Umum

Nilai Hidup Pada Diri Kita Sendiri

Satu malam (lewat pagi) saya dan kawan saya ke gerai mamak atau mapley untuk menonton siaran langsung Liga Juara-Juara Eropah yang lepas diantara Manchester United dengan Moscow Fc. Memang seronok kalau dapat makan roti canai dan teh tarik sambil tengok game dengan kawan-kawan.

Malam itu dalam kebosanan melihat corak permainan MU yang bermain tahap pelajar sekolah menengah, perhatian saya tertarik dengan kehadiran seorang lelaki India dewasa yang datang dengan memakai jaket keselamatan sebuah syarikat perladangan. Gayanya seperti dia baru balik kerja dari estet pada pukul 1.30 pagi itu.

Saya memerhatikan dia dengan penuh seronok dan minat. Tapi bukanlah sebab kekacakan atau gaya pakaian yang menarik perhatian saya untuk memerhati setiap gerak geri seseorang, dan dia pun bukanlah sekacak dan sebergaya hero Hindustan untuk diperhatikan. Perasaan saya terpaut ketika melihat imej peribadi melalui air mukanya.

Nikmat Yang Perlu Dikongsikan

Air mukanya datang dengan satu gambaran perasaan penat dan puas setelah berusaha mencari rezeki bagi diri dan keluarganya. Dengan secawan teh tarik dan sekeping roti canai yang dipesannya, saya seperti dapat merasakan kegembiraannya mendapatkan makanan tersebut. Dari mukanya, dia seperti mendapat makanan yang mahal dan susah untuk diperolehi oleh orang yang tidak berduit banyak. Saya dan dia makan benda yang sama, tetapi roti canai dan teh tarik itu seperti amat-amat berharga untuk dirinya. Dia telah menghadiahkan ganjaran yang besar kepada dirinya sendiri.

Bayangkan gajinya mungkin sekadar RM 700.00 sebulan dan digunakan duit itu untuk membeli minyak motor untuk bekerja, membeli makanan harian keluarga, membeli mainan untuk anak-anak dan membayar segala macam bil untuk mendapatkan kehidupannya yang ‘selesa’. Dia mungkin terpaksa ‘menabung’ dan mencatu perbelanjaan untuk makan di restoran.

Bagi orang yang berduit, ke kedai makan bersama keluarga adalah antara saat yang menggembirakan. Dapat bersama suami/isteri dan anak-anak menikmati makanan yang istimewa dalam suasana yang santai. Tapi pernahkah kita benar-benar menghargai setiap detik dan kenikmatan yang kita sedang jamah itu dengan cuba berkongsi bersama orang yang kekurangan daripada kita?

Berkongsi bukan bermakna memberi dengan secara langsung dalam bentuk material, tetapi bermula dengan berkongsi perasaan untuk menghargai kehidupan orang lain. Jika kita semua sedar akan adanya individu yang lebih memerlukan, kita tidak akan mensia-siakan nikmat yang ada didepan mata kita sekarang. Dalam kita membazir dan megah berbelanja mungkin ada yang melihatnya dengan perasaan hiba.

Dalam pada itu tak tergamak saya membayangkan perasaan lelaki India tersebut bagaimana dia hidup di tengah-tengah masyarakat yang rakus berbelanja. Bagaimana dia menafikan keinginan hidupnya dan keluarganya ketika dia melihat orang-orang berduit menebarkan duit mereka tanpa banyak soal. Bagaimana dia mungkin terpaksa memujuk anak-anaknya yang kepingin itu ini daripada iklan-iklan di televisyen yang khusus untuk menarik duit keluar dari poket-poket orang ramai.

Ianya bukan lagi soal perkauman. Perasaan kekitaan dan bantu membantu merentasi segala bentuk sempadan sosial yang selalu disalah ertikan oleh manusia.

Kita Memberikan Nilai Pada Kehidupan

Dengan sekeping roti canai dan secawan teh tarik yang bernilai RM 2.00 itu sudah menggembirakan harinya yang penat bekerja di estet sehingga lewat pagi. Nilainya terlampau besar dan dia sangat menghargai setiap apa yang datang kepadanya.

Bagi kita ianya amat murah, atau mungkin tidak terlalu relevan untuk difikir-fikirkan nilainya. Tetapi bagaimana jika nikmat itu hilang daripada kita? Adakah kita masih akan membanding-banding kecil besar nikmat yang Tuhan berikan?

Malam itu betul-betul saya merasakan nilai sebenar sekeping roti canai dan secawan teh tarik yang selama ini saya ‘order’ tanpa perlu kira-kira dan melihat harganya. Nilainya diletakkan oleh bagaimana kita memberi nilai pada hidup ini.

Ya Allah, aku berlindung padaMu dari rasa sedih dan gelisah, dan aku berlindung padaMu dari sikap pengecut dan bakhil, dan aku berlindung padaMu dari cengkaman hutang dan penindasan manusia.

2 thoughts on “Nilai Hidup Pada Diri Kita Sendiri

  • Hi bro, I’m Gan, from SSAS, remember me? same batch.
    Nice blog, simple and sweet. I’m planning to get a proper blog hosting by next month, see how it goes.

    You can also check out my other websites listed on my personal website. Hope to see you soon. Ntah bila nak buat reunion ni…

    Reply
    • Hi. Thanks.
      Good, waiting for that. Mari memeriahkan dunia blog. 🙂

      Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Read previous post:
Twitter Weekly Updates for 2010-08-02

building portal of tazkirah.. #

Close