Perihal Hantu Di Bulan Ramadhan

Dahulu ketika saya masih kecil di kampung, salah satu sebab seronok datangnya Ramadhan kerana diberitahu dalam bulan ini semua hantu-hantu akan ditangkap.

Atuk nenek akan beritahu anak-anak kecil yang kami tak perlu tak perlu takut lagi untuk ke surau waktu terawih atau subuh gelap kerana tiadanya lagi hantu-hantu yang hobinya menyakat orang seperti malam-malam pada bulan yang lain.

Jadinya bukan main seronoklah kami semua. Dapat keluar malam dengan rasa penuh selamat tak akan terserempak dengan hantu ‘gula-gula’, toyol, hantu galah, gunduruwo dan lain-lain sepupu-sepapat mereka.

Dek kerana rasa selamat itulah yang membawa kanak-kanak dulu berani berarak berjalan kaki atau menaiki basikal keliling kampung melihat susunan pelita-pelita yang pelbagai variasi dan corak.

Malah ada yang sebelumnya takut nak lalu depan kubur pada waktu siang hari, bertukar menjadi berani melalui kawasan kubur walaupun tanpa sebarang lampu suluh dimalamnya.

Perihal hantu ditangkap pada bulan Ramadhan mungkin sekadar motivasi orang-orang tua dulu-dulu. Hadis Nabi menyatakan yang syaitan itu akan dibelenggu pada bulan Ramadhan daripada mengganggu manusia. Maka mudahlah manusia untuk melakukan amal soleh tanpa gangguan godaan syaitan.

 

Itu dulu. Kanak-kanak sekarang walaupun macam-macam pendekatan diambil untuk memberanikan mereka, masih juga takut-takut ke surau untuk terawih atau subuh.

Takut bertembung dengan arwah si fulan itu, si fulan ini. Ini semua kerana pengaruh televisyen yang menamkan perasaan takut yang melampau melalui filem-filem hantu.

Maka keluarlah cerita badan terasa meremang ketika memandu kereta, atau motor terasa berat macam ada penumpang ‘tak nampak’ di belakang. Nak pandang belakang tak boleh, takut. Nak tegur apatah lagi.

Ditambah pula cerita para peniaga bazaar yang merungut duit selalu hilang dicuri toyol. Entahlah toyol yang ambil duit itu atau peniaga yang salah kira saya pun tak pasti.

Apa yang saya nak sampaikan adalah, akibat dari cerita-cerita hantu yang disebarkan tanpa usul periksa sedikit sebanyak mengalih tumpuan kita untuk beribadah. Belum lagi perhatian kita dialihkan kepada juadah apa yang nak dibeli, baju raya warna apa, kuih raya apa nak dibuat dan bermacam-macam lagi.

 

Ramadhan seharusnya menjadikan kita berani kerana Pencipta begitu dekat dengan kita. Keakraban kita dengan Tuhan melalui doa, zikir dan bersilaturrahim menjadikan kita terasa rapat di bawah naunganNya. Hanya manusia yang jauh dari Tuhan akan menjadi pengecut, bacul dan sentiasa takut kepada setiap benda.

Facebook Comments:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Read previous post:
Maaf zahir batin ya…

Saya berfikir tentang persediaan meninggalkan Ramadhan kali ini. Saya menyemak beberapa rujukan. Saya mencari perbezaan antara budaya Aidilfitri di Malaysia

Close