Kritik Sosial : Nilai Bahasa Melayu

1. Bahasa Melayu bukanlah bahasa kegunaan utama di Malaysia. Kedudukannya sebagai bahasa rasmi negara tidak bererti ia adalah bahasa komunikasi sesama rakyat Malaysia. Selama lebih 50 tahun kemerdekaan negara, bahasa Melayu tidak pernah berjaya (gagallah maknanya tu) menjadi bahasa yang menghubungkan rakyat seluruh agama dan kaum – atas kesilapan dasar dan birokrasi yang mengarut.

2. Hari ini orang ramai lebih gemar berbahasa Inggeris atau mencampurkan bahasa Inggeris dengan bahasa ibunda dalam percakapan atau penulisan. Yang kadang-kadang boleh menimbulkan kekeliruan samada dia itu orang Malaysia atau mat saleh yang sedang belajar bahasa Melayu. Bahasa rojak itu mungkin boleh berlaku – saya mengaku kadang-kadang merojakkan penggunaan bahasa juga- tetapi apabila ia sudah menjadi tabiat dan individu itu tidak sedar dengan kesan perlakuannya, itu sudah menjadi masalah personaliti bahasa.


3. Makin malang bila ramai yang mengelak untuk menggunakan bahasa Melayu dalam urusan kehidupan samada dalam urusan rasmi atau urusan tak rasmi, sedikit demi sedikit bahasa Melayu mula dipinggirkan dari kegunaan rakyat.

4. Contoh paling jelas dalam mencari kerja, bermula dari iklan, resume dan temuduga semua diinggeriskan. Kalaulah kita sedang memohon kerja di Amerika, England atau Kanada fahamlah kita, tetapi masalahnya kita mencari rezeki di tanah air sendiri yang majoriti rakyat faham dan tahu menggunakan bahasa Melayu.

Kalau bukan disini -di Malaysia- dimana lagi bahasa Melayu ingin digunakan?

5. Itu belum lagi tentang IPTA/ IPTS yang menolak bahasa Melayu, iklan-iklan barangan, promosi jualan, nama-nama jalan dan kawasan perumahan dan sebagainya yang semuanya mengelak (atau malu mungkin) untuk menggunakan bahasa Melayu.

6. Bukan tak boleh menggunakan ‘branding statergy’ dengan menggunakan bahasa Inggeris. Objektifnya hanya untuk menarik minat dan perhatian pelanggan, bukan mengubah perspektif orang ramai bahawa produk / nama / tempat  yang dibahasa Inggeriskan lebih elit dari yang berbahasa Melayu.(Isu, konsep dan statergi dalam ‘language branding statergy’ ini akan dibincangkan lebih dalam kemudian Insya Allah)

"Bahasa Nasional"

7. Saya ini bukanlah ingin mempromosi anti-bahasa Inggeris, tetapi mahu penggunaan bahasa ini diletakkan pada tempat yang betul, yang sekarang ini keadaannya betul-betul tak betul. Tak tercapai dek akal bagaimana tanah air yang melahirkan bahasa ini boleh disisihkan oleh warga tanah tumpahnya darah mereka sendiri. Tak tercapai dek akal ada orang Melayu jalan menundukkan kepala rendah diri rasa hina kerana tak tahu berbahasa Inggeris di bumi dipijak, langit dijunjung Malaysia ini.

8. Kita mesti jelas mengapa kita perlu mempelajari dan menggunakan bahasa Inggeris (dan bahasa asing yang lain). Yang pasti tujuannya bukanlah untuk menggantikan peranan bahasa Melayu.

9. Bagi seorang diplomat, saintis atau ahli akademik yang banyak berurusan dengan orang asing, kemahiran berkomunikasi memanglah amat penting sebagai satu cara bertukar maklumat dan kefahaman. Maka bahasa Inggeris itu sebagai bahasa perhubungan dan interaksi. Bahasa untuk memindahkan ilmu pengetahuan dari satu tamadun ke satu tamadun yang lain.

10. Bagaimana pula dengan kegunaan awam? Adakah diajarkan berbahasa Inggeris supaya bahasa ini akan digunakan dalam mesyuarat kelab atau organisasi, ketika membeli sayur dipasar, berborak-borak dikedai kopi, ketika bertemu di padang futsal atau supaya digunakan anak-anak kecil yang bermain dipadang permainan ?

11. Kepentingan bahasa Inggeris terlampau digembar-gemburkan sampaikan seolah-olah orang Melayu atau rakyat Malaysia tidak akan dapat menjalani kehidupan dengan berkualiti tanpa berbahasa Inggeris. Akibatnya ketika ini bukan sahaja bahasa Inggeris itu tidak dapat dikuasai dengan baik malah bahasa Melayu turut ketinggalan penggunaannya dalam segenap bidang.

12. Buktinya lihatlah bagaimana pemimpin atau rakyat yang bercakap menggunakan bahasa rojak di media-media. Huru-hara sungguh bahasa kita.

“Bahasa Melayu maju sepanjang zaman kerana bangsa Melayu mempunyai minda yang terbuka dan kreatif. Bangsa Melayu mundur dan ikut mundur ialah bahasa Melayu apabila bangsa Melayu dijajah, tidak diberikan kebebasan untuk berfikir dan mencipta ilmu dalam bahasanya sendiri”

Dato’ Hassan Ahmad, mantan Ketua Pengarah DBP.

Facebook Comments:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Read previous post:
Meneruskan Perjalanan Yang Panjang

Bismillah. Satu permulaan. Pada tarikh hari ini, 24 tahun yang lepas, telah lahir saya kedunia. Maka bermulalah langkah untuk satu

Close