Syukurnya ada kaki

Sejak beberapa minggu yang lepas, saya sering rasa sakit pada kaki kiri ketika bangun pagi. Pada awalnya saya rasakan ia adalah sakit biasa atau mungkin kerana penat berdiri ketika ceramah atau kerja. Namun ia makin ‘garang’ pada pagi saya perlu berangkat ke Miri. Jalan sudah berdengkut-dengkut. Namun saya teruskan juga.

 

Setibanya di KLIA, saya mengambil masa untuk berehat. Bukan berehat untuk badan tetapi difokuskan kepada kaki kiri.

Penerbangan pada hari Khamis ini ialah 4.30 petang. Penerbangan Air Asia ini akan mengambil masa 2 jam. Saya fikirkan ia tidaklah begitu mencabar berbanding penerbangan ke US dahulu yang memakan masa lebih 14 jam.

Apabila saya tiba di Miri, kami bergerak ke SMKA Miri. Inilah kali pertama saya menjejak Sarawak. Inilah juga pertama kali saya berjalan dengan kaki kiri yang tidak sihat.

Menghadap pihak imigresen di negara sendiri adalah satu perkara yang amat pelik. Malah ada had untuk tinggal di Sarawak tidak lebih 90 hari menurut slip yang diberikan. Memang pelik tetapi kami teruskan perjalanan. Ketika berjalan masuk lapangan terbang Miri, kaki saya makin sakit. Saya mula berjalan tidak normal.

Ustaz Azhar dan Ustaz Abdullah yang menunggu di luar menyapa kami dengan penuh mesra. Saya sudah tidak sedap badan kerana kaki yang makin perit. Ustaz Azhar membawa kami ke SMKA Miri dan sesampainya di sana, kami dijemput untuk mengikuti program Ustaz Hasrizal yang sudahpun bermula awal.

Saya berjalan dengan kaki yang mula sakit, tetapi dengkutannya tidak sejelas mana. Dapat sahaja kerusi, saya duduk dengan ria kerana ini bermakna sang kaki boleh berehat.

Apabila usai program, saya cuba bangun. Kini kaki kiri makin sakit. Saya bimbang dan dalam masa yang sama mula berpeluh. Segan juga di khalayak guru yang berada dalam bilik program melihat salah seorang penceramah tidak mampu bergerak dengan baik.

“Ustaz, pernah sakit kaki sebelum ini ?” Tanya saya kepada Ustaz Hasrizal selepas ceramah.

“Pernah. Ana kena gout dulu kerana kesan ubat sehingga asid urik terlebih,” jawapan Ustaz Hasrizal.

Saya berfikir dari tadi adakah saya mendapat gout. Seingatnya saya kurang makan sebelum ini. Saya memang makan sedikit. Namun mungkin ada sebab lain untuk gout. Saya lantas bertanya lagi.

“Kalau gout sakit di mana ?”

“Biasanya di axle atau sendi…atau sendi hujung jari..kalau di kaki…” sambil ditunjukkan kepada kaki saya.

“Hmm..saya tak sakit di situ. Mungkin bukan gout nie…, ” saya berujar.

Kami ke bawah untuk makan malam hidangan SMKA Miri. Saya sudah tidak mampu bergerak. Saya minta Firdaus mengambil makanan kerana kaki kiri tidak mampu menerima daya lebih. Nanti boleh jatuh dibuatnya saya kerana tidak stabil dan sakit.

Habis makan pada jam 9.00 malam itu, semua bersurai. Saya bangun. Tidak boleh!

Beberapa orang membantu. Saya berpapah dengan Arif dan Syed Faiz yang membantu.

Ustaz Azhar merapati dan saya meminta untuk dihantar ke klinik. Untuk masuk ke kerata juga perlukan papahan. Fuuh! Memang memeritkan.

Kami ke sebuah klinik swasta.

Sampai di sana, dibawakan kerusi roda untuk saya. Pertama kali menduduki kerusi roda.

Alhamdulillah tidak ramai pesakit di sana. Saya menerangkan pada doktor bangsa Tionghua itu bahagian mana yang sakit. Pada awalnya beliau mengatakan saya mungkin ada gout. Tetapi selepas digerak-gerakkan kaki saya, beliau membuat kesimpulan bahawa tendon pada kaki kiri saya bermasalah. Kesan lama berdiri dalam program atau digunakan agresif dalam permaianan. Saya agak setuju dengan sebab pertama.

Tidak ada cara lain, saya diberi satu dos suntikan untuk melegakan kesakitan. Diberi ubat makan dan sapu selepas itu, wang  RM 110 berpindah tangan. Kami pulang.

Setibanya di tempat program pada keesokan harinya, saya masih berjalan tidak normal. Dunia dirasakan amat berat dan besar kerana kaki tidak mampu bergerak baik. Di Imperial Hotel, saya melompat-lompat dengan sebelah kaki – amat memenatkan. Akhirnya diambil kerusi roda dan saya dibawa ke bilik. Walaupun ada sarapan pagi yang menarik di hotel tersebut, tetap saya tidak pergi kerana kaki ini tidak mampu menahan perit.

Program bersama pelajar SMKA Miri berjalan petang itu dengan baik. Saya ikut solat berjemaah dengan gaya berdiri seorang ‘gangster’, namun Allah sahaja yang tahu betapa lama dan sakit untuk berdiri dengan 2 kaki seperti posisi normal.

Hari demi hari,  kaki makin baik. Hari kelima di Sarawak, kaki saya makin pulih untuk pulang ke Semenanjung. Alhamdulillah.

Ya Allah, bersyukur sungguh dengan adanya kaki ini. Ia satu nikmat yang amat besar ya Allah.

Facebook Comments:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Read previous post:
Tahu 1+1 tidak mampu membina sistem keluarga

Ramai yang makan. Ramai yang tidur. Ramai yang kahwin. Ramai yang mengakhirkan hayatnya. "Uish, ramainya orang kahwin. Ramai umat Nabi"

Close