60 000 kali berfikir

Setiap hari manusia berfikir puratanya 60 000 kali sehari. Dari angka tersebut, 80 peratus daripada pemikiran tersebut di arah kepada perkara negatif dan hanya 20 peratus terarah kepada perkara positif. Ini bermakna sekitar 48 000 kali manusia berfikir ke arah negatif dan selebihnya 12 000 kali berfikir perkara positif.

 

Kau tahu si Rahman tu dah naik pangkat sekarang? ujar Maniam kepada Zul.

Eleh, itu pasal si Rahman tu pandai kipas bos, bodek sana bodek sini, sebab tu la dia boleh naik pangkat, balas Zul kepada Maniam.

 

Harga sekilo ‘lobster’ bernilai RM11,090, itu adalah tajuk berita di surat khabar. Kamal langsung menghela nafas panjang.

Inilah dia peniaga sekarang, dah tak jujur,penipu, hanya tahu mengaut keuntungan sahaja. Takkan harga makanan sampai semahal ini? Kerajaan pun sama, GST la, itu la, ini la, lepas tu tiada pengawasan yang ketat kepada peniaga, getus Kamal.

Sedangkan cerita panjang dalam berita tersebut sebenarnya juruwang telah tersilap kira dan menyebabkan sedikit kekeliruan antara juruwang dan pembeli.

 

Setiap hari manusia tidak terlepas daripada aktiviti berfikir. Baik berfikir perkara yang ringan atau berat. Untuk membina masyarakat yang maju dan kehadapan, budaya berfikir secara positif wajar diketengahkan.

Sistem kepercayaan dan cara berfikir

Kalimah berfikir di dalam Al-Quran diungkap dengan pelbagai bentuk. Antaranya seperti ta’qilun, tafakkarun, tazakkarun, tadabbur, dan ulil albab.

Allah menyeru hambaNya untuk berfikir tentang kejadian alam semesta ini seperti dalam firmanNya dalam surah Ali Imran ; 190.

“190. Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal”.

Begitu juga seruan untuk berfikir tentang keadaan masyarakat atau sosial seperti dalam firmanNya dalam surah Yusuf ; 111.

“Demi sesungguhnya, kisah Nabi-nabi itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang mempunyai akal fikiran. (Kisah Nabi-nabi yang terkandung dalam Al-Quran) bukanlah ia cerita-cerita yang diada-adakan, tetapi ia mengesahkan apa yang tersebut di dalam Kitab-kitab agama yang terdahulu daripadanya, dan ia sebagai keterangan yang menjelaskan tiap-tiap sesuatu, serta menjadi hidayah petunjuk dan rahmat bagi kaum yang (mahu) beriman”.

Merujuk kepada ayat-ayat di atas, berfikir samada tentang alam atau masyarakat amat dianjurkan dalam Islam. Dalam pelbagai seruan untuk berfikir, semuanya menjurus untuk menambah keimanan manusia itu kepada Allah. Ketika Maniam, Zul dan Kamal dapat berfikir untuk menambah keyakinan dan keimanan kepada Allah, sudah pasti idea untuk memberi gelaran bodek, dan sebagainya akan diproses berkali-kali.

Purata 60 000 kali berfikir setiap hari dengan berpandukan Al-Quran akan membina masyarakat yang mempunyai sistem kepercayaan yang benar dan seterusnya membawa manusia kepada kejayaan baik di dunia mahupun akhirat.

Facebook Comments:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Read previous post:
Perjanjian dalam prestasi menang-menang

"Pelajar sekalian, berikut adalah perkara yang hendak kita capai. Ini adalah keperluan asas bagi gred A, B dan C. Matlamat

Close