Memanfaatkan peluang dekat

Beberapa minggu lepas, saya membuat pinjaman buku Forty Hadith of Al-Nawawi oleh Sheikh Jamaludin Zarabozo buat kali kedua dengan menggunakan khidmat InterLibrary Loan. Saya pinjam kali kedua kerana buku 3 jilid ini memang bagus. Nak dibeli, dana belum cukup. Sheikh Jamaludin Zarabozo kini menetap di California – menjadi seorang ulama selepas masuk Islam. Bagaimana beliau boleh sehebat itu? Beliau tidak belajar agama selain di US!

Sememangnya banyak buku yang beliau tulis atau terjemah. Daripada seorang yang tidak mahir berbahasa Arab sehinggalah menjadi ulama dan mampu menulis dengan penuh ilmiah, saya terus mencari-cari maklumat apakah rahsia beliau. Beliau tidak ke luar US untuk belajar agama. Apakah yang beliau buat? Rupa-rupanya ketika menetap di Colarado, beliau rapat dengan pak-pak Arab yang hadir. Semasa saya melawat pelajar Malaysia di Colarado School of Mines, saya sempat singgah beberapa kali di masjid kampus sana. Subhanallah! Ramai betul pak Arab yang tinggi ilmunya. No wonder!

 

Tapi saya memang tertarik dengan kaedah Sheikh Jamaludin Zarabozo. Dia mendalami Islam dengan pak Arab ketika masuk Islam. Dan dia tidak pergi jauh. Dia memanfaatkan peluang dekat yang ada untuk melonjakkan performance diri. Ramai kata perlu ke Mesir atau Madinah untuk belajar bahasa Arab. Namun beliau mampu membina kehebatan dengan belajar di US sahaja.

Antara yang jauh dan dekat

Belajar di US menjelaskan bahawa peluang dekat perlu dilihat dan diperhati serius. Untuk pergi mencari yang jauh tidak salah. Namun usaha tarbiah atau pendidikan diri untuk mendekatkan diri pada Allah ini boleh bermula dengan peluang dekat yang ada. Internet dekat dengan kebanyakan individu sekarang. Ustaz-ustaz (di Malaysia) atau ulama-ulama ramai di mana sahaja. Kalau di US ini, amat ramai individu ulama yang boleh dimanfaatkan. Kalau bukan digelar ‘ulama’ pun, tahap ilmu mereka ini tinggi – yang boleh dimanfaatkan. Namun mengapa tak ramai yang mampu memanfaatkan? Selepas habis 4 tahun belajar, masih ada yang masih tidak ‘tercelup’ dengan ilmu Islam – padahal banyak sumbernya di sini.

Semasa saya di Purdue, saya sempat belajar dengan beberapa pak Arab atau tokoh ilmu ini. Mereka menghabiskan PhD mereka (dan ada yang tak habis-habis) dan mempunyai ilmu yang tinggi. Paling kurang, saya tanya apa maksud perkataan bahasa Arab dan tafsir dari pelbagai buku yang ada. Mereka juga amat suka didekati dan ditanyakan soalan-soalan begitu. Pada peringkat awal, saya segan-segan. Namun apabila saya sudah mulakan, ia menjadi satu kemanisan dalam menuntut ilmu.

Saya akan belajar jika…

Sebenarnya kemampuan untuk memanfaatkan sesuatu yang dekat ini adalah refleks kepada kemampuan bersyukur. Individu bersyukur sentiasa sedar apa yang pada diri dan kawasan di sekitarnya. Jamaludin Zarabozo bersyukur duduk di Colorado , lantas mencari-cari sumber untuk menguatkan kefahamannya kepada agama.  Sememangnya kalau nak argue, beliau boleh menyatakan:

  • mereka bukan scholar
  • mereka nie tak pasti ada ijazah atau tidak
  • mereka nie betul ke ajarannya
  • boleh ke saya jadi hebat dengan belajar dengan pak Arab di Colorado ini

dan pelbagai perkara yang boleh ditanyakan. Namun dengan bertanya soalan asas dan ditingkatkan dari semasa ke semasa, ia menjadi rahsia kejayaan Sheikh Jamaludin Zarabozo dalam mendekati agamanya.

Kalau mengharapkan peluang ke Madinah, berjumpa Dr Yusuf Qardhawi atau ‘ustaz kesayangan’ untuk mendalami Islam, sudah tentu Jamaludin Zarabozo tidak mampu mencapai tahap yang ada sekarang. Namun inilah yang banyak berlaku – hatta di kalangan aktivitis Islam. Ada yang berkira-kira:

  • Kalau saya jumpa sheikh itu dan ini, saya akan belajar deen dengan baik
  • Kalau saya ke program al-Maghrib atau al-Bayyinah, saya akan belajar dengan baik dan amalkan Islam
  • Kalau saya dapat fokus setahun kepada al-Quran dengan guru yang baik, baru saya akan mula memberi perhatian kepada al-Quran
  • Kalau saya tak sibuk, saya akan belajar ilmu Islam
  • Kalau saya ada duit banyak, saya akan ke Mesir dan Madinah untuk belajar bahasa Arab
  • Kalau saya dapat itu, saya akan buat ini…

Apakah sebenarnya yang berlaku dalam individu yang mempunyai pola berfikir sedemikian? Reaktif. Hanya menunggu sesuatu itu berlaku. Manakala individu proaktif akan mengambil dan merebut peluang. Kalau peluang itu tidak ‘jelas’ atau ‘tak nampak’, ia akan bertanya. Peluang boleh dibina.

Membina peluang

Membina peluang boleh berlaku di peringkat dekat atau jauh. Ada yang berkata, saya akan beriman sungguh-sunnguh jika Imam Mahdi sampai. Namun:

  • mampukah ‘saya’ hadapi cabaran ketika Imam Mahdi turun?
  • mampukah ‘saya’ mengenali beliau?
  • cukup kuatkah saya menongkah arus dan menghadapi cemuhan untuk bersama Imam Mahdi kalau beliau datang?
  • mampukah dan masih hidupkah saya waktu itu ?

Inilah yang berlaku kepada Abu Hakam yang dikenal sebagai Abu Jahal pada masa Rasulullah. Beliau seorang yang bijak di kalangan bangsanya. Namun setelah hadir Rasulullah, beliau tidak mampu bersama dengan kebenaran. Kebenaran bukan datang dengan karpet baldu merah diliputi angin salju. Kalau tetap inginkan karpet merah, kita sendiri yang perlu membinanya.

Lokasi peluang

 

Di manakah lokasi peluang dekat yang boleh kita cari dan bina kejayaan kita sedikit demi sedikit?

  • Ada Allah. Kita perlu sentiasa berinteraksi dengan-Nya, tanpa perlu menunggu peluang jauh. Kalau ingin menunggu syeikh sampai, tidak semestinya diri kita berdisiplin apabila itu berlaku tanpa kita mulakan dari sekarang.
  • Ada semua rukun iman. Rukun iman itu akan dapat dihargai lebih lagi ketika kita belajar bersama syeikh atau ustaz. Namun ia perlu bermula sekarang. Syukuri nikmat iman pada malaikat, rasul, kitab, hari akhirat serta qadha qadar. Dengan kita sedari perkara tersebut, kita akan mampu syukuri dengan lebih lagi apabila sudah sampai syeikh atau ustaz. Namun kalau syeikh tidak sampai, perlu ditunggu sehingga akhir hayat?
  • Ada masjid. Datangilah masjid-masjid itu dan manfaatkan sumber manusia dan kemudahan lain. Tanya pada yang layak, rancang untuk memaksimumkan fungsi masjid. Kenalpasti individu yang berpotensi menjadi sumber rujukan kita. Kalau kitalah orang yang dirujuk itu, maka kita perlu merancang untuk mendapatkan lebih banyak resources.
  • Ada kawan di sekeliling yang mempunyai kelebihan masing-masing. Kalau usrah dan tarbiah menjadi fokus, belajar dan tanya pada orang yang berilmu tersebut – walaupun sedikit. Ada yang memilih-milih ‘ustaz’ atau ‘scholar’ untuk belajar. Namun sehingga hujungnya, tidak banyak perubahan dan pelajaran yang diperoleh.
  • Ada program terkini – yang boleh kita ikuti dan hadiri. Gunakan peluang itu, sebelum kita bercakap tentang peluang-peluang lebih besar. Mengapa? Kalau peluang kecil tidak mampu kita hargai, tidak pasti samada ketika peluang besar itu tiba, kita akan berkata ‘sorry lah , saya sibuk’, ‘sorrylah ya, saya tak de duit’, ‘sorry-lah ya, saya menanti peluang lebih besar kerana yang ini tidak cukup besar’ dan akhirnya kita kecundang dengan ‘sorrylah ya, saya tengah menunggu peluang lebih besar’.

Usrah dan Tarbiah

Atas dasar itu, untuk menghidupkan jiwa individu yang ingin mendekati Allah, usaha usrah(kumpulan studi Islam) dan tarbiah(pendidikan) tidak perlu menoleh jauh sampai ke seluruh dunia setiap masa.

Pandang jauh itu penting untuk mencari Yusuf Qardhawi, namun pandang dekat itu lebih utama untuk mencari Hakim, Ahmad atau Aminah yang boleh mengajarkan kita sesuatu. Sememangnya bomoh kampung  kurang dihargai, tapi kita bukanlah orang suka berbomoh dan berdukun yang boleh membawa kepada syirik serta tidak bersyukur pada nikmat yang ada. Gunakan peluang yang dekat sebelum ia pergi dan kita berkata ‘alamak, kan bagus kalau aku pergi dan buat itu ini dulu…’ . Sebesar-besar tempelak Allah bagi golongan yang tidak memanfaatkan peluang sedia ada ialah apabila sampai di depan Allah, individu ini baru sedar dan ingin dikembalikan kepada peluang sebelum itu – dunia:

32: [12]
Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): “Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik; sesungguhnya kami sekarang telah yakin”.

Forty Hadith of Al-Nawawi

Moga kita menjadi individu yang mampu ‘sedar’ peluang dekat dan tak banyak ‘songel’ untuk mendapatkan ‘peluang jauh’ sehingga tercicir apa yang dikendong. Ya Allah, berilah kepada kami kemudahan untuk beramal kepada-Mu!

Fazrul Ismail
Los Angeles

Facebook Comments:

5 thoughts on “Memanfaatkan peluang dekat

  • July 25, 2009 at 10:26 am
    Permalink

    Peluang belajar ada di mana-mana sahaja cuma kita yang perlu memanfaatkanya…Dari alam sekeliling pun kita masih boleh belajar sesuatu…Saidina Ali pernah berkata Aku Belajar Erti Takwa Dari Kesetiaan Seekor Anjing Kepada Tuannya..

    Reply
  • July 25, 2009 at 11:07 pm
    Permalink

    saya sangat suka dengan artikel ini sangat membina..mari manfaatkan segala peluang yang ada.

    Reply
  • July 26, 2009 at 3:01 pm
    Permalink

    Terima kasih utk artikel ini =)

    Reply
  • July 26, 2009 at 5:04 pm
    Permalink

    NO wonder! skool pondok in Malaysia also the best place untuk mendalami ilmu agama…. kita ada pondok moden dan tradisional… one of uthe best or sesuai lah.. sperti Yayasan Sofa di Negeri Sembilan,,, Gurunya Sheikh Kamaludin Al Maliki… beliau menyedia kan tempat pengajian agama terutama untuk anak2 yatim… tapi turut belajar adalah warga mida mudi dan warga emas…

    Reply
  • August 4, 2009 at 9:33 am
    Permalink

    As-salaam ‘alaykum,

    Saya sangat meminati Shaykh Jamaaluddin Zarabozo. Sejak pertama kali mendengar beberapa siri lectures daripada beliau (An In-Depth Study of Surah al Fatihah) kira-kira 2 tahun yang lalu saya seringkali tertanya-tanya, mashaAllah, siapakah ini kerana penyampaian yang begitu detail, mendalam dan cukup bersahaja?

    Apabila mencari dan mengkaji berkenaan diri beliau dan sehinggalah berpeluang menemui beliau, benarlah seperti apa yang dinyatakan oleh penulis, bahawa Shaykh Jamaaluddin Zarabozo tidak pernah ke luar US untuk menuntut ilmu dan beliau banyak belajar atas inisiatif dan usaha diri sendiri. Beberapa du’aat di US ketika ini seperti Yasir Qadhi, Awadh Binhazim, seringkali menjadikan beliau antara tempat rujukan – sesuatu yang sukar dijumpai di US lantaran masih belum ramai ulama’ terutamanya yang lahir dan membesar di US sendiri.

    Walaupun kini kita dilengkapi dengan kemudahan teknologi seperti internet dan sebagainya, saya masih lagi tidak pasti sekiranya kita mampu melakukan apa yang telah Shaykh Jamaaluddin lakukan. Bukanlah saya mahu memperkecilkan usaha atau daya untuk menjadi seperti dia, tidak, tambahan saya berdoa moga-moga lebih ramai yang menjadi seperti Shaykh Jamaal pada masa akan datang, tetapi usaha ini perlu sentiasa berterusan, serius, super-ikhlas dan super-komited, lebih-lebih lagi suasana sekitar di US yang mungkin tidak begitu banyak membantu dari segi sosial dan media massa.

    Saya tidak pasti jika saya salah untuk menyatakan, adalah sedikit mustahil untuk mencontohi apa yang telah dilakukan oleh Shaykh Jamaal dalam usaha beliau dalam mempelajari ilmu-ilmu Islaam, tetapi saya berdoa semoga Allah sentiasa melapangkan dada dan hati kita semua untuk sentiasa menuntut ilmu yang bermanfaat – bukan sahaja untuk kebaikan dunia, malah untuk kejayaan kita di akhirat kelak ameen.

    Amar Razali

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Read previous post:
Kaitan Hati + dan –

Saya sering tertanya-tanya bagaimanakah kaedah untuk menerangkan proses amal seharian. Saya mengkaji dan bertanya. Saya memerhati dan membuat kesimpulan ringkas

Close