16 kaedah mencapai ulul-albaab


Apakah maksud ulul-albaab ? Secara ringkas, al-albaab adalah bentuk jamak dari kata lubb iaitu sari pati sesuatu. Kacang – misalnya – memiliki kulit yang menutupi isinya. Isi kacang dinamakan lubb. Menurut seorang ulama,  Ulul-albaab adalah orang-orang yang memiliki akal yang murni yang tidak diselubungi oleh ‘kulit’, iaitu kabut idea yang dapat melahirkan kerancuan dalam berfikir atau tidak rasional dalam perspektif spirituil.

Berikut ialah ayat-ayat dalam al-Quran – pada 16 tempat – menceritakan ciri ulul albaab:

Dan di dalam hukuman Qisas itu ada jaminan hidup bagi kamu, wahai orang-orang yang berakal fikiran, supaya kamu bertakwa. (2: 179)

Dapat memahami bahawa qisas menjanjikan kehidupan.

(Masa untuk mengerjakan ibadat) Haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat Haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri dan tidak boleh membuat maksiat dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan ibadat Haji. Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri (dari keaiban meminta sedekah) dan bertakwalah kepadaKu wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya). (2:197)

Dapat bersedia dengan taqwa – kerana itulah persediaan spirituil yang penting.

Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditentukanNya) dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya dia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya. (2:269)

Mampu mengambil pengajaran, beringat dan hikmah.

Dialah yang menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci Al-Quran. Sebahagian besar dari Al-Quran itu ialah ayat-ayat “Muhkamaat” (yang tetap, tegas dan nyata maknanya serta jelas maksudnya); ayat-ayat Muhkamaat itu ialah ibu (atau pokok) isi Al-Quran dan yang lain lagi ialah ayat-ayat “Mutasyaabihaat” (yang samar-samar, tidak terang maksudnya). Oleh sebab itu (timbullah faham yang berlainan menurut kandungan hati masing-masing) adapun orang-orang yang ada dalam hatinya kecenderungan ke arah kesesatan, maka mereka selalu menurut apa yang samar-samar dari Al-Quran untuk mencari fitnah dan mencari-cari Takwilnya (memutarkan maksudnya menurut yang disukainya). Padahal tidak ada yang mengetahui Takwilnya (tafsir maksudnya yang sebenar) melainkan Allah dan orang-orang yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya dalam ilmu-ilmu agama, berkata: Kami beriman kepadanya, semuanya itu datangnya dari sisi Tuhan kami dan tiadalah yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang-orang yang berfikiran. (3:7)

Mampu berinteraksi dengan ayat muhkamat dan mutasyabihat dengan baik.

Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal. (3:190)

Mampu untuk berfikir dan memahami tanda-tanda kebesaran Allah di alam maya pada ini.

Katakanlah (wahai Muhammad): Tidak sama yang buruk dengan yang baik, walaupun banyaknya yang buruk itu menarik hatimu. Oleh itu bertakwalah kepada Allah wahai orang-orang yang berakal fikiran, supaya kamu berjaya. (100)

Mampu untuk membezakan perkara yang baik dan buruk – walaupun yang nampak itu kelihatan menarik.

Demi sesungguhnya, kisah Nabi-nabi itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang mempunyai akal fikiran. (Kisah Nabi-nabi yang terkandung dalam Al-Quran) ia bukanlah cerita-cerita yang diada-adakan, tetapi ia mengesahkan apa yang tersebut di dalam Kitab-kitab agama yang terdahulu daripadanya dan ia sebagai keterangan yang menjelaskan tiap-tiap sesuatu, serta menjadi hidayah petunjuk dan rahmat bagi kaum yang (mahu) beriman. (12:111)

Mampu mengambil pengajaran dari kisah Nabi-Nabi.

Maka adakah orang yang mengetahui bahawa Al-Quran yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu itu (wahai Muhammad) perkara yang benar, sama dengan orang yang buta mata hatinya? Sesungguhnya orang-orang yang mahu memikirkan hal itu hanyalah orang-orang yang berakal sempurna. (13:19)

Mampu melihat kebenaran al-Quran.

(Al-Quran) ini disampaikan kepada manusia supaya mereka diberi ingat dan diberi nasihat dengannya dan supaya mereka mengetahui (dengan hujah-hujah yang tersebut di dalamnya) bahawa sesungguhnya Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa dan supaya orang-orang yang mempunyai fikiran, beringat dan insaf. (14:52)

Mampu memahami al-Quran untuk membuktikan keesaan Allah.

(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), Kitab yang banyak faedah-faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya dan untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar. (38:29)

Memahami dengan teliti atau tadabur al-Quran.

Dan Kami kurniakan (lagi) kepadanya keluarganya, dengan sekali ganda ramainya, sebagai satu rahmat dari Kami dan sebagai satu peringatan bagi orang-orang yang berakal sempurna (supaya mereka juga bersikap sabar semasa ditimpa malang). (38:43)

Mampu sabar dan melihat keseluruhan peristiwa kisah Nabi Ayub.

(Engkaukah yang lebih baik) atau orang yang taat mengerjakan ibadat pada waktu malam dengan sujud dan berdiri sambil takutkan (azab) hari akhirat serta mengharapkan rahmat Tuhannya? Katakanlah lagi (kepadanya): Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna. (39:9)

Yang dapat solat malam serta berilmu.

Yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya (pada segi hukum agama); mereka itulah orang-orang yang diberi hidayat petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna. (39:18)

Mendengar serta berusaha dengan cara terbaik pada apa yang sudah didengari.

Tidakkah engkau memerhatikan, bahawa Allah menurunkan hujan dari langit, lalu dialirkanNya menjadi mata air-mata air di bumi; kemudian Dia menumbuhkan dengan air itu tanaman-tanaman yang berbagai jenis dan warnanya; kemudian tanaman-tanaman itu bergerak segar (hingga ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatmu berupa kuning; kemudian Dia menjadikannya hancur bersepai? Sesungguhnya segala yang tersebut itu mengandungi peringatan yang menyedarkan orang-orang yang berakal sempurna. (39:21)

Dapat mengambil pengajaran dalam dunia fizikal dan dikaitkan dengan dunia spirituil tentang dunia serta akhirat.

Sebagai hidayat petunjuk dan peringatan bagi orang-orang yang berakal sempurna. (40:54)

Mempunyai atau mendapat petunjuk dengan Kitaab samawi.

Allah menyediakan bagi mereka azab seksa yang seberat-beratnya. Maka bertakwalah kepada Allah wahai orang-orang yang berakal sempurna dari kalangan orang yang beriman. Sesungguhnya Allah telah menurunkan kepada kamu peringatan; (65:10)

Dapat menjadikan neraka sebagai peringatan untuk bertaqwa.

Facebook Comments:

1 Comment

  1. echopena says:

    Inilah yang kita mahu lihat dipersembahkan oleh mereka yang benar-benar inginkan Malaysia mempunyai generasi ulul-albaab. Bukan hanya melalui retorik semata. Mencari popularati dengan bercakap tanpa formula yang jelas.

Leave a Comment

Read previous post:
CASIC dengan PIE, CASIC dengan PIES

CASIC boleh diamalkan di peringkat PIE. Namun ia tidak lengkap. Untuk lengkap, CASIC perlu difahami dengan sumber PIES. Tambah satu...

Close