Misi Kekal


James Kim merupakan seorang lelaki yang mempunyai ‘misi kekal’. Ketika berusia 15 tahun, beliau telah mewakili Korea Selatan bertempur di medan perang sehingga cedera parah. Pada saat sedang tenat itu, beliau berdoa kepada Tuhan supaya nyawanya terselamat. Niatnya adalah untuk menunjukkan kasih sayang terhadap musuhnya iaitu tentera Korea Utara dan China. Doa beliau ternyata dimakbulkan. Sepanjang hayat beliau, Kim berusaha menunjukkan kasih sayang itu sehingga Korea Utara membenarkan Kim membina Universiti Sains dan Teknologi Pyongyang. Beliau juga pernah menyatakan bahawa beliau tidak takut mati, kerana meyakini akan pergi ke tempat yang lebih baik sekiranya ditakdirkan mati ketika dalam tahanan Korea Utara.

Mempunyai misi kekal menjadikan Kim lebih pemurah dan berkasih sayang. Beliau menghadapi rintangan hidup dengan tenang dan berani. Ahli falsafah Friedrich Niietzche pernah berkata, “Manusia yang mempunyai tujuan hidup, mampu menghadapi apa juga rintangan.” Kita juga mampu menjadi hebat seperti Kim sekiranya mempunyai ‘misi kekal’. Keyakinan Kim bukan sahaja ketika beliau hidup, bahkan setelah beliau meninggal dunia.

Begitu ‘misi kekal’ yang dimiliki Saidina Bilal bin Rabah. Saat diseksa oleh musyrikin ketika itu, beliau tetap mengucapkan kalimah ‘ahad’ iaitu mengakui keesaan Allah. Apakah kita mampu secekal Bilal saat diseksa dengan teruk oleh musuh? Kita tidak mahu hidup seperti mesin. Menjalani kehidupan hambar saban hari sehingga ke akhir hayat tanpa menghiraukan kejayaan primer yang lebih jauh bermakna. Manakala yang lain pula terus lupa diri dengan berhibur sehingga menemui ajal.

Kim mempunyai misi kekal, dan kita juga wajar ada misi kekal. Apakah misi kekal kita semua? Hayati maksud firman Allah swt:

Dan Allah akan menambahi hidayat petunjuk bagi orang-orang yang menurut jalan petunjuk dan amal-amal yang baik yang tetap kekal faedah-faedahnya itu, lebih baik balasan pahalanya di sisi Tuhanmu dan lebih baik kesudahannya.

Surah Maryam. 19 (76)

Semua orang pasti mahukan kebaikan. Kita dapat melihat kebaikan yang dilakukan oleh ramai manusia sama ada mereka beriman kepada Allah atau sebaliknya. Mempunyai ‘misi kekal’ hanya akan benar-benar kekal bilamana kebaikan yang dilaksanakan adalah untuk menuju kepada Allah swt yang Maha Kekal.

Apakah ‘misi kekal’ kita? Moga dengan ‘misi kekal’ yang jelas akan menguatkan stamina untuk terus melakukan kebaikan dan bersedia untuk menghadapi cabaran dalam kehidupan dengan kesabaran.

Facebook Comments:

Leave a Reply

Read previous post:
Hero tak didendang

“Ustaz, enta kena tulis cerita ini,” Dr. Razali memulakan perbualan kami tengah hari tadi. Saya mengangguk sambil tersenyum. Mendengar butir-butir...

Close