Kejutan batin buat mereka yang bergelar pemuda


Kejutan batin buat mereka yang bergelar pemuda

 

Bismillahirrahmannirrahim

 

Wahai Pemuda! Kenalilah Dirimu Sendiri….

  

Tidak lupa juga kepada seorang lelaki yang paling mulia walaupun baginda mengatakan ‘Aku ini adalah manusia seperti kamu’, tetapi semangat, kekuatan serta jati diri baginda adalah menjangkau kelebihan serta potensi manusia biasa. Itulah lelaki yang mulia, Muhammad bin Abdullah, lelaki yang berjaya mengheret manusia pada zamannya dan generasi kini dari termasuk ke dalam lembah yang amat perit dan seksa yang amat dahsyat. Baginda membawa mesej  keselamatan dan kesejahteraan untuk sekalian manusia supaya berfikir dan melakukan anjakan yang besar di dalam pemikiran dan keyakinan tentang ketuhanan yang sebenarnya. Selawat ke atasnya bagi memperolehi syafaatnya di akhirat kelak.

 

Wahai pemuda, yang masih gagah, yang masih kuat, yang masih bertenaga, lihatlah pada dirimu sekarang, adakah kamu sudah melaksanakan perintah Tuhanmu dengan sebenarnya? Sudahkah kamu menggunakan seluruh nikmat kekuatan, pemikiran, emosi dan seluruh yang ada pada dirimu itu untuk mendekatkan dirimu kepadaNya? Adakah engkau benar-benar yakin dengan kekuatan dan kehebatan yang ada pada dirimu sekarang?

 

Wahai pemuda, berapakah usia mu sekarang? Adakah kulit mu masih tegang, cantik dan lembut pada waktu ini? Adakah wajah mu kacak dan cantik, mampu menarik perhatian orang lain? Adakah rambut mu masih hitam? Adakah kudrat dan ototmu masih kuat?

 

Wahai pemuda! Ingatlah kesemua potensi yang ada tertanam di dalam dirimu itu adalah nikmat yang cukup sekejap! Ianya tidak lama dan pasti akan kembali kepada Yang Maha Menciptakan.

 

Wahai pemuda! Dunia mu kini ialah dunia tanpa sempadan, dunia tanpa wayar, dunia digital dan pelbagai lagi isitilah dunia yang kamu hadapi. Dunia mu kini adalah jauh lebih baik dari zaman terdahulu. Namun, janganlah engkau terpedaya dengan mengandaikan bahawa, dunia yang ada pada mu kini adalah dunia yang mampu memberi kita kemudahan dan access yang laju untuk kita mendekatkan diri kita kepada Pencipta kita. Dunia kini adalah jauh lebih mencabar dan lebih sukar berbanding dunia yang dihadapi oleh orang-orang terdahulu. Dunia kini, adalah dunia hiburan, pornografi dan bermacam lagi bentuk-bentuk dunia yang kian menggugat-tarik kekuatan dan jati diri pemuda Islam.

 

Wahai pemuda! Mari kita periksa dan membuat introspeksi diri sedalam-dalamnya agar kita perolehi kemenangan dan kejayaan yang disediakan oleh Yang Maha Mencipta. Dialah yang menyediakan seluruh kemudahan yang kita peroleh sekarang ini untuk mendekatiNya. Lihat pada dirimu sendiri! Lihatlah pada hatimu sendiri! Lihatlah pada potensi dirimu sendiri! Lihatlah jiwamu sendiri! dan lihatlah hawa nafsumu sendiri! Mari kita bangkit dan sedar akan dunia yang kian menarik ke lembah kemusnahan.

 

Wahai pemuda! Jika engkau tidak menyedari bahawa dirimu sedang menuju ke lembah kemusnahan, ternyata engkau adalah MANGSA dunia! Jika engkau tidak terbangun dari kezaliman yang berlaku ke atas dirimu, maka engkau adalah MANGSA kezaliman dunia. Jika engkau tidak tahu bahawa engkau sebenarnya sedang dimamah oleh dunia yang sedang rakus menjamah tubuh badanmu, maka engkau adalah MANGSA binatang dunia yang rakus kelaparan menjamah mangsanya!

 

Wahai pemuda! Kasihanilah dirimu! Berilah peluang dan ruang agar dirimu berada di dalam orientasi rahmat dan keredhaan Tuhanmu yang sebenar. Berilah masa untuk dirimu kembali kepada fitrah dan berilah kerehatan untuk mengenali dirimu. Janganlah engkau membiarkan dirimu, potensimu, kekuatanmu serta jiwamu kepada perkara yang merosakkan dan sia-sia kerana ia akan pergi dan meninggalkan kesan penyesalan di lubuk hatimu.

 

Ya Ar Rahman, ya Ar Rahim, Ya Al Maliik, Ya Al Quddus, Ya Al Latiif, Ya Ya As Salaam, Tuhan yang mempunyai nama-nama yang indah, yang cantik dan bahagia, kurniakanlah rahmat dan kasih sayangMu kepada sekalian ummat manusia di muka bumi ini, agar kami mampu melaksanakan suruhanmu bagi membuktikan ketaatan ke atasMu agar memperoleh ketenangan dan kebahgiaan yang sebenarnya di dunia mahupun di akhirat. Kurniakanlah keredhaan dan rahmatMu, agar kami perolehi kecintaan dan kerinduan yang sebenarnya di dalam lubuk hati kami, agar kami mampu melaksanakan seluruh suruhanMu dengan penuh rasa rindu dan cinta kepadaMu, Ya Ar Rahman Ar Rahiim…

 

Facebook Comments:

Leave a Reply

Read previous post:
Antara Jantung dan Hati

  Kita orang Melayu  sangat keliru antara istilah Jantung dan hati.  Perkataan “jantung” dalam Bahasa Inggeris disebut sebagai “heart”; manakala...

Close