Everyone Connect: Dalam Jalinan Aidilfitri


(Nota untuk Back To Quran )

Alhamdulillah umat Islam hampir selesai menjalani ibadah Ramadhan 1431H. Kami dari Back to Quran mendoakan semoga semua amalan yang kita usahakan dibulan Ramadhan ini mendapat ganjaran dan balasan daripada Allah s.w.t.

Dengan berakhirnya Ramadhan maka bakal menjelmalah pula Syawal yang mulia. 1 Syawal adalah hari kemenangan, hari kegembiraan dan hari kebesaran bagi umat Islam. Ianya wajar dirayakan dengan penuh sukacita, membuka peluang bagi kita mengungkapkan perasaan bahagia dan syukur kepada Yang Maha Esa.

Nabi menggalakkan seluruh umat Islam bersuka ria pada hari ini. Bersuka ria dengan cara Nabi adalah sebaik-baik hiburan bagi umat manusia. Oleh kerana Nabi Muhammad s.a.w amat kasih dan sayang kepada umatnya, hiburan bagi Nabi adalah dengan menghiburkan hati orang lain. Rasulullah bergembira dengan menggembirakan hati orang lain dengan membina hubungan peribadi yang istimewa. Setiap individu itu bagai mendapat tempat pertama dihati Rasulullah serta menjadi perhatian utama Rasulullah dan itulah yang dilakukan Rasulullah tanpa mengira status dan umur.

Bukan dengan menyediakan pesta hiburan, bukan dengan pemberian yang mahal-mahal, bukan dengan jamuan makan mewah dan juga bukan dengan pujian yang melambung-lambung.

 

Maka dengan itu dihari 1 Syawal nanti marilah kita bersuka ria dan bergembira dengan suasana yang diajarkan Rasulullah s.a.w. Beberapa perkara yang boleh kita lakukan bersama:-

 

1. Sebarkan salam, lebarkan senyuman.

Hari Aidilfitr adalah hari sosial terbesar umat Islam selain dari hari Aidiladha. Pada hari ini semua orang akan keluar dari rumahnya bercampur gaul dengan ahli keluarga dan masyarakat. Jadikanlah ini peluang merapatkan semula hubungan sesama kita, samada yang jauh dirapatkan atau yang rapat didekatkan. Rasulullah memilih jalan yang berlainan untuk pergi dan balik solat Aidilfitr kerana baginda mahu bertegur sapa dengan seramai mungkin sahabat.

 

Dan mari lebarkan senyuman. Ia memberikan impak yang amat positif dalam jalinan perhubungan. Ia mewujudkan suasana sosial yang amat mesra dan produktif yang menghasilkan individu yang sihat jiwanya, bersih fitrahnya dan jauh daripada perasaan saling tidak mempercayai. Aidilfitr sememangnya hari yang bahagia untuk kita.

 

2. Mohon kemaafan, doakan kesejahteraan.

Muslim yang terbaik adalah yang sentiasa mempunyai inisiatif untuk memohon maaf berbanding menuntut kemaafan daripada yang lain. Dan mereka pula berinisiatif memberi ampun maaf keatas kesalahan orang lain sebelum ianya dipinta. Untuk mewujudkan kasih sayang juga, doakanlah kebaikan dan kesejahteraan untuk orang sekeliling. Di hari Aidilfitr, apabila bertemu Rasulullah serta para sahabat akan mengucapkan “taqabballahu minna wa minkum” : semoga Allah menerima amalan (amalan Ramadhan) kami dan kamu. Bagi kita di Malaysia kita akan mengucapkan permohonan maaf. Dengan tujuan yang sama, ianya tidak menjadi masalah.

 

Apabila kita melayan orang dengan baik, orang lain akan melayan kita dengan lebih baik. Pasti anda akan ceria dan gembira setelah melakukan hal ini pada hari Aidilfitr dan kesan kebaikan keatas diri anda dan orang lain akan terus berpanjangan selepas itu.

 

3. Menceriakan orang lain, mewujudkan kenangan yang berpanjangan.

Nabi merapikan dirinya, memakai pakaian yang terbaik dan mengenakan wangi-wangian. Ditambah pula dengan Rasulullah sentiasa menunjukkan ekspresi yang sentiasa ceria dan gembira, imej diri Rasulullah pada Aidilfitr cukup  menghasilkan gambara suasana yang harmoni didalam masyarakat. Malahan Rasullulah sendiri berlemah lembut membenarkan nyanyian dengan cara yang elok untuk meraikan emosi manusia yang gemar kepada hiburan.

 

Mudah bukan cara Rasulullah menggambarkan kegembiraan? Ianya tidaklah perlu kepada pakaian yang mahal atau berjenama dihiasi dengan songket tenun sutera, cincin permata dan sebagainya. Perhubungan mesra lahir apabila tiada jurang yang besar sesama kita. Setiap kali berjumpa dengan kenalan di Aidilfitr, tunjukkan ekpresi ceria dan gembira. Ianya mungkin nampak mudah dan spontan, namun suasana perhubungan seperti ini pasti akan menjadi kenangan yang akan menceriakan hidup kita semua dalam jangka masa yang lama.

Nyatakanlah kesyukuran.

Jadilah manusia yang bersyukur, yang sentiasa menghargai setiap pemberian Tuhan yang termasuklah juga diatas pemberian ibu bapa, keluarga, rakan, jiran, guru dan setiap insan yang kita bertemu, adalah pemberian Allah kepada hidup kita yang perlu dihargai.

 

Allah sentiasa berhubung dengan kita, pada setiap saat dengan skala perhubungan yang tertinggi. Contoh pada hari Aidilfitr ini, Allah memberikan kita baju baru, makanan lazat, hiasan rumah, kesihatan, kesenangan dan banyak lagi nikmatNya. Rasulullah pula menunjukkan jalinan hubungan yang teristimewa dalam suasana Aidilfitr yang mewujudkan perhubungan setiap ahli masyarakat menjadi begitu indah.

 

Jika Allah dan RasulNya sentiasa berhubungan dengan cara begitu istimewa tanpa memilih-milih, lebih wajarlah bagi kita  mengamalkan perhubungan harmoni sesama kita.

 

Mari berhubungan dengan penuh kegembiraan dihari Aidilfitr ini. 🙂

 

Allahuakhbar, Allahuakhbar, Allahuakhbar walillahilhamd.

Facebook Comments:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Read previous post:
Perihal Hantu Di Bulan Ramadhan

Dahulu ketika saya masih kecil di kampung, salah satu sebab seronok datangnya Ramadhan kerana diberitahu dalam bulan ini semua hantu-hantu

Close