Hero tak didendang

“Ustaz, enta kena tulis cerita ini,” Dr. Razali memulakan perbualan kami tengah hari tadi. Saya mengangguk sambil tersenyum. Mendengar butir-butir berikutnya dari beliau.

“Begini, kita tahu ada banyak maahad tahfiz yang tidak berdaftar secara sah. Dan ini boleh mengundang masalah kepada maahad itu sendiri,” sambung beliau. Saat itu, saya teringat sepotong ayat dari surah Al-Fatihah. Firman Allah bermaksud:

Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan.

Surah Al-Fatihah, 1 (5)

Amr Khalid menyeru umat Islam untuk mentadbir urus dunia ini dengan sebaiknya bila mengakui diri ini sebagai hamba kepadaNya. Pelbagai isu yang berlaku kebelakangan ini dalam kalangan maahad tahfiz dan isu pentadbiran serta pengurusan sering menjadi buah mulut masyarakat.

“Tapi, ada seorang hamba Allah yang tidak dikenali ramai. Beliau ini yang membantu banyak maahd tahfiz yang ada untuk didaftarkan dengan ROC dan sebagainya sehingga maahad tersebut berdaftar secara sah. Beliau tidak minta walau satu sen pun dari pihak maahad. Bahkan sekiranya maahad tersebut di Terengganu, beliau akan turun sendiri untuk membantu. Bagus sungguh orang ini. Seperti cakap-cakap orang, hero yang tak didendang.” Sambil menghirup teh hijau, saya mendengar butiran cerita yang bersungguh-sungguh disampaikan oleh Dr.

Subhanallah, minggu ini saya dihidangkan dengan deretan kisah orang yang mahu mendahului orang lain dalam urusan kebaikan. Mereka ini berlumba-lumba agar dapat membantu seramai mungkin manusia. Dari manakah mereka memperoleh stamina ini? Jika kita memandang hari ini semata-mata, mungkin sukar untuk kita berjumpa dengan orang-orang hebat ini. Pasti ada sesuatu yang melatari kebaikan mereka.

Untuk saya pula, ayat ini sering memotivasi diri untuk terus berbakti kepada masyarakat dengan kemampuan yang ada. Firman Allah swt yang bermaksud:

Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa, disediakan Syurga tempat mereka beroleh apa yang mereka ingini.

Surah An-Naba’, 78 (31)

Melihat dunia ini yang hanya sementara, saya perlu bersedia untuk melakukan yang terbaik sebelum bertemu dengan Pencipta saya iaitu Allah. Moga kita terus jelas dengan legasi supaya terus kuat untuk berbakti sekalipun tidak dikenali oleh penduduk bumi, biarlah dikenali dengan kebaikan oleh penduduk langit.

Facebook Comments:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Read previous post:
Biarkan saja?

“Azmi, bawalah berbincang elok-elok. Bukankah lebih bagus jika perkara ini dapat diselesaikan dengan aman dan harmoni, kita semua rakan sepejabat,”

Close