50 tahun lagi

Saya memang dah lemah sekarang ini dan rasanya kalau tidak diluluskan rancangan kali ini, saya akan meletakkan jawatan, ujar seorang Pengarah di sebuah organisasi.

Suatu pagi, kami bertadabbur surah Yasin dari ayat 1 hingga ayat 30. Antara intipati perbincangan berdasarkan tadabbur surah ini adalah kesungguhan seorang pemuda dari hujung kampung yang sanggup sehingga bergadai nyawa untuk menyatakan kebenaran agama Allah. Seorang peserta mengangkat tangan lantas bertanyakan soalan.

Peserta: Saudara, saya mahu mengadakan majlis ilmu secara berkala di organisasi saya. Cabaran saya adalah pihak Ahli Lembaga Pengarah tidak bersetuju dengan cadangan saya itu. Walhal pengisian majlis ilmu itu akan disampaikan oleh bukan calang-calang orang. Adakah saya perlu bertegas untuk meneruskan rancangan itu kerana saya yakin berada di pihak yang benar.

Saya: Inilah yang sedang kita bincangkan sekarang Tuan. Membina kekuatan untuk menyatakan kebenaran sekalipun akan menerima tentangan yang hebat. Sekiranya Tuan memang yakin berada di atas jalan kebenaran, bertabahlah.

Peserta: Memang benar saudara. Tinggal lagi sekiranya saya bertegas mahu meneruskan rancangan ini, besar kemungkinan untuk saya dilucutkan jawatan dan dibuang kerja. Saya memang dah lemah sekarang ini dan rasanya kalau tidak diluluskan rancangan kali ini, saya akan meletakkan jawatan.

Saya: Tuan seorang yang berjawatan tinggi di tempat kerja. 10 tahun lagi Tuan mungkin sudah tidak bersama lagi dengan organisasi ini, dan saya yakin Tuan pasti ada sesuatu yang mahu diteruskan oleh orang selepas Tuan. Perancangan yang mahu dilaksanakan sekarang, sekiranya diteruskan adakah ianya memberi impak yang besar sehingga 10 atau 50 tahun akan datang? Samada Tuan dipecat atau meletakkan jawatan sekarang, adakah ianya berbaloi atau sebaliknya? Dalam perjanjian Hudaibiyah, isi kandungan perjanjiannya seperti berat sebelah dan tidak berbaloi. Namun, Rasulullah saw adalah seorang yang memandang jauh kehadapan. Hasilnya semua kini tahu bahawa ia adalah sebuah perjanjian yang memenangkan Islam dan amat berbaloi.

Peserta: Alhamdulillah, terima kasih saudara. Saya sudah beroleh jawapannya. Semoga Allah merahmati saudara.

Meninggalkan kesan kebaikan.

Sesungguhnya Kami menghidupkan orang-orang yang mati dan Kami tuliskan segala yang mereka telah kerjakan serta segala kesan perkataan dan perbuatan yang mereka tinggalkan dan (ingatlah) tiap-tiap sesuatu kami catitkan satu persatu dalam Kitab (ibu Suratan) yang jelas nyata.

Yaasin (36:12)

Nenek saya mengajarkan saya Al-Quran sehingga khatam ketika saya berusia 10 dan 11 tahun. Semenjak dari khatam Al-Quran, saya terus mengajarkan kepada orang lain sehingga hari ini. Sudah berpuluh tahun saya ajarkan kepada orang lain. Dan kesannya, nenek masih beroleh pahala dari apa yang saya ajarkan sehingga hari ini.

Kita selalu mendengar perancangan orang hebat untuk bersara awal. Walaupun mereka sedang bercuti mengelilingi dunia, namun duit tidak henti-henti masuk ke akaun bank mereka. Bagaimana pula dengan akaun pahala yang diperlukan untuk membawa saudara ke syurga? Alangkah baiknya ia berterusan memenuhi akaun saudara walaupun pada saat saudara sudah tidak lagi berada di atas dunia ini.

Keputusan Sang Pengarah

Saya berbual panjang dengan pengarah tersebut tentang keputusan beliau. Walaupun pada peringkat awal, beliau memang bercadang untuk berkeras sehingga mahu melepaskan jawatan. Rupanya beliau sudah ada matlamat yang lebih besar dari apa yang mahu dilaksanakan sekarang.

Saya mungkin boleh berkeras pada waktu ini kerana saya yakin sudah berada di landasan yang benar. Namun sekiranya saya melepaskan jawatan sekarang, kemungkinan perancangan saya sekarang akan sukar dilaksanakan dan keinginan saya untuk memastikan organisasi ini mendahului perjuangan Al-Quran mungkin akan terkubur. Saya sudah dihujung usia. Organisasi ini adalah harapan besar saya untuk mencipta pencen kubur yang lumayan”.

70 tahun VS 70 juta tahun

Untuk hidup 70 tahun lagi, stamina yang akan diperah adalah untuk amat tinggi. Pastinya untuk hidup sehingga 70 juta tahun, staminanya akan lebih tinggi. Seorang pengarah akan berasa lemah sekiranya hanya berfikir untuk memenuhi keperluan hidupnya sekarang ini. Dengan harta yang ada sekarang, ia sudah memadai untuk beliau menghabiskan sisa-sisa hidup. Namun beliau yakin ada hidup lain selepas kematian. Keyakinan seperti inilah yang memberi kekuatan untuk beliau terus berjuang.

Apakah stamina yang ada pada kita semua? Moga kita memilih stamina untuk berjuang sehingga 70 juta tahun lagi.

Facebook Comments:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Read previous post:
Cara mudah ‘parking’ kereta dalam keadaan sesak

"Alamak, tempat letak kereta dah penuh, macam mana nak ‘parking’?" Ariffin menyatakan kepada Aiman dalam keadaan gelisah. Tempat letak kereta

Close