Kematian itu pasti


Ketika bercakap dengan isteri di telefon, tiba-tiba nada suara isteriku berubah. “Abang sudah baca mesej di ‘whatsapp’ keluarga?” Aku meneliti isi kandungan mesej tersebut seusai bercakap dengannya. “Doktor memaklumkan kepada mak bahawa jangka hayat mak hanya sekitar setahun hingga setahun setengah sekiranya mak tidak mahu menjalani rawatan.” Rasa mahu terlepas telefon dari tanganku, namun ku gagahkan kaki ini untuk terus melangkah ke surau di tingkat atas. Pelbagai persoalan bermain di mindaku. Entah apa perasaan mak ketika ini?

Teringat pada sebuah filem yang bertajuk ‘The bucket list’ di mana situasi doktor mengkhabarkan kepada Edward tentang jangkaan umurnya yang hanya berbaki sekitar setahun lagi. Suasana ceria terus bertukar suram ketika beliau dimaklumkan perkara tersebut. Hal kematian bukanlah sesuatu yang menggembirakan bagi kebanyakan orang. Saat seorang pesalah dijatuhkan hukuman mati di penjara, ada di kalangan mereka yang menjerit dan meraung kerana sudah dikhabarkan saat kematian mereka. Lantas, bagaimana pula keadaan kita yang tidak mengetahui saat yang pasti hadir itu.

Nabi saw mengiktiraf mereka yang sentiasa mengingati kematian adalah dari kalangan orang yang bijak. Sudah pasti orang yang bijak adalah orang yang mahu kembali membawa kejayaan di sisi Allah swt. Firman Allah swt bermaksud:

Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa, disediakan Syurga tempat mereka beroleh apa yang mereka ingini.

Surah An-Naba’, 78 (31)

Bercakap tentang kematian ini, pakar bidang epidimiologi mengkaji perihal orang yang melalui saat kematian ini sehingga ada yang mahu tawar menawar dengan Tuhan saat hampir kepada kematian dengan meminta agar dipanjangkan sedikit umur untuk melihat anaknya bernikah. Sungguh, perkara ini telah dirakam oleh Allah swt dalam surah al-Munafiqun di mana ada manusia yang meminta agar diberi tempoh untuknya di dunia ini agar dapat ia mengerjakan sedekah dan beramal soleh. Firman Allah swt bermaksud:

Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka dia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang-orang yang soleh.

Surah Al-Munafiqun, 63 (10)

Sudah pasti kematian adalah satu kepastian. Ia adalah permulaan kepada kehidupan baru selepas berpenat lelah di dunia yang sementara ini. Maka, apakah sanggup kita sanggup berpisah dari orang-orang yang kita cintai semasa di dunia ini? Bahkan tidak, maka kejarlah jaminan Allah yang menawarkan syurga untuk keluarga yang beriman dan sentiasa melaksanakan ketaatan kepada Allah swt. Bersedihlah dengan pemergian yang sementara, namun berusahalah untuk terus gembira bersama ahli keluarga selamanya di syurga sana. Firman Allah swt bermaksud:

Dan orang-orang yang beriman yang diturut oleh zuriat keturunannya dengan keadaan beriman, Kami hubungkan (himpunkan) zuriat keturunannya itu dengan mereka (di dalam Syurga); dan Kami (dengan itu) tidak mengurangi sedikitpun dari pahala amal-amal mereka; tiap-tiap seorang manusia terikat dengan amal yang dikerjakannya.

Surah At-Tur, 52 (21)

Ketika mendengar khabar mak yang sedemikian rupa di kampung sana, tiada ubat yang menjadi penawar duka melainkan janji-janji Allah yang pasti untuk mereka yang mahu membina legasi kebaikan di dunia ini dan moga ia menjadi sedikit bekalan saat bertemu dengan Allah swt kelak. Kehidupan di dunia ini sudah dimaklumkan berulang kali bahawa ianya hanya kesenangan yang sementara. Akhirat itu kekal selamanya. Apakah sudah cukup bekalan untuk kita menuju ke negeri abadi sana? Kita boleh meminta untuk dihidupkan sehingga 1000 tahun lagi, namun ianya tetap bersifat sementara berbanding negeri akhirat yang kekal abadi. Bukan soal berapa lama lagi, namun seberapa banyak amal lagi untuk kita menuju keredhaan Ilahi.

Selagi diberi waktu dan peluang untuk terus bernafas di bumi Allah ini, sama-samalah kita merebut peluang yang ada untuk membina legasi menuju keredhaan Allah swt. Moga kita semua mendapat kesudahan yang baik di penghujung hayat nanti dan kehidupan yang baik di akhirat sana.

Facebook Comments:

Leave a Comment

Read previous post:
Repitition Compulsion

“Berhenti, rasanya kita tak patut teruskan, awak sudah diluar kawalan.” kata Aminah. “Eh, kenapa saya pula yang dipersalahkan. Awak yang...

Close