Berjaya dengan bersyukur

Malam itu hening. Dalam kepekatan malam syahdu, ramai insan dibuai tidur mengasyikkan. Saidatina Aisyah terbangun dan mencari-cari kekasih perjuangan. Beliau mencari-cari susuk baginda. Tidak bertemu. Namun beliau mendengar esakan tangis seseorang. Beliau bingkas bangun. Beliau tertanya-tanya. Itukah susuk tubuh yang dicari? Beliau mendapatkan baginda. “Mengapa kau menangis ya Nabi Allah? Bukankah dosamu telah diampunkan yang terdahulu dan kemudian?” Insan itu menjawab, “Bukankah aku hamba yang bersyukur, ya Humaira’?”

Itulah anekdot sifat syukur Nabi yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim. Mengapa perlu bersyukur?

Seronok apabila dihargai

Syukur ialah kaedah perhubungan akrab hamba dengan Tuhannya. Kalau seseorang memberikan kita sesuatu, lantas kita ucapkan terima kasih, ia akan membina tautan hubungan yang lebih erat. Sesama manusia, apabila si penerima menyatakan ‘terima kasih’, hati pemberi akan seronok. Seronok kerana dapat berbuat baik. Apakah kesan pada si pemberi? Si pemberi berbunga-bunga hatinya dan akan cuba memberi lagi kepada individu yang mengucapkan ‘terima kasih’ tersebut. Tiada apa ganjaran fizikal kepada si pemberi apabila diucapkan ‘terima kasih’. Tetapi si pemberi tahu bahawa pemberiannya dihargai. Kalau tidak dihargai atau diucapkan ‘terima kasih’? Tak pasti hatinya berbunga-bunga untuk memberi lagi.

Dalam al-Quran, ada beberapa ciri fitrah yang ada dalam diri manusia. Dua sifat fitrah yang ada dalam diri manusia ialah syukur dan memberi (sedekah).

Kisah 3 orang Pencuri

Dalam filem Nujum Pak Belalang, ada 3 orang pencuri. Selepas mendapat barang curian dari istana, mereka berkumpul dan memberi-berikan hasil curian mereka. ‘Satu untuk kau, satu untuk kau, satu untuk aku.’ Hatta pencuri pun ada sifat memberi!

Bagaiamana pula kalau kita yang bukan pencuri? Selayaknya kita perlu lebih banyak memberi atau bersedekah. Sifat memberi ini akan membina kepuasan kepada pencuri-pencuri itu. Kepuasan itu akan menjadi lebih real bagi diri kita apabila kita laksanakan kerana mengikut perkataan Allah.

Antara memberi dan bersyukur

Jika kita ingin memberi sesuatu, kita perlu ada sesuatu. Ramai yang berat untuk memberi kerana dirasakan sumber pada diri sendiri adalah terhad atau cukup-cukup sahaja. Nak bersedekah agak sukar kerana walaupun tahu perkara itu baik, tetapi ada desus dalam hati yang menyatakan ‘ nanti dulu’ atau ‘kamu pun tidak cukup’. Namun bagaimanakah sahabat Nabi mampu memberi walaupun mereka tidak semestinya banyak sumber?

Rahsia mereka ada pada kefahaman mereka sebagai hamba yang bersyukur dalam beramal dan beribadat.

51: [56]
Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka beribadat kepadaKu.

Hubungan hamba dalam ayat ini bukanlah keterpaksaan namun hubungan rapat seorang hamba dengan Tuhannya yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang – sering memberi bantuan dan nikmat. Beramal dengan rasa syukur berbeza dengan beramal kerana takutkan azab Allah semata-mata. Beramal dengan rasa syukur berbeza dengan beramal dengan keadaan terpaksa.
Kita berinteraksi dengan Allah apabila bersyukur

Apabila seseorang mengucapkan terima kasih, individu itu sedar bahawa pemberian itu datang dari pemberi. Dengan ucapan ‘terima kasih’, individu itu menunjukkan penghargaan.

Apabila kita bersyukur kepada Allah, ia menunjukkan bahwa kita sedar (aspek intelek) nikmat semuanya dari Allah. Dengan syukur kepada Allah, kita membuktikan kita menghargai (aspek emosi) apa yang diberikan. Hubungan intelek dan emosi yang menyerah kepada Allah ini akan membina kemanisan. Allah akan suka dengan hamba yang bersyukur, lantas Allah tambah nikmat-Nya.

[14:7] Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu…”.

Ketika kita bersyukur, Allah akan membalas kesyukuran kita dengan lebih lagi dan Allah tidak akan mengazab kita. Allah adalah asy-Syakur atau Maha Bersyukur.

[4:147] Apa gunanya Allah menyeksa kamu sekiranya kamu bersyukur (akan nikmatNya) serta kamu beriman (kepadaNya)? Dan (ingatlah) Allah sentiasa Membalas dengan sebaik-baiknya (akan orang-orang yang bersyukur kepadaNya), lagi Maha Mengetahui (akan hal keadaan mereka).

Mengapa Allah Maha Bersyukur? Kerana Allah paling mampu menghargai kesyukuran yang kita berikan kepada-Nya. Bukankah pelik, Allah beri nikmat, kita bersyukur kepada-Nya lantas Dia akan Maha Bersyukur kepada hamba-Nya. Namun kita akan memahami konsep ini apabila kita beri sesuatu kepada kawan kita (walaupun dia tidak pernah memberi apa-apa pada kita), dia mengucapkan terima kasih dan kita akan makin sayang dan cuba memberi lebih lagi kepadanya. Kalau si ayah, ia akan sayang anaknya yang menyatakan terima kasih dan diberikan lagi hadiah untuk si anak. Jika kita mampu menghargai perkara ini, tidaklah pelik kalau Allah Maha Bersyukur selepas kita bersyukur.

Allah memberi kepada kita walaupun kita tidak beri apa-apa kepada Allah pada mulanya. Kita hanya mampu memberi apabila Allah memberi kepada kita nikmat pelbagai. Layakkah selepas Allah beri kepada kita nikmat, kita berkira-kira pada rakan kita untuk berkongsi dan ingin memberi sesuatu ? Itulah antara motivasi generasi awal memberi sedekah dan infaq, kerana mereka tahu nikmat ini bukan milik mutlak mereka.

Bersyukur pelbagai cara

Kalau kita kira nikmat Allah berikan, ia tidak mungkin terhitung. Dengan Allah memberi kita intelek, kita mampu berfikir dan melaksanakan pelbagai perkara. Berapa banyak nikmat dengan kapasiti intelek tersebut? Amat banyak. Kita hanya mampu ucapkan ‘terima kasih’ kepada Allah dengan memuji dan bertasbih padaNya. Inilah zikir.

Setelah kita hidup seharian dengan nikmat dari-Nya, zikir sahaja tidak cukup kerana zikir hanya melibatkan intelek dan mungkin melibatkan emosi. Allah berikan solat untuk kita berzikir atau mengingati-Nya dengan fizikal, intelek dan emosi dan rohani. Kita akan segan apabila banyak sungguh rezeki Allah berikan berbentuk fizikal, intelek, emosi dan rohani tanpa kita ucapkan terima kasih. Solat adalah perhubungan (sillah) untuk kita berkomunikasi dengan Allah dalam hidup seharian secara direct, untuk mengucapkan ‘terima kasih’ tersebut.

Ketika ada masalah dalam kehidupan, cara mengucapkan terima kasih kepada Allah ialah merujuk atau memohon kepada-Nya. Kita banyakkan berdoa kerana tanpa diminta, Allah beri kita nafas dan makanan hari ini. Masih tidak yakin kalau kita minta, Allah akan perkenankan? Apabila kita minta selain dari Allah, ia menunjukkan kurangnya kita menghargai kebesaran dan nikmat selama ini Allah berikan.

Ketika melihat kebesaran Allah, kita akan memuji sebagai tanda syukur. Allah tidak mencipta pelbagai perkara untuk merosakkan kita. Malah dalam al-Quran, bila melihat kebesaran Allah, kita perlu berdoa dan memujinya kerana tanpa diminta, Allah ciptakan itu semua untuk kita. Sudah tentu Allah juga harapkan semua ciptaan itu dihargai dengan menggunakan intelek di samping kita berdoa agar dijauhi dari segala azab kerana ‘tidak bijak bersyukur’.

[3:191](Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.

Di samping itu, Allah menjadikan kita untuk menjadi khalifah di atas muka bumi. Bagaimana bersyukur dengan status yang Allah berikan itu? Kita perlu bersyukur dengan membina kejayaan demi kejayaan untuk menjadi rahmat kepada alam – sebagai wakil Allah (khalifat fil ard) di atas muka bumi. Kejayaan demi kejayaan itu perlu disetkan dalam kehidupan kita. Itulah goal atau target dalam kehidupan. Tanpa target yang jelas, kita tidak menggunakan potensi kita sebenarnya-benarnya untuk membuktikan kehebatan Allah pada manusia serta menjaga alam ini dengan kesungguhan kita menggunakan nikmatNya. Kalau intelek yang Allah berikan tidak kita gunakan dan hargai, sudah tentu Allah tidak akan menambah lagi nikmat tersebut. Individu yang tidak bersyukur itu akan dihujamkan kepada azab Allah, kerana inteleknya tidak digunakan untuk bersyukur.

14:7…jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras”.

Kalau terlalai untuk bersyukur?

Kalau ada saat kita lalai untuk bersyukur, kita perlu bertaubat dan berdoa kepada Allah agar tidak lalai. Allah tahu kelemahan hamba-Nya. Namun lalai tersebut perlu disembuhkan. Lalai itu ajakan syaitan dan hawa nafsu yang perlu diubatkan. Taubat adalah bukti kita bersyukur ketika kita berbuat kesilapan.

Bukankah lengkap Allah ajarkan kepada kita untuk bersyukur? Kalau masih tidak pasti, Allah berikan panduan. Merujuk kepada panduanNya iaitu al-Quran juga bukti kita menghargai dan bersyukur kepada Allah. Cuba bayangkan seseorang memberi kita hadiah sebiji komputer dan buku panduan menggunakannya, tetapi kita cari manual lain untuk menggunakan komputer tersebut sehingga rosak hadiah tersebut?

Marilah kita jadi hamba yang bersukur. Jika kita tidak beramal dengan kebaikan, itu bermakna kita tidak menghargai nikmat dari si Pemberi. Jangan terkejut kalau nikmat itu Allah tarik di dunia atau pun di akhirat nanti. Untuk berjaya di dunia dan akhirat, kita perlu bersyukur.

Ya Allah, bantulah kami untuk mengingatiMu, bersyukur padaMu dan membaiki amal ibadah terhadapMu!

Facebook Comments:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Read previous post:
Kisah 3 Budak Hitam di Pulau

Ada 3 budak hitam kembar: Tam, Tim dan Tum.  Hampir sama genetiknya. Hampir sama hitamnya. Hampir sama putih giginya. Namun

Close