Kita dan mereka tak sama…

Saya 'membelek' diri sendiri serta rakan-rakan seperjuangan. Saya ada membaca berita di sana-sini tentang cabaran umat. Saya juga membaca di sana sini kawan-kawan yang berbuat kerja dakwah. Ada yang menulis laporan amat baik dan cemerlang dengan mengetengahkan pujian menggunung, lantas saya tertanya: beginikah selayaknya dakwah ? Kalau zaman Rasul itu penuh cabaran, adakah zaman ini dakwah itu penuh kegembiraan dan kejayaan? Atau ia sekadar laporan berita yang diadun untuk memberi semangat sahaja? Bagaimana kalau ianya berbentuk pujian menggunung?

Ada sesuatu yang tidak kena 

Saya yakin jalan dakwah penuh dengan cabaran dan 'tidak perlu disensasikan'. Memanglah kita ingin memberi semangat dan motivasi kepada yang lain, namun kekadang ianya disampaikan sehingga mampu menutup kelemahan dan menaikkan diri.Astaghfirullah! Ia boleh membunuh jiwa dakwah yang cuba kita bina selama ini.

'Berapa orang anak usrah enta?'

'Ada ramai. Memang tak terlayan.'

'Program baru nie, memang berkesan. Budak-budak tu terkesan. Fuhh…'

'Ramai yang menangis. Nie gambarnya sempat aku rakamkan'

Adakah program dakwah atau tarbiah diukur dari segi nombor atau banyaknya menangis? Berdasarkan pengalaman, ia bukanlah segala-galanya. Dalam hadis pun, menangis yang diukur ialah apabila bersendirian – mengenangkan dosa, lantas tergenang air mata. Dalam program , ia sebagai permulaan. Amat bagus. Namun kekadang ia boleh dipaksakan dan tidak mustahil juga yang menonton filem Bollywood yang menitiskan air mata di kalangan pakcik makcik. Samakah air mata itu dengan air mata taubat ?

Fitnah menjadi pendakwah

Kekadang kita rasa seronok orang ketawa dan suka mendengar perkataan kita, ia adalah fitnah kerana yang wajar diikuti secara mutlak ialah Allah – Al-Matbu'

Kekadang kita rasa seronok dihormati dengan tinggi, sampaikan tak sempat kita melihat kepada kelemahan diri. Yang layak dicintai dengan mutlak ialah Allah

Kekadang kita rasa seronok dapat menyebabkan orang menangis – padahal pemberi amaran yang mutlak ialah Allah

Kekadang kita rasa seronok orang gembira dengan sebab program dan perkataan yang kita ucapkan padahal yang layak menjadi pemberi khabar gembira mutlak ialah Allah

Tidak boleh seronok? Bukan tidak boleh, tetapi jangan sampai ia menimbulkan penyakit dalam hati. Ingin tahu apakah petandanya?

Kita suka orang puji, dan kita marah kalau orang memberi komen atau kritik
Kita suka kalau orang ikut cakap kita, tak seronok kalau ada yang mempersoalkan
Kita suka dan puas kalau berjaya menyebabkan orang menangis, dan rasa kurang kalau ia tidak berlaku.

Tujuan kita besar. Berusahalah 

Tujuan kita amat besar untuk membebaskan manusia daripada kehambaan sesama manusia kepada kehambaan kepada Allah dengan sebenar-benarnya. Usaha itu amat besar dan perlukan kerja yang berterusan. Jangan dengki dengan kejayaan orang lain tetapi dalam masa yang sama, jangan memberi peluang untuk orang berdengki dengan kita secara terbuka.

Apabila kita sedar tugas yang besar ini, maka sepatutnya kita akan melibatkan semua orang yang inginkan kebaikan. Tidak akan dipilih golongan elit atau hebat sahaja kerana inilah sunnah Rasul. Hatta ada yang sekadar mengetuk pintu sahaja memberitahu kalimah Lailaha illallah atau menutup bekas tapak kaki perjalanan ketika peristiwa Hijrah.

Apabila kita sedar bahawa tujuan kita besar maka kita akan mudah melupakan pergaduhan dan perbezaan di kalangan kita. Memang ada yang tidak berpuas hati, tidak suka dan sebagainya. Namun jalan dakwah ini perlu dibersihkan dengan sebersih-bersihnya. Ia akan menguji dalam pelbagai aspek. Kekadang kepayahan dan kekadang kesenangan. Apabila kita dipuji dalam dakwah, bersedialah untuk diuji dengan lebih hebat.  Di sinilah peranan menjaga hati masing-masing. Jangan dibiarkan hidup ini dibina keimanan tanpa ilmu apatah lagi dalam kerja dakwah yang dilaksanakan kerana kita khuatir, usaha islah yang dibawa itu boleh membawa 'kefasadan'  yang berlaku tanpa diduga. Pada zaman Nabi, tidak ada yang tertinggal daripada medan perjuangan kecuali yang malas. Namun kalaulah zaman sekarang ini ada yang 'tertinggal'  dan rasa 'terpinggir' padahal ia juga berusaha, maka perhatikanlah – adakah kita sudah bersatu pada jamaah dalam melaksanakan dakwah? Atau laporan 'dakwah' kita amat ekslusif dan sensasi sehingga menimbulkan noda hitam dalam diri ?

Ya Allah ampunilah dosa kami. Jadikanlah diri kami yang mengikuti sunnah Rasul-Mu dalam dakwah. 

Allahu a'lam. 

 

 

 

Facebook Comments:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Read previous post:
The POWER of ‘Maaf’

Perhubungan dengan manusia memang secara lumrahnya tidak lekang dengan perselisihan faham, konflik, tidak berpuas hati, mungkiri janji, salah faham dan...

Close