Belajar untuk bersyukur

“Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkanNya kepada kamu), tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu; Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (16:18)

 

Menghitung dalam ayat di atas memberi penekanan kepada kita agar mengira dan meletakkan kanta pembesar pada apa yang kita ada samada secara fizikal, intelek, emosi dan spiritual. Sememangnya jika kanta itu diletakkan betul-betul, kita tidak mampu untuk mengiranya. Kiralah sel. Kiralah molekul yang dikurniakan Allah. Kiralah berapa zarah kegembiraan yang Allah telah berikan. Kiralah berapa banyak molekul intelek yang terekod pada sinaps kita. Berapa banyak? Berapa banyak ….

Mengapa perlu kita melihat semula ayat ini? Kerana kita perlu belajar untuk bersyukur. Ramai yang inginkan lebih. Allah tidak halang. Tetapi caranya bukanlah cara manusia. Gunakan cara al-Quran:

7. dan (ingatlah)ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan Demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar Sesungguhnya azabKu amatlah keras”. (14:7)

Allah menyatakan jika ingin menambah apa yang ada, syukurilah. Syukur kepada Allah. Syukur, nescaya Allah akan menambah lagi. Kan mudah begitu?  Inilah cara spiritual memimpin kita ke arah kejayaan. Kalau diikutkan pendapat manusia, cari dan kerja keras lagi sehingga kekadang meninggalkan solat, dakwah dan sebagainya. Namun ini tidak akan menambah kecuali sikit – itupun jika diizinkan Allah.

Mengapa syukur akan menambah rezeki kita?

Kerana makhluk akan mematuhi perintah Yang Berkuasa. Kalau katakan hari ini pelanggan tidak mahu beli tetapi jika Allah ingin, boleh saja pelanggan itu hadir ke kedai kita untuk membeli produk yang dijual. Tetapi kalaulah si pelanggan sudah pasti ingin membeli, tetapi Allah tidak izinkan, pelanggan itu tidak akan hadir-hadir juga. Mungkin tersesat jalan dan sebagainya. Itulah antara dimensi yang boleh difahami bagaimana syukur boleh menambah rezeki. Selain pelbagai sebab lain yang tidak terjangkau fikiran manusia.

Bagaimana saya mahu bersyukur?

Lantaran itu, apa yang ada, gunakan dengan baik. Hasilkan sesuatu yang akan memberi manfaat kepada orang ramai. Ada komputer, tulis artikel. Ada kasih sayang, berikan kepada orang lain untuk mereka merasai juga kasih sayang. Kalau ada orang yang berdendam atau bermusuh dengan kita, simpan dan belajar untuk maaf. Itu tanda syukur. Syukur bukan membalas dengan apa yang ada. Tetapi membalas dengan sesuatu yang lebih baik di kalangan manusia.

Semoga kita dapat belajar bersyukur. Ia akan menjadikan hidup lebih bersemangat dan produktif. Tidak pesimis.

 

Facebook Comments:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Read previous post:
Masih malas membaca?

Harga buku menjadi ‘kambing hitam’? Oleh Azman Ismail (Utusan Online)   SALAH satu ciri negara maju adalah jumlah penerbitan yang...

Close