Jangan biarkan terkapai-kapai


“Bingung. Memang bingung.”

“Mengapa Mad? ”

“Aku tidak tahu selesaikan isu hidup aku. Buntu.”

Ini boleh terjadi di peringkat individu. Namun lebih mencabar apabila ia berlaku di peringkat organisasi. Tidak dihargai, apa yang telah dirancang dan dilaksanakan. Tidak ada satu perkara yang lebih mengecewakan apabila sesuatu mesyuarat atau pasukan merancang dan melaksanakan beberapa langkah, kemudian keputusan itu diubah kerana ketidakyakinan kepada apa yang telah dirancang. Mana pergi tawakal kepada Allah selepas memaafkan, memohon istighfar dan bermesyuarat?

Cara Allah Menegur

Allah menegur manusia pada banyak tempat. Pada wahyu pertama, Allah menegur manusia ini melampau batas. Rasa diri bagus.

Ingatlah! Sesungguhnya jenis manusia tetap melampaui batas (yang sepatutnya atau yang sewajibnya), (6) Dengan sebab dia melihat dirinya sudah cukup apa yang dihajatinya. (96:6-7)

Bagi yang membaca, akan rasa sesak dengan teguran Allah ini. Ia amat kuat. Ia akan menyebabkan diri rasa pecah – ditegur oleh Yang Maha Pengasih. ar-Rahman ar-Raheem.

Namun ia tidak berhenti di situ sahaja. Allah teruskan.

(Ingatlah) sesungguhnya kepada Tuhanmulah tempat kembali (untuk menerima balasan). (96:8)

Apakah perasaan ketika membaca ayat ini? Allah berikan penyelesaian. Allah tidak biarkan begitu sahaja diri rasa bersalah dan dihenyak. Allah tidak zalim. Allah terus memberikan alternatif bagaimana untuk menguruskan kesilapan dan kekurangan.

4 Langkah orang Yang Mendapat Rahamat

Inilah yang ditunjukkan dalam peristiwa Uhud. Tentera Islam d i atas bukit turun ke bawah tanpa izin dari Nabi. Satu kesalahan besar dalam perang hingga menyebabkan kekalahan.

Namun Allah mengajar Nabi tentang 4 langkah menguruskan konflik atau perbezaan. Perbezaan ini adalah kesilapan besar!

Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu) dan pohonkanlah ampun bagi mereka dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya. (3:159)

Tawakal amat penting dalam menguruskan konflik. Ia akan menyebabkan yang silap tidak lagi menjauhkan diri. Allah memberitahu tentang orang yang silap: mereka lari dari kelilingmu. Tidak akan lagi mampu untuk beramah mesra kerana tidak mengikuti langkah ini ketika menyelesaikan sesuatu konflik atau perbezaan.

Kesilapan adalah fitrah manusia

Sebagai seorang hamba, kesilapan itu pasti. Jangan harapkan ‘perfect’ – pesan salah seorang guru saya – yang bukan beragama Islam. Silap itu untuk dibaiki dengan segera oleh orang yang penyayang. Apabila rahmat kurang diperoleh, kita tidak mampu untuk melaksanakan 4 perkara ini

  1. Maafkan
  2. Pohonkan keampunan untuknya
  3. Mesyuarat
  4. Tawakal

Apabila tawakal tidak berlaku, ia akan menyebabkan kita mengubah hala tuju dan mengambil keputusan lain. Asas mesyuarat ialah untuk patuh kepada hasilnya kecuali kalau mesyuarat lain diadakan dengan orang yang sama. Namun kalau mesyauarat lain dengan orang lain dilaksanakan, ia akan menyebabkan banyak kecelaruan yang berlaku.

Mesyuarat pelbagai peringkat

Mesyuarat boleh berlaku di mana sahaja dan di pelbagai peringkat. Namun semua tahap mesyuarat perlu dihormati hasil keputusannya. Ia bukan sekadar aktiviti sosial atau memenuhkan atau menyibukkan masa samada dibayar gaji atau tidak. Di sebalik mesyuarat itu ada komitmen yang dimeterai.

Asas untuk hasil satu mesyuarat tidak dibatalkan oleh mesyuarat yang lain? Maklumkan kepada pihak berkenaan. Jangan cakap belakang. Cakap belakang ini yang akan merosakkan ruh mesyuarat – dan akhirnya tawakal itu tidak berlaku.

Cara untuk Membiarkan Manusia Terkapai-Kapai?

Jangan tolong beritahu solusi.

  1. Kalau orang lain silap, jangan maafkan. Ia akan menyebabkan si pesalah terkapai-kapai.
  2. Kalau orang lain silap, jangan minta ampun untuknya. Ia akan rasa terkapai-kapai.
  3. Kalau orang lain silap, tidak perlu libatkannya dalam mesyauarat atau bermesyuarat tetapi ia akan di’overrule’ oleh mesyauarat yang lain.
  4. Kalau orang lain silap, kita tidak percaya pada Allah (tawakal) untuk menguruskan orang tersebut dalam meneruskan projek dan kerjasama.

Nauzubillah. Namun ini adalah senarai semak dalam menguruskan kehidupan agar tetap teguh berteraskan nur dari Ilahi.

 

Facebook Comments:

Leave a Reply

Read previous post:
Melonjakkan semangat untuk berjaya – Surah adh-Dhuha

Melonjakkan semangat untuk berjaya – Surah adh-Dhuha   Pada waktu itu, beberapa lama wahyu tidak turun. “Wahai Muhammad, mengapa aku...

Close