Menghias Ramadhan tahun ini…

Ramadhan hadir silih berganti. Sejak dulu, saya selalu mempersoalkan apakah manfaat Surah al-Qadr dibaca selain bulan Ramadhan. Ini disebabkan malam al-Qadr hanya dikaitkan dengan Ramadhan. Allahyarham ayah saya juga sering membacanya dalam solat ketika saya kecil dahulu. Saya tertanya-tanya. Namun kini saya sudah bertemu jawapannya.


Siap sedia dari awal

Sebenarnya untuk bertemu malam al-Qadr, kita perlu bersiap sedia sejak awal Ramadhan.
Untuk bertemu Ramadhan, kita perlu bersiap sedia sejak bulan Rejab dan Syaaban.
Untuk bertemu Rejab dan Syaaban, sepanjang tahun perlu disediakan ke arah itu.

Apa yang berlaku, kalau awal Ramadhan kelam kabut bangun malam, usah disoal berapa banyak malam yang habis di katil peraduan.
Apa yang berlaku, kalau Rejab dan Syaaban kurang menyemak bab Ramadhan serta puasa sunat, usah diperkata keluh kesan menyambut Ramadhan.
Apa yang berlaku, kalau sepanjang tahun tidak teringat al-Qadr dan istilah taqwa dalam ayat 2:183, maka Rejab dan Syaaban hanyalah bulan yang tertera di kalendar Hijri sahaja.

Ramadhan tahun lepas

Ramadhan saya di universiti di US dahulu amat meriah. Persediaan ketika sebelum ke US juga meriah dengan tilawah, tahjud dan ukhuwah iftaar. Namun ia berbeza apabila masuk ke alam pekerjaan.

Saya masih ingat ketika 3 tahun bertugas di Johor. Kerana kerja makin bertambah, kebebasan diberikan kepada diri dan segalanya dicaturkan sendiri, urusan Ramadhan tidak se-efisien mana.

Saya masih ingat ketika bertugas di Shah Alam ketika bekerja bersama satu syarikat konsultan, balik dari Shah Alam dipenuhi trafik yang hebat sehingga kekadang sampai di Bangi dalam kekecewaan jam 9.00 malam. Solat teraweh sudah bermula. Belum lagi disemak bab solat berjemaah di suraunya – kerana masa banyak dihabiskan di atas jalan raya.

Tahun 2007, ketika saya menguruskan syarikat sendiri dan masih bertatih, banyak persiapan syarikat yang perlu dibuat berbanding persiapan menyambut Ramadhan.

Tahun 2008-2009 ketika di Los Angeles, Ramadhan tidak sama ketika di universiti dahulu. Pilihan di tangan sendiri samada mahu iktikaf penuh atau tidak. Alhamdulillah dalam kesibukan menguruskan urusan bisnes kecil-kecilan, ada ruang untuk saya berteraweh di belakang Mishary al-Afasy sebanyak 2 kali. Ramadhan 2009 itu amat bermakna kerana sememangnya setiap orang ada peluang untuk solat dengan linangan air mata. Cuma ia perlukan persediaan – seperti menanti satu konsert atau karnval berlangsung.

[youtube]http://www.youtube.com/watch?v=An7cI66OvRU[/youtube]

Bro Ade dan anak-anaknya

Salah seorang rakan Indonesia saya ketika di US dahulu pasti mengingatkan anaknya dengan kemeriahan Ramadhan. Si ibu akan menghiasi rumah seperti ada jamuan besar apabila masuk Ramadhan. Saya amat seronok memerhati kegembiraan si anak.

Kini, untuk saya menghadapi Ramadhan tahun ini, saya perlu menghias diri saya dengan ilmu dan emosi yang meraikan kehadiran bulan penuh berkat ini. Saya berkira-kira menolak banyak kerja di bulan Ramadhan ini dan memfokuskan kepada amalan dan berdamping dengan al-Quran. Saya tahu ia perlukan persediaan. Alhamdulillah setakat ini ia seperti yang dirancang. Moga Allah mudahkan perancangan kita.

Apakah perancangan anda?

Artikel ini ialah sebahagian daripada kandungan Seminar Transformasi Ramadhan pada 24 Julai 2011. Maklumat lanjut di sini.

Facebook Comments:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Read previous post:
Di mana ingin kucari?

Minggu lepas saya sering outstation. Saya mengendalikan program di Jelebu, Pulau Pinang, Melaka dan Sabak Bernam. Banyak mutiara yang saya peroleh.

Close