Umum

Mana satu nak beli nie ?

Pada pesta Thanksgiving yang lepas, saya sempat mencari barang yang dipesan oleh rakan di Malaysia. Dia memberikan ciri laptop yang perlu dibeli secara umum. Apabila saya mencarinya, banyak pula model yang ditayangkan. Nak beli HP, Compaq atau Toshiba? Atau Dell ? Semuanya menarik dan harga murah. Berbaloi kalau beli. Pilih punya pilih,  saya beli Compaq. Kerana pengalaman dulu nampak ia tough untuk digunakan. Harap tahan lama.

Dan semasa saya menulis artikel ini, saya duduk di keliling pelbagai buku. Buku Verbal Idiom of al-Quran oleh Mustansir Mir belum habis disemak lagi. Memang menarik buku itu. Namun ada lagi. Big Think Strategy baru setengah dibaca. The Da Vinci Code yang dibeli 2-3 minggu lepas belum pun sampai suku. Enhancing Adult Motivation to Learn oleh Wlodkowski masih tersusun rapi. Membumikan al-Quran memang menarik. Don’t Sweat The Small Stuff menggiurkan untuk dihabiskan. Dan lebih 15-20 buku lain yang dipinjam dari library USC – menjadi rujukan untuk minda yang dahaga ilmu. Bukan mudah untuk dapat buku-buku ini di Malaysia. Da Vinci Code paling kurang harganya RM 85 di Malaysia. Di sini hanya $1.99!  Mana satu nak baca? Tapi tetap dicapai mana-mana yang sesuai, lantas saya akan membaca dan membuat catatan. Untuk menjadi panduan kemudian hari.

Sambil berfikir-fikir sedemikian, saya juga melihat gambar-gambar lama ketika membuat latihan di Malaysia. Membuat training bersama bapa orang, ibu orang, anak orang dan bos orang. Pelbagai jenis orang. Terkenang pula emak di Perak dalam keserabutan si orang atas dengan pelbagai karenah. Adam dan Hajar, si comel selalu berada di belakang bermain-main sambil mengusik abahnya yang tekun menaip ini. Sesekali Adam yang berumur 2 tahun pada Sept 11, 2009 ini memanjat para-para buku. Menerjah dalam diri untuk telefon emak, kawan dan bermain dengan Hajar serta Adam.

Bila memerhati Hajar dan Adam, nampak besar sangat tanggungjawab untuk membesarkan mereka. Saya fikir dan berazam. Kalau nak beli laptop pun banyak pilihannya dan nakkan yang terbaik, tentu lebih baik kalau banyak pilihan buku saya dan saya baca buku-buku terbaik. Kalau buku-buku banyak pilihannya, tentu lebih layak saya mengisi hidup ini dengan pelbagai amalan yang menguatkan kasih sayang pada diri dan orang di sekeliling. Yang paling penting, kalau banyak sungguh pilihan individu yang perlu saya hubungkan persaudaraan dan persahabatan bagi menjadikan hidup ini lebih bermakna, saya sepatutnya berusaha keras mempelbagai amal dan cara untuk mengingati Maha Pengasih yang memberi saya nikmat harta, ilmu dan persaudaraan.

Amat tidak layak jika ‘jual beli’ dengan Yang Maha Pengasih ini hanya sesekali dan tidak banyak alternatif yang dibuat. Kekadang pilihan amal untuk mencari harta, ilmu dan perasan terlampau banyak dibina, namun kekadang pilihan untuk mendekatkan dengan-Nya dipandang sepi atau berkala.

Ya Allah! Jadikanlah pencarian harta, ilmu dan kedamaian hati emosi ini hanyalah untukMu. Berikanlah aku ilham mempelbagaikan amal untuk mengingatiMu dan membersihkan hati ini agar saleem menuju kepadaMu. Janganlah biarkan ia dikotori dengan kerja 8-5 yang menjadikan makin jauh hati ini mengingatiMu, ilmu yang tak bermanfaat atau rakan-rakan yang menambahkan kerosakan di atas muka bumi ini. Betapa ramai yang sibuk mencari harta dan duit. Betapa ramai yang belajar mencari ilmu. Betapa ramai berborak dan bersama rakan-rakan. Namun untuk mengingatiMu agak sukar. Padahal Engkaulah yang memberikan harta, ilmu dan rakan-rakan itu.

Moga aku mampu berjual beli dengan Allah dengan pelbagai jalan. Pelbagai option. Pelbagai pilihan. Lantaran banyaknya amal yang ingin dilaksanakan. Bukan sekadar melepaskan batuk di tangga sahaja atau pilihan hanya satu dua. Kerana pilihan amal untuk rohani amat banyak berbanding dengan pilihan fizikal, intelek dan emosi. Namun ramai yang mengutamakan fizikal, intelek dan emosi lantaran ia nampak manis. Namun kalau benar-benar menekuni jual beli dengan Allah, manis di dunia ini akan mengharum hingga ke akhirat. Sebagaimana janji-Nya:

 

61:10. Wahai orang-orang Yang beriman! mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan Yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa Yang tidak terperi sakitnya?
11. Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan RasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan ugama Allah Dengan harta benda dan diri kamu; Yang demikian itulah Yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat Yang sebenarnya).
12. (dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke Dalam taman-taman Yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal Yang baik Dalam syurga ” Adn “. itulah kemenangan Yang besar.

___________

Artikel ini adalah sebahagian modul MasterPIES yang dilaksanakan dalam aktiviti pembangunan potensi diri. Jika berminat, sila email kepada info@masterpies.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Read previous post:
Berapa lama tak makan?

Kita suka dapat makan nasi. Kita seronok dapat ilmu baru. Kita gembira dapat kasih sayang. Kita juga lebih patut seronok...

Close