Kisah 3 Budak Hitam di Pulau

Ada 3 budak hitam kembar: Tam, Tim dan Tum.  Hampir sama genetiknya. Hampir sama hitamnya. Hampir sama putih giginya. Namun mereka terpisah. Terdampar di 3 pulau berlainan. Masing-masing kesepian. Mereka terdampar di pulau yang banyak sumber buminya. Masing-masing hadir dengan kisah menarik. Mari kita ikuti kisah mereka.

Budak Hitam Pertama

Tam bermenung. Dia berfikir. Sesekali nampak harimau berlarian, dia takut. Cepat-cepat dia memanjat pokok berdekatan. Sambil itu dia bermenung dan melihat kepada alam. Dalam fikirannya, tertanya-tanya, siapakah empunya pulau itu. Amat lawa. Amat cantik.

Dia berfikir. Dia memikirkan siapalah yang mencipta pulau yang indah permai ini. Dari hari ke hari, belia bermenung memikirkan nasibnya juga. Terdampar keseorangan. Dan tidak pasti sampai bila.

Apabila lapar, dia tidak turun ke bawah. Khuatir dengan cabaran yang ada di atas pulau tersebut. Cabaran harimau, beruang dan pelbagai binatang buas. Dicapainya buah-buah ranum pada pokok tempat dia berpanjat. Namun bekalan buah itu tidak panjang. Habis akhirnya.

Sambil berfikir-fikir itu, dia yakin. Pasti ada kuasa lebih besar. Yang mencipta pulau tersebut. Yang lebih berkuasa daripada semua makhluk di pulau tersebut. DIa yakin kewujudan Yang Berkuasa itu, tetapi kerana takut kepada situasi di pulau tersebut, dia bertenggek di pokok tersebut. Tak banyak perubahan dan usaha yang mampu dibuat. Tam menanti saat akhirnya di situ.

Budak Hitam Kedua

Tidak seperti Tam, Tim amat berani. Tim sedar ada harimau dan beruang yang boleh mengganas bila-bila masa. Namun dia tidak gentar. Diambilnya buluh yang dekat dengannya. Tim pernah dengar harimau takut buluh. Disiapkan sebagai senjata.

Tim hidup seperti biasa. Kekadang dicari ikan. Kekadang dapat landak untuk dimakan. Ada buah-buahan yang masak ranum dari semasa ke semasa.

Tim terus mengumpulkan semua hasil tersebut. Tim mengumpulkan daun-daun kayu dan akhirnya dapat membina pondok kecil untuk dirinya berteduh. Ia memberi ruang untuk dia berehat selepas penat berusaha seharian.

Tidak lama selepas itu, Tim berjaya berkawan dengan haiwan di situ. Awalnya tidak selesa, namun kerana sudah sering berjumpa dan saling tolong-menolong, haiwan sekitar tempatnya itu makin jinak. Tim bermain-main dan keluar berburu dengan kawan haiwannya yang lain. Itulah rutin Tim. Tim mengulang rutin itu. Keluar pagi mencari makanan dan membantu rakan haiwan lain menyiapkan tempat berteduh. Balik petang kepenatan dan tidur pada malamnya.

Tim ada juga terfikir bagaimana untuk berjumpa Tam dan Tum. ‘Apa khabar mereka?’ . Namun pertanyaan itu tinggal soalan.

Budak Hitam Ketiga

Tum tidak seperti Tam dan Tim. Tum juga berfikir. Berfikir melihat alam. Namun dalam masa yang sama, dia mencari makanan seharian. Tum ‘berkawan’ dengan haiwan lain. Namun Tum juga yakin, mereka sekadar mencari makanan. Bila kenyang, mereka menanti saat lapar semula.

Tum berfikir: ‘aku tidak layak hanya jadi seperti mereka. Mereka ada kasih sayang dan marah. Aku juga ada. Namun aku berbeza. Aku ada otak yang boleh berfikir. Aku makan, tetapi bukan hidup untuk makan. Makan hanya untuk hidup.’

Tum agak berbeza dari Tim kerana Tum suka melihat, berfikir dan memerhati. Gaya Tum agak dekat seperti Tam, tetapi Tum meneruskan kehidupan dengan berani dan aktif. Balik di waktu petang, Tum suka memanjat satu pokok yang tinggi dan berehat di sana. Melihat kehijauan pulau, keindahan alam dan memerhati langit dengan hisan bintang.

‘Besarnya langit. Cantiknya pulau ini. Siapalah tuan punya? Kalau dapat bertemu dengan tuan punya, pasti aku boleh bertemu dengan Tam dan Tim. Tuan punya ini tentu Maha Berkuasa dan Maha Besar.’

Setiap hari begitulah yang dilaksanakan Tum. Bukan sekadar mencari makanan dengan rakan haiwannya, tetapi beliau mencari-cari jawapan. Jawapan yang pasti ada. Kerana akalnya berkata, tidak mungkin tiba-tiba pulau ini terjadi. Kalau boleh jadi tiba-tiba, bolehlah dia minta makanan durian, lantas durian itu tersembul di hadapannya. Pasti ada perancang kepada pulau ini.

Siapakah kita?

Adakah langkah dan hidup kita seperti Tam? Tim ? Tum? Tepuk dada tanyalah iman. Kisah ini adalah perumpamaan kategori manusia yang hidup di atas muka bumi ini. Pencipta ‘pulau dunia’ ini akan memberi ganjaran kepada yang bersyukur – itulah hint daripada manual al-Quran oleh Pencipta ‘pulau’ kehidupan kita. Bersyukur dan mengakui kehebatan Pencipta alam ini. Bukan sekadar mengumpulkan wang ringgit dalam kehidupan seharian, tanpa menggunakan kapasiti berfikir untuk menghargai dan menuju Pencipta.

Facebook Comments:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Read previous post:
Muzik?

Tulisan seorang peserta: muzik ? di mana sahaja saya pergi mesti manusia ada muzik. bersama, mesti ada I-pod, laptop atau

Close