Biarkan saja?

“Azmi, bawalah berbincang elok-elok. Bukankah lebih bagus jika perkara ini dapat diselesaikan dengan aman dan harmoni, kita semua rakan sepejabat,” Rosli memberikan pandangannya kepada Azmi.

“Ah, bukan aku tak mahu berunding dengan Azhar, tapi kau tahu sajalah perangai keras kepala dia. Sudahlah Rosli, aku ada banyak urusan lagi sekarang. Malas aku nak fikir pasal hal ini,” balas Azmi.

Paradigma untuk mengelakkan diri daripada sesuatu masalah atau mempertahankan diri dalam sesuatu situasi adalah tidak wajar sekiranya kita mahu mencapai kerjasama. Apalagi dalam sebuah kapal yang sama, rumah yang sama, organisasi yang sama, mencapai kerjasama adalah satu hal yang penting dalam membina kejayaan yang lebih besar.

Azmi dan Azhar merupakan rakan sejawat di organisasi ‘KLM’. Permasalahan mereka dapat diatasi dengan di antara mereka berkata “sekiranya manusia bijak yang kompeten dan komited seperti awak ini tidak bersetuju dengan saya, pasti ada pandangan saya yang awk tidak fahami. Justeru saya ingin memahaminya. Saya ingin tahu perspektif awak itu.” Pendekatan ini adalah lebih baik berbanding dengan tindakan mengabaikan sahaja, menduga-duga sikap orang lain, atau pun menyalahkan pihak yang satu lagi.

Tembok Pengadang

Seperkara yang melunturkan usaha dalam menangani konflik adalah kewujudan ‘tembok penghalang’ dalam penyuaraan pendapat. Merenung kembali sejarah, benteng minda yang dibina ini boleh menjadi realiti yang menggusarkan. Parti UMNO dahulu misalnya pernah berpecah kepada dua pihak pada tahun 1987 di mana satu puak memihak kepada Perdana Menteri (kini Tun) Dr. Mahathir Muhamad dan satu puak memihak kepada pimpinan kombinasi Tengku Razaleigh dan (kini Tun) Musa Hitam. Pada tahun 1974, perbalahan Edward Heath dari Parti Konservatif dan Harold Wilson dari Parti Buruh telah menjadi perhatian dunia apalagi oleh anggota negara Komanwel. Wilson akhirnya berjaya membentuk kerajaan Buruh setelah memberi tekanan kepada Edward, namun situasi pemerintahan ketika itu menjadi rumit kerana ia menjadikan Britain pada ketika itu diperintah oleh Parti Buruh yang tidak mempunyai kerusi majoriti. Begitu juga Tembok Berlin yang memisahkan golongan berhaluan kapitalis dan komunis, tembok-tembok lain yang memisahkan Korea Utara dan Korea Selatan, Israel dan Palestin serta India dan Pakistan.

Tembok ini terbina daripada klise yang berfikiran sempit. Contoh klise yang paling jelas sudah tentu dapat dilihat dalam arena politik yang terkadang bukan sahaja menyusahkan mereka sendiri, bahkan menyusahkan pihak lain. Aspek yang sama ini turut berlaku di mana-mana sahaja, sama ada di tempat kerja, institusi pengajian atau di rumah.

Tembok pengadang yang terbina dari pemikiran sempit ini sehingga boleh mewujudkan golongan penghasut yang menganggap diri mereka sebagai ‘pejuang mulia’. Pemikiran berteraskan ‘saya menentang saudara’ atau ‘kita menentang mereka’ ini digambarkan oleh Profesor Ronald Arnett sebagai ‘pandai memberikan ilusi persepsi yang tajam, walhal mereka enggan beroleh pandangan baru dengan mendengar pendapat orang lain’.

Talking Stick

Memberikan ruang untuk beroleh pandangan baru dengan memberi peluang orang lain memberikan pendapat adalah penting untuk mewujudkan kerjasama. Stephen R. Covey memperkenalkan kaedah komunikasi yang digelar ‘Talking Stick Communication’.

Idea ini diambil dari warga Asli Amerika yang menggunakan kaedah tersebut semasa perhimpunan ahli majlis bagi menentukan siapa yang layak bersuara. Selagi pihak itu masih memegang tongkat semasa berbicara, tiada siapa dibenarkan mencelah sehingga penyuara itu berpuas hati mesej yang disampaikan sudah didengari dan difahami. Konsep tongkat ini adalah untuk mendengar pihak lain dan memahami isi hatinya. Ini memerlukan keberanian dan kebijaksanaan bagi yang menyuarakan pendapat dan yang mendengar pendapat. Memahami orang lain adalah lebih sukar dari cuba mendominasi orang lain. Maka, komunikasi ‘talking stick’ adalah keperluan moral untuk memahami orang lain seterusnya membina kerjasama pada zaman kini.

Oleh yang demikian, anda boleh bertanya kepada diri sendiri, “sekiranya saya mahu keadaan yang lebih baik daripada sekarang, adakah saya perlu terus bermusuh dengan saudara, terus mempertahankan pendapat saya menggunakan pemikiran saya sahaja, mengelak dari membicarakan hal ini bersama-sama dan membiarkan masa sahaja yang menentukan, atau kita boleh memulakan langkah untuk bekerjasama dan membina suasana yang lebih harmoni dengan kita saling memberi ruang untuk menyuarakan pendapat secara bijaksana”?

Kita boleh memilih untuk terus berada dalam tembok masing-masing atau memulakan perundingan dengan kaedah ‘talking stick’ yang akan membentuk kerjasama.

Facebook Comments:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Read previous post:
Perkhidmatan diberhentikan.

Semenjak semalam kecoh dalam ‘whatsapp’ berkenaan perkhidmatan khemah oleh surau telah diberhentikan pekhidmatannya. Ironinya hanya pihak yang dibatalkan perkhidmatan saja

Close