Menghadapi Saat-Saat Akhir

Apabila anda diberi masa 2 bulan untuk bersiap menuju satu alam baru, apakah yang akan anda lakukan? Apakah yang anda akan laksanakan? Perlukah kita ingat apa yang akan kita tinggalkan atau apa yang akan kita bawa nanti? Sesetengah menyatakan: lupakah alam sekarang, ingatlah alam yang akan datang. Tetapi benarkah kaedah itu ketika kita mengingati saat kematian? Kalau anda diberi masa 2 bulan dari sekarang untuk berhijrah ke satu tempat lain, apakah yang akan anda laksanakan?Bagi saya:

  • Saya kalau boleh nak bawa semua buku yang telah dikumpulkan sebelum ini, kerana ia akan menjadi rujukan di tempat baru nanti dalam mendalami Islam. Alangkah baiknya kalau saya boleh menghafaz kesemuanya dan ilmu itu ada dalam jiwa. Namun itu tidak mungkin. Perlu saya tinggalkan buku? Saya tidak boleh membawa kesemuanya – namun saya perlulah usahakan untuk ia tetap dapat saya rujuk. Salah satu kaedahnya ialah scanning buku-buku penting yang boleh dijadikan rujukan di sana. Saya tidak akan memilih buku yang rasakan ada di sana..apatah lagi ianya tidaklah secara direct bercakap tentang ilmu yang amat perlu saya dalami. Ilmu itu perlulah menduduki hierarki yang tinggi, agar berbaloi usaha saya membawanya ke sana.
  • Saya perlu tinggalkan orang yang ada yang mampu melaksanakan kerja samada untuk dakwah, kebajikan atau business agar saya terus dapat ganjaran dunia dan akhirat. Saya inginkan, ketika saya tiada, business yang ada makin maju dan harta yang ada itu makin banyak dilaburkan kepada anak-anak yatim, fakir, miskin, sistem pendidikan dan banyak lagi pihak yang boleh memanfaatkannya. Saya ingin juga apa yang saya tinggalkan nanti akan menjadi ‘ilmu bermanfaat’ yang akan menjadi aliran pahala bagi saya apabila saya berhijrah ke tempat baru nanti. Atas dasar itu saya perlu ‘membina’ siapa sahaja yang saya anggap strategik agar jangan sampai ilmu itu padam dengan individu itu sahaja. Saya harapkan ia dikembangkan.
  • Saya harap disana pun, saya dapat bantu orang-orang di sini. Namun tidak semestinya saya mampu menyalurkan wang, ilmu dan sebagainya ke sini. Saya perlu membina sistem di sini, kemudian saya boleh tinggalkan dengan yakin. Setibanya di sana nanti, saya mampu untuk membangunkan business dan kegemilangan ilmu dalam diri agar ia dapat disebarkan di khalayak ramai pada masa akan datang. Di sana nanti, saya perlu ada akses kepada ilmu yang luas. Cuma setakat ini, saya perlu letakkan keutamaan: apakah langkah paling strategik dan apakah sumber material paling strategik untuk dibawa ke sana. Yang pasti ia bukanlah duit, bukanlah buku-buku yang hierarki ilmunya tidak tinggi.
  • Apa lagi perlu saya sediakan? Saya perlu bina dan cari pengalaman di sini untuk dibawa ke sana. Saya perlu kumpulkan semua pengalaman di sini agar ia mampu menjadi asas ketika bergerak di sana. Saya perlu baiki ukhuwah di sini agar apabila saya jauh nanti,  saya ada individu yang boleh saya hubungi untuk menambahkan saham pahala saya ke akhirat. Network perlu saya kemaskan agar saya tidak tercari-cari di sana nanti. Network ini lebih-lebih penting untuk menyingkatkan jalan saya menuju Allah.
  • Hutang saya dengan manusia, saya perlu jelaskan. Saya perlu jelaskan hutang emosi, intelek, spirituil. Namun saya yakin saya tidaklah sekuat mana. Ya Allah! Ampunkan dosaku. Saya berazam dalam 2 bulan ini saya akan menghubungi dan memperbaiki semua itu. Saya berazam pada masa akan datang, saya tak nak menyakitkan hati orang lain atas angkara saya kerana ia memerlukan masa untuk memperbetulkannya semula. Padahal masa yang ada hanya 2 bulan.
  • Apa yang saya sudah ada sekarang? Alhamdulillah saya sudah ada sedikit ilmu untuk solat, menuntut ilmu dan dakwah serta beberapa perkara lain. Cuba bayangkan kalau saya tak tahu itu semua? Pasti saya perlu belajar semula, scan lebih banyak buku dan banyak perkara yang saya perlu laksanakan…Paling kurang saya sudah ada ilmu itu namun ilmu untuk mencapai ihsan itu perlu didalami dan dipraktikkan. Kalau saya bertangguh dan membuang masa, tidak betul-betul jihad pada jalan-Nya, saya nanti akan rasa ralat untuk ke alam sana. Ya Allah! Bantulah hambaMu untuk ke sana.
  • Yang pasti, saya akan menyesal pasal saya tak buat banyak perkara sebelum ini sehingga saya rasakan persediaan 2 bulan itu amat pendek. Amat pendek, Amat pendek. Padahal saya mahu habiskan Tafsir al-Mishbah agar di sana nanti saya mampu memahamhi al-Quran lebih mendalam dan mampu melonjakkan aktivisme saya di sana. Namun saya yakin, yang lepas sudah berlalu. Sekarang adalah masa terbaik untuk membuat perubahan dengan mengambil pedoman masa lalu. Saya nampak jelas, usaha dakwah adalah usaha yang akan memastikan saya sentiasa tidak rugi untuk menuju alam sana nanti. Dan saya tak dapat nak menyatakan apa-apa kecuali – janganlah aku tunduk di hadapan Allah minta dikembalikan ke dunia untuk berbuat amal baik setelah berada di sana nanti. Syaratnya: aku perlu menjadi orang yang tidak engkar pada suruhan-Nya. Walaupun satu saat atau satu detik…

        Facebook Comments:

        Leave a Reply

        Your email address will not be published. Required fields are marked *

        This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

        Read previous post:
        Semantik dalam Kehidupan

        Bukanlah semantik yang lebih utama tetapi apakah kesan apabila tidak menyerah kepada sumber semantik. Inilah yang akan kita bahaskan dalam...

        Close