Meneruskan Perjalanan Yang Panjang


Bismillah. Satu permulaan.

Pada tarikh hari ini, 24 tahun yang lepas, telah lahir saya kedunia. Maka bermulalah langkah untuk satu perjalanan yang amat panjang, penuh dugaan dan cabaran serta bakal menguji tahap keimanan kepada Tuhan yang telah menciptakan diri ini.

Kita wajib percaya Tuhan tidak menciptakan makhluk-makhlukNya secara sia-sia melainkan dengan satu tujuan yang telah ditetapkanNya. Dan kita harus sedar kehadiran kita didunia bukan hanya untuk memenuhkan ruang muka bumi, tetapi lebih dari itu setiap individu mempunyai peranan penting dalam menguruskan dunia ini menjadi tempat yang lebih baik.

Setiap individu adalah istimewa, berpotensi dan berbakat untuk membuat sumbangan hebat dalam hidupnya.

Berehat sebentar dalam perjalanan.

“ku ingin kotakan seribu janji sepanjang kedewasaan ini”. Banyak juga yang saya janjikan untuk diri saya sendiri. Dan dalam meniti umur kehidupan yang makin meningkat, hari ini saya cuba merenung diri sendiri.

Umur semakin bertambah sepatutnya bertambah juga ilmu dan pengalaman hidup. Apakah pencapaian yang dimiliki sekarang setimpal dengan umur yang diacapai? Sepatutnya sudah mampu berdiri atas kaki sendiri tanpa mengharap tuah datang bergolek.

Adakah masa tidur lebih banyak daripada masa bekerja? Banyak tidur banyaklah masa tersia-sia. Banyak teori takkan berguna tanpa mencuba.

Proses inovasi diri sendiri perlu dilaksanakan segera sebab tak mahulah segala apa yang dirancang hanya menjadi angan-angan kosong. Dan tak mahu penyesalan datang mengacau jiwa di masa hadapan.

Terus berjalan.

Jangan bercita-cita terlalu tinggi tapi masa bermain lebih banyak daripada masa bekerja. Saya cuba membuang tabiat-tabiat yang buruk atas nasihat daripada orang-orang rapat disekeliling.

Dalam mengejar impian tidak boleh lagi diganggu dengan kesilapan memilih jalan hidup. Untuk berjaya kita perlu belajar menangguhkan kepuasan jangka pendek untuk mencapai kejayaan yang lebih besar.

Banyak yang saya mahu capai dalam meneruskan perjalanan ini. Baik dari segi fizikal, intelektual, emosional dan spiritual. Ini termasuklah karier, pendidikan, keluarga, cinta, kahwin, bakti masyarakat, kewangan dan banyak lagi.

Hanya doa dan usaha saya mampu lakukan dan selebihnya tawakal saya serahkan kepada Yang Maha Esa. Tuhan sentiasa mendengar dan memakbulkan doa hamba-hambaNya hanya hambaNya yang selalu leka untuk meminta pertolongan.

InsyaAllah dengan doa dan pertolongan semua, perjalanan ini akan bertambah mudah.

Alamat Email:

Facebook Comments:

Leave a Comment

Read previous post:
Merenung Teknik, Menggarap Tujuan

Kategori 1: 7 Habits of Highly Effective People. The Secret - Law of Attraction. The Power of Focus. A Whole...

Close