Maaf zahir batin ya…
Saya berfikir tentang persediaan meninggalkan Ramadhan kali ini. Saya menyemak beberapa rujukan. Saya mencari perbezaan antara budaya Aidilfitri di Malaysia dan ketika di luar negara dahulu. Salah satu perbezaan yang saya rasa ketara ialah ‘Maaf Zahir Batin’. Perlukah maaf zahir batin apabila sepanjang tahun umpatan berlaku dan selepas hari raya, bersedia untuk menerima umpatan dan perkara yang menyakitkan hati si teman ?
TV3 memohon maaf
Saya amat kagum dengan TV3 yang baru-baru ini memohon maaf sebelum AidilFitri menjelma. Isunya ialah iklan Hari Raya yang dikomen ramai lantaran tidak bersesuaian dengan ruh Islam. Sememangnya kalau dikaji kesan otak separa sedar, iklan tersebut akan memberi impak kepada minda manusia seperti kartun Teletubbies dan Simpsons. Apa pun, selepas mendengar ‘memohon maaf’ tersebut, amat sejuk hati mendengar.
Memohon maaf kepada Allah, memohon maaf kepada manusia
Apabila kesilapan dibuat melibatkan hak Allah, maka maaf dan taubat perlu dipanjatkan kepada Allah. Namun apabila ia melibatkan hak manusia, maka perlulah kita bertemu dengan manusia tersebut untuk memohon maaf. Bukan hanya ‘maaf lump sum’ – hanya ketika AidilFitri tetapi apabila kita berbuat kesilapan.
Iblis juga berdoa
Dalam peristiwa Nabi Adam dan Iblis, kedua-duanya berdoa. Nabi Adam yang berbuat kesilapan segera berdoa dan memohon maaf dari Allah. Bagaimana dengan Iblis? Percayakah Iblis pada Allah? Ya, dia percaya kerana Iblis tetap berdoa kepada Allah:
Iblis berkata: Berilah tempoh kepadaku hingga hari mereka dibangkitkan (hari kiamat). (7:14)
Iblis percaya kepada Allah. Jika tidak lantaran beliau berdoa kepada Allah? Namun kepercayaan kepada Allah ini tidak cukup untuk menjadi makhluk beriman. Orang yang beriman perlu percaya dan melaksanakan suruhan serta meninggalkan larangan Allah.
Segera dan lambat, maaf dan derhaka
Apakah seruan Allah? Nabi Adam memohon maaf kepada ALlah kerana beliau tersilap. Beliau memohon maaf segera kepada Allah. Manakala Iblis? Berdoa apabila sudah diarah keluar daripada syurga. Setelah ditegur, Nabi Adam berdialog dengan Allah untuk memohon maaf, namun teguran Allah kepada iblis diikuti dengan doa untuk mendapat lebih peluang untuk berbuat derhaka. Masih mencari peluang dan menegaskan ego diri untuk terus mengabaikan teguran yang diberikan.
Susah sangatkah memohon maaf?
Iblis enggan memohon maaf malah berdoa untuk diberi peluang menggoda bani Adam setelah diarah untuk sujud kepada Nabi Adam. Ketika ditanya:
Apakah penghalangnya yang menyekatmu daripada sujud ketika Aku perintahmu? Iblis menjawab: Aku lebih baik daripada Adam, Engkau (wahai Tuhan) jadikan daku dari api sedang dia Engkau jadikan dari tanah (7:12)
Iblis menjawab soalan bukan dengan fakta yang jelas dan nyata, tetapi sekadar menunjukkan ego kepada Allah. Lantas dari hal ini, doa atau permintaannya juga bertitik tolak atas dasar ego. Allah kabulkan ? Tetap Allah kabulkan.
Namun bagi Nabi Adam, teguran Allah itu dijawab dengan ‘maaf’. Ini melambangkan kerendahan diri. Teguran dari Allah tentu benar. Jika ditegur oleh manusia sekalipun, mula dengan ‘minta maaf’ akan menyelesaikan sebahagian daripada konflik dan selepas itu, bolehlah dianalisis untuk menentukan penyelesaian. Membalas teguran dengan berhujah dan makin ingin menegakkan benang basah hanya akan menambahkan kekeruhan.
Kesan ‘minta maaf’
Kajian menunjukkan bagi pasangan yang berkonflik, ‘minta maaf’ akan memberi kesan penyelesaian.
Another result, Sanford believes, is that concerns regarding perceived neglect may be best resolved when a person receives an apology and then decides to forgive. In contrast, a person concerned about a perceived threat may be more interested in receiving demonstrations of deference, expressions of appreciation, and reductions in hostility. (ScienceDaily)
Selain itu, ada banyak manfaat apabila ‘memohon maaf’ pada Allah atau dengan manusia:
- Yang memohon maaf sedar ada sesuatu tidak kena.
- Yang menerima maaf juga sedar bahawa si peminta maaf sedar ada sesuatu yang tidak kena.
- Apabila item 1 dan 2 berlaku, maka proses membaiki akan menjadi lebih mudah. Jika item 1 tidak berlaku, penerima maaf tidak pasti samada kesilapan mampu dibaiki pada masa akan datang atau tidak.
- Apabila keluar ‘saya minta maaf’, pemohon maaf sudah berjaya dengan dirinya. Berjaya atau tidak untuk baiki adalah hal kedua.
- Malah apabila mendengar ‘saya minta maaf’, si penerima maaf yang bertanggungjawab akan memberi sokongan dan doa agar si peminta maaf segera memperbaiki kesilapan dan terus berjaya.
- Si penerima maaf yang tidak bertanggungjawab akan terus mengungkit dan mengutuk kesilapan lepas. Dan Allah Yang Maha Penerima Taubat akan menutup kesilapan dan menghapuskan kesalahan jika hamba-Nya bertaqwa – dengan selalu bertaubat.
Moga Allah berikan kekuatan kepada kita untuk bertaubat dan meminta maaf dengan Allah dan sesama manusia selalu sepanjang tahun, tidak hanya ketika terhidang kuih raya atau menyarungkan pakaian baru.