan oleh bekas ketua Royal Bank of Scotland.

Dengan membuang jauh-jauh sifat hubris dalam diri setiap individu dan memberikan tumpuan untuk mendapatkan natijah agar kesemua pihak mendapat keuntungan, perundingan akan lebih mudah dilaksanakan dan semua orang dapat merasai nikmat dari kejayaan yang bakal diperolehi. Saudara boleh memilih contoh perundingan yang dilakukan oleh Rasulullah saw seperti teks di atas atau cara bekas ketua Royal Bank of Scotland yang dilihat seperti lebih macho.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Read previous post:
50 tahun lagi

Saya memang dah lemah sekarang ini dan rasanya kalau tidak diluluskan rancangan kali ini, saya akan meletakkan jawatan, ujar seorang

Close