Cara mudah ‘parking’ kereta dalam keadaan sesak

“Alamak, tempat letak kereta dah penuh, macam mana nak ‘parking’?” Ariffin menyatakan kepada Aiman dalam keadaan gelisah. Tempat letak kereta di Alamanda Putrajaya sememangnya selalu penuh pada hari-hari cuti.

“Tak mengapa, kita mesti yakin ada lagi tempat kosong. Mesti ada, percayalah,” balas Aiman.

“Ya,kita mesti yakin ada tempat kosong lagi ni. Kau masih ingat lagi kaedah ‘trigger’? Aku selalu buat kaedah ini semasa cari tempat letak kereta dan memang berkesan,” balas Ariffin. Dengan tidak semena-mena ada sebuah tempat kosong di hadapan mereka.

“Ha, kan aku dah cakap, mesti ada kosong. Janji kita yakin pada diri kita dan kaedah ini memang sentiasa berkesan.”

Adakah anda pernah mengalami keadaan seperti ini? Sudah pasti ianya suatu pengalaman yang mengujakan bila kita mampu sentiasa ada keyakinan positif seperti ini, ditambah dengan keberkesanan yang sudah terbukti kepada ramai pengamal kaedah ini.

Antara alat dan Sang Penentu Alat

Kita sering teruja dengan menggunakan kaedah tertentu, pasti akan mendatangkan hasil tertentu. Seorang lelaki yang sembuh dari penyakitnya setelah banyak bersedekah, lantas menyatakan untuk segera sembuh, maka banyakkanlah sedekah. Seorang jutawan yang mengamalkan solat sunat dhuha amat meyakini dengan kaedah ini akan Allah kurniakan rezeki melimpah ruah, lantas menyebarkan ideologi siapa yang mahu kaya, ber’dhuha’lah. Bahkan 2 hal tersebut adalah sesuatu yang ada sumbernya dari ulama. Namun ketahuilah 2 perkara tersebut baik sedekah mahupun solat, ia adalah alat atau cara. Ketentuan samada ianya berkesan atau tidak hanyalah dari Allah swt. Justeru ketika menggunakan alat-alat ini, seharusnya semakin bertambah keyakinan kepada Allah swt baik ketika berkesan mahupun sebaliknya.

Kaedah ‘trigger’ atau apa saja yang memungkinkan mudah untuk mendapatkan tempat letak kereta juga adalah alat. Mendidik manusia untuk pandai membezakan alat dan Sang Penentu keberhasilan bagi sesuatu alat adalah penting. Ini agar manusia tidak menjadi melampau-lampau sehingga membawa kepada ‘self centered’ dan akhirnya mengenepikan bahawa Allah adalah segala-galanya.

Usah melampau

Mereka berkata: Aduhai celakanya kita! Sesungguhnya kita adalah orang-orang yang melampaui batas.

Al-Qalam (68:31)

Ketika manusia diberi dengan pelbagai nikmat, lantas merasa hanya sahaja dirinya yang hebat kerana sudah beroleh itu dan ini dan mula mengenepikan Allah, sesungguhnya ia telah melampau dan kelak pasti akan menyesali sikap melampau itu.

Bila sudah dapat tempat letak kereta, itu adalah rezeki dari Allah dengan usaha yang hanya sedikit dari hambaNya. Bila sudah mendapat kesembuhan mahupun kesenangan, itu adalah anugerah dari Allah. Dan amat sedikit ikhtiar manusia dibanding dengan apa yang dikurniakan Allah.

Majikan manakah yang akan memberi anugerah yang melimpah ruah sekiranya pekerja itu hanya berusaha sedikit? Justeru apa mungkin untuk berbangga-bangga yang saya sudah melakukan itu dan ini, sedangkan ia hanya usaha yang amat sedikit tetapi diganjarkan dengan ganjaran yang amat besar dari Allah. Sedarlah wahai diri, bersegeralah untuk kembali kepada Allah agar kita tidak digolongkan dalam kalangan mereka yang melampau.

Facebook Comments:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Read previous post:
60 000 kali berfikir

Setiap hari manusia berfikir puratanya 60 000 kali sehari. Dari angka tersebut, 80 peratus daripada pemikiran tersebut di arah kepada

Close