Konflik Fokus dan Fokus sehingga berjaya


“Serabut le kepala aku. Aku dah cuba fokus tapi tak menjadi. Makin tak tentu arah.”

Salah satu ciri individu beriman yang berjaya ialah khusyuk atau dalam erti kata lain ialah fokus. Fokus terbesar ialah untuk fokus pada Allah ketika solat – lantaran ini ialah tujuan kita diciptakan – untuk beribadat khusus untuk Allah. Ia akan membantu menguruskan konflik dan keserabutan.

Dalam kehidupan seharian, subjek fokus adalah lebih mencakup aspek fizikal, intelek dan emosi. Jika kita meletakkan fokus pada aspek fizikal, kita akan mudah hilang sabar. Jika kita meletakkan fokus dengan asas intelek, kita akan lebih bersabar. Dengan fokus pada tahap emosi, sabar itu akan menjadi lebih tinggi. Sudah tentu fokus pada spiritul akan mendatangkan kesabaran yang tinggi.

Sebagai contoh, kalau harapkan dapat gaji RM 5/ jam, seorang pelajar akan terus bekerja di kedai makan. Apabila difokuskan kepada ilmu atau intelek, beliau akan lebih sabar kerana apabila ada ilmu, kerjanya nanti boleh dibayar RM 50 / jam. Apabila mampu untuk membina jaringan emosi atau sosial yang baik, beliau ada peluang dibayar RM 100/ jam. Apabila selalu berhubung dengan Tuhan, akan menyebabkan beliau mendapat peluang untuk mendapat pekerjaam RM 200/ jam – jika dilihat dalam bentuk material.

Fokus PIES

Bagaimana untuk fokus pada peringkat fizikal, intelek, emosi dan sprituil? Apakah perbezaan individu yang fokus pada aspek berbeza tersebut?

Secara ringkas, teknik untuk fokus ini ialah dengan melihat hasil hujung sesuatu perkara. Jika kita fokus pada spirituil, maksudnya kita fokus untuk mencapai ikhlas dan mengikut Nabi. Apakah hasil hujungnya? Keredaan Allah dan dapat bersama Nabi. Berbaloikah? Bergantung kepada apa yang anda inginkan. Biasanya kalau membincangkan bab spirituil, ia nampak agak tinggi. Sering wujud rasa ‘saya nak’ tetapi ‘saya tak nak’ secara praktikal kerana ia seolah-olah jauh. Jadi untuk melihat bahawa ia dekat, mari kita perhatikan fokus pada peringkat fizikal, intelek dan emosi dahulu.

Kalau kita fokus pada aspek fizikal, kita boleh mengambil contoh aspek wang seperti contoh sebelum ini. Wang bagi ramai orang menjadi satu ‘sedatif’ yang menyebabkan kita rasa aman, selesa, seronok dan bahagia. Apabila wang dikaitkan dengan bahagia, maka itulah yang menyebabkan ramai memilih untuk mendapatkannya hatta kekadang melampau-lampau. Duit dianggap simbol kebahagiaan. Namun hakikatnya? Anda sudah tentu tahu jawapannya. Ada benar, ada tidaknya.

Jika fokus pada asas intelek, ia dikaitkan dengan hasil ilmu dan kemahiran yang akan diperoleh selepas suatu jangka masa. Jika diperhatikan individu yang belajar 4 tahun di universiti, ia perlukan fokus – dalam pelbagai halangan yang melanda serta menggamit. Bagi ramai, sekeping ijazah itu lambang kebahagiaan. Ada benar, ada tidaknya.

Jika fokus pada asas emosi, kemampuan membahagiakan diri sendiri dengan kasih sayang dan bersama orang yang dicintai menjadi kayu ukur untuk terus bekerja dan berjuang. Atau mungkin membawa kebahagiaan kepada masyarakat. Panjangkah usaha ini? Ya. Lebih lama daripada fasa 4 tahun belajar di kolej. Bersama orang yang disayangi adalah lambang kebahagiaan. Ada benar, ada tidaknya.

Kalau nilai bahagia bersama orang yang disayangi amat didambakan, maka sudah tentu aspek spirituil adalah sesuatu yang amat berharga – dengan syarat kita kenal Allah dan Rasul. Semua aspek fizikal, intelek dan emosi menggamit jiwa kerana kita kenal. Kalau kita tidak kenal Allah dan Rasul, ia hanyalah mainan kata tanpa komitmen rasa hati untuk menuju kepadanya.

Konflik Fokus

Cabaran sentiasa melanda apabila berlaku konflik fokus. Ingin menuju Allah, tetapi wang dan kemasyhuran sukar ditanggalkan lokasi dari hati. Ada spirituil, ada juga fizikal yang melekat dalam jiwa. Kesannya? Tidak sabar untuk menghabiskan sesuatu urusan atau kerja yang membawa kepada berbunganya spirituil. Solat dilajukan, rasa tidak manis atau ‘membuang masa’ untuk saya bertemu klien bagi mendapatkan projek.

Fokus pada aspek fizikal akan menyebabkan hati tidak keruan dan fokus pada apa yang sudah dirancang jangka masa panjang. Malah kejayaan fizikal jangka masa panjang pun akan konflik dengan kejayaan fizikal tahap pendek. Untung 20 sen pada jangka panjang atau RM 20 juta dalam masa pendek dengan mengambil duit ‘bawah meja’? Sudah tentu kejayaan dalam bentuk spirituil akan sentiasa bersaing untuk merebut keutamaan dengan kejayaan fizikal.

Penyelesaian

Untuk menyelesaikan perkara ini, amat perlu didefinisikan semua aktiviti, visi dan misi dengan maksud yang luas. Kejayaan spirituil tidak menafikan kejayaan fizikal, intelek dan emosi. Sebaliknya kejayaan fizikal, intelek dan emosi tidak sesuai berpisah dari spiritual kerana ia akan memastikan hala tuju benar akan dicapai pada jangka pendek dan panjang. Malah Islam mengajar kejayaan spirituil ini sepatutnya membawa kejayaan di dunia juga. Inilah yang perlu diusahakan. Inilah yang perlu dipelajari setiap individu daripada al-Quran dan as-Sunnah dengan mengenal potensi diri dalam asy-syahadatain.

Jika ia tidak diselesaikan, anda akan mudah mengeluh, mengapalah visi aku tidak tercapai-capai padahal visi spiritual untuk mendapat pahala sudah pun hadir.

Moga Allah memberi kita khusyuk dalam solat dan fokus tinggi di luar solat serta tahu formula menghadapi konflik fokus.

Facebook Comments:

Leave a Reply

Read previous post:
Membina Sistem ‘Delayed Gratification’

Ramai yang ada visi besar untuk kejayaan yang hebat. Namun kekadang diri tidak kuat untuk menuju ke arahnya kerana ada...

Close