Berapa banyak masa untuk diri?

Bangun pagi. Berus gigi. Sarapan. Ke kelas atau kerja. Rehat. Bersukan. Internet, email, chat dengan kawan. Facebook, web, baca berita. Makan malam. Solat. Tidur. Ini antara rutin harian seorang insan. Jika waktu cuti, jadual akan sedikit berbeza. Jika dicongak-congak, berapa banyak masa yang kita luangkan untuk diri kita? Tahukah anda bahawa jika kita tidak memberi masa untuk diri secukupnya, kita akan kecewa dan rugi? Masa untuk diri ada kaitan dengan tekanan atau stress dalam kehidupan.

Menurut Elizabeth Scott, M.S. yang menulis di About.COM , dalam artikelnya  Finding Time For Yourself: How and Why You Should Find Time For Yourself , beliau mendiskusikan perkara ini secara ringkas. Beliau menekankan bahawa aktiviti harian kita perlu diisi dengan sesuatu yang memberi manfaat diri kita.

Cadangan beliau memang bagus. Persoalannya, manakah satu aktiviti yang bermanfaat? Konflik yang sering berlaku ialah apabila kita menganggap bahawa semua yang kita laksanakan memberi manfaat. Itulah sebabnya jadual kita diisi dengan perkara tersebut – walaupun tidak dapat dinafikan ramai yang mengisi masa dengan menonton TV beberapa jam, bermain video game dan pelbagai aktiviti yang mendatangkan sedikit atau kurang manfaat.

Apa sebenarnya kita perlukan?

Sebenarnya diri manusia mempunyai 4 bahagian iaitu fizikal, intelek, emosi dan spiritual. Keempat-empat bahagian atau elemen ini perlukan hak masing-masing. Malah empat elemen ini bukan sekadar untuk diri sendiri (internal), tetapi ia melibatkan individu atau perkara lain (eksternal). Sila perhatikan penerangan di bawah:

P – Internal – tubuh badan dan kesihatan
– Eksternal – duit dan harta

I – Internal – ilmu untuk diri sendiri
– Eskternal – ilmu, kemahiran dan bakat yang digunakan untuk orang lain dan berinteraksi dengan dunia luar

E – Internal – emosi dengan diri sendiri
– Eskternal – emosi dengan orang lain yang diistilahkan sebagai social intelligence

S – Internal – amalan rohani bersendirian
– Eksternal – mengingatkan atau berkongsikan aspek rohani dengan orang lain.

Inilah 4 elemen yang kita perlukan. Manakah lebih penting? P, I, E atau S? Internal atau eksternal?

Jawapannya: P, I, E dan S sebenarnya satu sistem yang tidak boleh dipisahkan. Sama-sama penting. Tanpa aspek intelek (ilmu dan berfikir_, amalan rohani kita tidak diterima kerana tidak berasaskan ilmu yang nyata. Hanya ada 2 syarat amalan S atau spiritual akan menjadi positif : ikhlas dan mengikut kepada Rasul. Inilah beza nilai spiritual yang ada pada individu Muslim dan Stephen R Covey dalam bukunya The 8th Habit: From Effective to Greatness. Beliau juga menggunakan istilah spiritual – namun kefahaman beliau hanya terhenti pada peringkat horizontal atau sesama manusia sahaja. Ini juga yang cuba disampaikan oleh Danah Zohar dan Ian Marshall dalam bukunya Connecting with Our Spiritual Intelligence. Kalau kita menggunakan kefahaman istilah rohani atau spiritual Barat atau selain Islam, ia tidak mampu membawa kepada kejayaan hakiki dan kebahagiaan abadi.

Antara internal dan eksternal ? Dua-dua penting kerana kita perlu menjadi abd dengan menjaga diri beribadat kepada Allah. Inilah tujuan kita dicipta:

 

51: 56. dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.

Cukupkah beribadat sendirian seperti tasbih dan tahmid seperti malaikat? Tidak cukup. Allah menerangkan tentang tugas manusia yang lain:

 

2: 30. dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”. mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu Dengan berkata): “Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang Yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal Kami sentiasa bertasbih Dengan memujiMu dan mensucikanMu?”. Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya”.

Menurut Qatadah yang dinyatakan dalam Tafsir Ibn Kathir, para malaikat bertanya kepada Allah, bukankah mereka (malaikat) bertasbih dan memuji Allah sebagai bukti ibadat yang baik, padahal khalifah itu sendiri bermaksud mengadili individu-individu yang bertelegah atau berbeza pendapat. Para malaikat menyatakan individu bertelagah dan berbeza pendapat ini akan membuat kerosakan dan menumpahkah darah. Allah menjawab: Aku mengetahui apa yang kamu tidak ketahui kerana adanya hikmah yang besar dengan penciptaan khalifah itu – dengan adanya Rasul, Nabi, syuhada’ , siddiqin, mukmin bertaqwa, ‘abid, ulama dan yang mencintai serta mengikuti RasulNya.

Rupanya nilai eksternal menguatkan internal

Dalam diskusi di atas, rupanya tugas khalifah ini melayakkan kita melangkaui status malaikat jika kita benar-benar melaksanakan perintah Allah, dengan mengikuti Nabi dan Rasul. Bagaimana ini mampu meningkatkan status kita? Lantaran dalam keadaan kepayahan dan cabaran, kita mampu untuk beribadah kepada-Nya.

Malah, kedekatan atau muraqabah kita kepada Allah akan bertambah apabila ujian datang melanda. Ujian tidak akan datang melanda sebesar ujian kita duduk bersendirian – melayan fizikal, intelek, emosi dan spiritual sendiri.Makin besar ujian dan berjaya kita hadapi, makin tinggi status kita di sisi Allah. Itulah sebabnya Nabi Ulul Azmi amat dipuji Allah, lantaran merekalah yang menghadapi cabaran fizikal, intelek, emosi dan spiritual yang maha dahsyat. Kalau kita ingin bersama mereka, kita perlu mengikut jejak mereka.

Namun ada yang terlampau banyak eksternal…

Jika cabaran eskternal ini akan mendekatkan diri kepada Allah, sesuaikah kita mencari harta sekuat daya dalam kehidupan agar kita rapat dengan Allah?

Jika cabaran eksternal ini akan mendekatkan diri kepada Allah, sesuaikan kita mencurah intelek dan bakat agar kita rapat dengan Allah?

Jika cabaran eksternal ini akan mendekatkan diri kepada Allah, sesuaikah kita masuk masyarakat agar kita rapat dengan Allah?

Semua perkara di atas berbalik kepada tujuan asas kita diciptakan. Semua perkara di atas melibatkan nilai eksternal – sebagai khalifah. Maka yang tertinggal ialah nilai ‘abd – di mana syarat amal diterima ialah ikhlas dan mengikut Rasul. Jika semua perkara di atas dilaksanakan dengan ikhlas dan mengikut Rasul, ia memenuji syarat amal diterima bagi meningkatkan status kita di sisi Allah.

Saya sudah cuba ikhlas, dan mengikut Rasul…

Kalau diri sudah cuba ikhlas dengan belajar dan amalkan ilmu ikhlas, belajar dan amal ilmu untuk mengikut Rasul juga penting. Jika kita selusuri kisah Nabi Muhammad, kita akan nampak bahawa baginda meluangkan banyak masa untuk kerja-kerja eksternal : mencari nafkah, menderma harta, mencurahkan ilmu dan berinteraksi dengan masyarakat untuk menyeru ke arah kebaikan serta mencegah kerosakan. Namun itu sahajakah yang perlu diikut? Ada lagi.

Pada setiap amalan Rasul ada doa – ini masa untuk diri sendiri.Spiritual internal.
Ketika memulakan sesuatu, dibaca Bismilah. Ini spiritual internal.
Ketika terkejut, bersin, seronok dan pelbagai perasaan lain, diucapkan Alhamdulillah, MasyaAllah, Subhanallah, Allhu Akbar. Ini masa untuk diri sendiri. Spiritual internal.
Di malam hari, Rasul menghadap Ilahi. Spiritual internal.
Rasul mengulang-ngulang al-Quran.
Dan banyak lagi amalan spiritual Internal.

Rasul bersama isteri dan anak serta anak-anak kecil. Bergembira. Ini masa untuk diri. Emosi internal.
Ketika berdoa dan duduk sebentar selepas solat, ini masa untuk diri. Emosi internal.
Saidina Umar duduk muhasabah diri. Ini amalan untuk diri.

Dan Rasul menggali ilmu dari pelbagai sumber diskusi dan sumber wahyu. Ini intelek internal.
Sahabat belajar dari buku-buku. Ini amalan untuk menguatkan diri di peringkat intelek internal.

Masa untuk makan. Masa untuk minum. Masa untuk tidur. Ini semua amalan untuk fizikal internal.

Rupa-rupanya untuk mengikut Rasul kena ambil satu pakej. Barulah kita mampu untuk mendapatkan kesan besar dan kurang stres. Kalau ada stres, ia akan cepat dibantu Allah, dan bukan menjauhkan kita dari Allah. Amalan untuk diri sendiri inilah yang akan membantu ketika kita kelam, kabut dan keliru dalam kesibukan diri menghadapi alam eksternal. Alam eksternal yang nampak memang mencabar. Inilah mesej ‘Aku mengetahui apa yang kamu tidak ketahui’ yang cuba disampaikan kepada para malaikat. Alam eksternal tidak akan mampu membantu kita ketika kita ada masalah. Kerana Allah letakkan alam eksternal atau apa yang ada di atas muka bumi ini sebagai ujian – siapakah yang terlebih baik amalannya:

 

18:7. Sesungguhnya Kami telah jadikan apa yang ada di muka bumi sebagai perhiasan bagiNya, kerana Kami hendak menguji mereka, siapakah di antaranya yang lebih baik amalnya.

Sudah tenti tidak mungkin meminta tolong pada ujian itu sendiri, tetapi mintalah tolong pada Pencipta ujian. Itulah kemahiran yang perlu diasah selalu ketika senang atau susah, lapang atau sibuk, muda atau tua, kaya atau miskin sebelum kita menemui ajal. Selepas ajal nanti dan dibangkitkan, masing-masing di kalangan kita akan ditanya: masa lapangmu, apakah yang engkau telah gunakan?

Ya Allah, berilah kepadaku untuk beramal dan menguatkan diriku . Jangan jadikan aku yang menyeru kepada kebaikan tetapi aku lupa diriku sendiri perlu melaksanakan kebaikan tersebut. Ameen!

Facebook Comments:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Read previous post:
Mana satu nak beli nie ?

Pada pesta Thanksgiving yang lepas, saya sempat mencari barang yang dipesan oleh rakan di Malaysia. Dia memberikan ciri laptop yang

Close