Benarkah P dekat I dan E dekat S?

Benarkah aspek fizikal dekat dengan aspek intelek? Benarkah aspek emosi dekat dengan spiritual? Mungkin penyataan ini tidak nampak jelas asasnya. Tapi bagaimana pula kalau kita lihat dalam senario kehidupan seharian? Dalam teori psikologi, kaum lelaki banyak menggunakan hemisfera kiri otak yang dikaitkan dengan  gaya fikir objektif. Manakalau kaum wanita banyak menggunakan kedua-dua hemisfera, yang menjadikan sesuatu yang difikirkan mengambil dua perkiraan – objektif dan subjektif. Nilai subjektif banyak dikaitkan dengan aspek emosi. Kajian ini bukan menidakkan bahawa kaum lelaki tidak subjektif atau mempunyai nilai emosi dan sebaliknya.

Namun apakah kesan intelek yang amat hebat? Intelek tanpa emosi yang bersama akan menjadikan manusia mencari teori dan teori untuk kehidupan mereka. Adakah bagus? Dalam perspektif positif, intelek akan membawa kepada ilmu dan kebenaran. Namun dalam masa yang sama, ilmu yang ada pada kaum Yahudi tetapi tidak disertakan amal menyebabkan kaum ini dimurkai. Mereka dimurkai kerana mereka menggunakan ilmu dan kemahiran berfikir mereka untuk membuat kerosakan di atas muka bumi ini. Sejarah pada zaman Nabi terdahulu jelas membuktikan hal ini.

Bagaimana kesan emosi? Kalau positif, ia akan menyebarkan kasih sayang dan kedamaian. Kalau negatif, ia akan merosakkan suasana ukhuwah yang ada. Dalam diri wanita ada rahim, yang sebenarnya tempat ‘rahim’ atau kasih sayang terjelma terutama ketika mengandungkan si anak. Ini amat jelas apabila kita melihat perbezaan fitrah wanita secara umum. Banyak kes di mana wanita menggugurkan kandungan. Biarpun seorang wanita rasa bersalah dan terpaksa menggugurkan si anak, pasti ada perasaan kasih sayang terutama apabila melihat kandungan terkujur tanpa nyawa – dari rahim mereka.

Jika dikaji aspek spiritual, kemampuan kita merasai iman terhadap Yang Maha Penyayang ialah apabila wujud dalam diri kita ’emosi penyayang’ atau rasa kasih sayang. Berbanding ilmu kasih sayang, individu yang mempraktikkan nilai kasih sayang akan mampu ‘merasai’ emosi kasih sayang ini. Malah tidak kurang individu yang tahu ilmu atau teori kasih sayang selepas menghadiri kuliah atau ceramah, tetapi dia jugalah yang menghempuk ahli keluarga di rumah. Betapa ramai yang menghadiri kursus nikah di Malaysia, namun kes pukul dan kekejaman makin menjadi di Malaysia. Ini menunjukkan ilmu tanpa dibawa kepada amal tidak menatijahkan emosi yang celik. Emosi yang celik ini akan membuka ruang spiritual atau ruuh untuk menghargai keesaan Allah.

Tanyalah pada si ayah yang tahu perlu memberi kasih sayang dan yang mencium anaknya sebagai bukti kasih sayang. Tentu ada bezanya. Individu yang tahu kepentingan keluarga dan berpengalaman membina sebuah keluarga – pasti mempunyai kesan berbeza. Atas dasar itu, apabila kita merujuk kepada tahap beramal dalam ayat berikut dalam Surah al-Fatehah ayat 5, ada 4 garis yang diberikan oleh Ibn Qaiyim al Jauziyah.

(1:5) Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan.

Dalam bukunya Madarij-us-Salikin, Ibn Qoiyim menyatakan untuk seseorang mengamalkan ayat di atas, ada 4 tahap:

  1. Yaqazah (kesedaran)
  2. Fikrah (Pemikiran atau ilmu)
  3. Baseerah (kejelasan mata hati)
  4. Azam (keazaman)

Seseorang akan beramal apabila sudah timbul azam. Ia bermula dengan ilmu – samada formal atau tidak formal. Namun ilmu tanpa keinginan kuat (himmah) tidak akan membawa kepada baseerah serta azam – maka tiada amal. Keinginan yang kuat ini ialah antara topik yang dibincangkan oleh Daniel Goleman dalam bukunya Emotional Intelligence. Aspek emosi amat penting untuk menukarkan ilmu menjadi amal. Jika amal itu bertepatan dengan syaratnya (ikhlas dan mengikut contoh Rasul), maka ia akan menjadi ibadat atau membina spiritual. Jika tidak ikhlas atau tidak mengikut Rasul, ia akan merosakkan spiritual seseorang.

P dekat dengan I

Jika  digunakan intelek ke arah yang benar, ia akan memandu kepada aspek emosi yang cerah dan spiritual yang hidup. Jika intelek digunakan dengan asas spiritual yang salah, intelek akan mewujudkan kerosakan dan cenderung kepada aspek fizikal – wang, harta dan apa-apa sahaja yang menyukakan fizikal. Jika individu dengan intelek yang kuat tanpa spiritual yang mantap, ia akan membina kemajuan fizikal yang akhirnya boleh memusnahkan tamadun yang seimbang aspek PIES mereka. Individu yang dominon nilai intelek tanpa asas spiritual yang baik, akan membuat lebih banyak kerosakan.

Penemuan formula bom atom adalah hasil intelek yang tinggi. Namun kerana asas spiritual tidak kuat, ia akan menyebabkan kerosakan di atas muka bumi dengan melaksanakan serangan ‘fizikal’ kepada sesiapa sahaja. Namun kalau digunakan untuk manfaat, ia boleh digunakan untuk menghasilkan tenaga yang diperlukan di stesen janakuasa dan sebagainya.

Kalau si ayah yang tinggi intelek – samada sifat fitrah sebagai lelaki atau latarbelakang pelajarannya – akan menyebabkan si ayah menggunakan fizikal (tangan, kaki dsb) untuk mengajar si anak (memukul, menendang, menampar)

Kalau si guru lelaki yang tinggi intelek – samada sifat fitrah seorang lelaki atau latarbelakang pelajarannya – akan menyebabkan si guru lelaki suka menggunakan fizikal untuk mengajar atau mendenda pelajar

Malah lebih teruk, nilai intelek yang tidak terkawal dengan aspek emosi dan spiritual positif akan menyebabkan manusia melaksanakan kerosakan dalam diri, keluarga atau masyarakat, dan masih lagi mampu hadir dengan ‘dalil intelek’ untuk justify tindakan yang dibuat. Seorang guru akan menyatakan ‘ saya tendang dia kerana dia tidak hormat saya. Kalau saya tak buat begini, nanti bila besar, dia akan tendang orang lain atau menendang undang-undang masyarakat. Lebih baik saya ajar dia sekarang’ – bukankah ini rasional yang mantap tetapi tidak diterima oleh seorang yang berfikiran waras?

E dekat dengan S

Jika emosi tidak dibina atas dasar positif, emosi ini akan menyebabkan seseorang mempunyai spiritual yang kotor. Hati kotor kerana emosi tidak dijaga. Orang Kristian disesatkan kerana emosi kasih sayang pada Jesus yang amat tinggi namun ia tidak diasaskan kepada spiritual yang benar. Namun kalau emosi itu dijaga dengan baik seperti berkasih sayang, berlemah lembut dan menjaga perasaan, ia akan menyebabkan hati mempunyai akses kepada tahap spiritual yang tinggi.

Itu sebabnya walaupun wanita ada sifat kasih sayang, namun nilai emosi ini akan hancur kalau spiritual tidak benar asasnya. Namun kalau fitrah wanita dengan kasih sayang itu dibajai, ia akan membawa kepada aspek spiritual yang lebih tinggi. Kasih sayang mempunyai pelbagai peringkat. Paling rendah ialah kasih pada aspek fizikal. Paling tinggi pada aspek spiritual. Namun kasih sayang tidak boleh dipisahkan dalam aspek PIES kerana itulah bukti kehidupan Islam yang syumul.

Atas dasar itu, nilai emosi perlu dipupuk baik selepas ada ilmu.

Kalau si ibu tinggi emosi positifnya – samada sifat fitrah atau latar belakang kehidupannya – akan menyebabkan si ibu menggunakan kelemahlembutan dalam mendidik si anak. Dia tahu bagaimana menggunakan kata-kata , bukan fizikal, untuk mendidik si anak. Tidak dinafikan keperluan fizikal seperti rotan untuk mendidik si anak jika tidak solat, namun itu adalah kaedah terakhir selepas nasihat diberikan dengan baik serta ditunjukkan kaedah untuk melaksanakannya. Apa yang banyak berlaku, banyak ‘rotan’ digunakan untuk mengajar si anak, walaupun si ayahnya tidak solat – dan masih menyatakan dalil berbuat demikian ialah kerana ada hadis Nabi sedemikian! ‘Rotan’ tanpa spiritualakan hilang berkatnya dalam mengajar anak.

Apabila P dekat dengan I, E dan S

Kita tidak mahu dunia ini amat kasar. Kita tidak mahu dunia ini amat lembut sampai sesiapa sahaja boleh pijak kepala.

Oleh itu pertengahan amat penting. Keseimbangan aspek P, I, E dan S perlu disemai.

Kalau anda seorang lelaki secara fizikal, usahakan guna ‘gaya fikir objektif anda’ untuk disulami aspek emosi yang menyejukkan untuk merasai kemanisan spiritual.

Kalau anda seorang perempuan secara fizikal, gunakan ‘kelembutan anda’ untuk disulami dengan aspek intelek agar benar dalam meningkatkan aspek spiritual dalam kehidupan.

Kalau anda bijak dan tinggi intelek (samada lelaki atau perempuan), sulamilah ilmu itu dengan emosi yang positif dan menyejukkan agar si profesor, si guru, si ulama, si suami atau isteri itu mampu mendekati lebih ramai manusia serta memandu mereka kepada keimanan yang tinggi pada Allah (spiritual). Bukan hanya berhujah secara lisan tetapi hujah dengan amalan. Hujah dengan amalan terbukti menyebabkan ramai memeluk Islam di zaman Nabi. Ia lebih menenangkan.

Kalau anda tidak tinggi belajar akademiknya dan sering berlembut dalam kehidupan, sulamilah dengan ilmu yang anda cari, agar kelembutan dan emosi anda tidak menyebabkan sesiapa boleh pijak dan melekehkan kebenaran dalam kehidupan.

Moga Allah memberi kemampuan kepada kita mengenal potensi PIES dalam diri, dan kita customize untuk menghadapi kehidupan dan membanyakkan amal, sebelum bertemu Yang Esa.

Facebook Comments:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Read previous post:
Pergi lagi…

Baru sebentar tadi saya balik menyolatkan dan mengkebumikan jenazah Faisal Billah. Saya tidak kenal beliau ketika hidupnya kecuali beberapa jam

Close