Melonjakkan semangat untuk berjaya – Surah adh-Dhuha

Melonjakkan semangat untuk berjaya – Surah adh-Dhuha

 

Pada waktu itu, beberapa lama wahyu tidak turun.

“Wahai Muhammad, mengapa aku melihat syaitanmu (maksudnya Jibril) telah meninggalkanmu.”

Ia diucapkan oleh orang bukan Islam di Mekah kepada junjungan besar Nabi Muhammad.

Perkataan itu amat menyedihkan. Amat meruntun jiwa. Cuba bayangkan jika si suami tidak bercakap dengan si isteri  beberapa lama. Si ayah tidak bercakap dengan si anak beberapa lama.

Allah tidak menghantar wahyu beberapa lama – ketika Nabi memerlukan sokongan dan tunjuk ajar dari semasa ke semasa pada peringkat awal dakwah.

Nabi tertekan. Ketika keadaan begitu, turunlah ayat Surah adh-Dhuha.

Allah bersumpah sebelum membawa mesej penting

Dalam al-Quran, apabila Allah bersumpah, ia menandakan objek sumpah itu penting dan ada mesej besar yang akan disampaikan selepas itu.

Demi waktu Duha. (1) Dan malam apabila ia sunyi-sepi (2)

Cahaya pada waktu pagi atau Dhuha adalah cahaya yang amat mantap dan memberi sinar kepada seluruh alam. Apabila hidayah berbentuk cahay mantap ini hadir, ia akan menerangi manusia. Sinar pagi adalah lambang kebahagiaan dan satu detik baru untuk dinikmati oleh sesiapa sahaja.

Namun jika tiada cahaya, ia seperti malam yang bening. Rasa kosong. Ada sesuatu yang tidak kena. Suram dan gelap. Dua objek sumpah ini mencetuskan satu perasaan yang hebat.

Apakah mesej penting yang Allah sampaikan selepas ini?

(Bahawa) Tuhanmu (wahai Muhammad) tidak meninggalkanmu dan Dia tidak benci (kepadamu, sebagaimana yang dituduh oleh kaum musyrik). (3)

 

Allah tidak meninggalkan dan membencimu – mesej pada pembaca ayat ini. Ia bukan sekadar untuk Nabi, tetapi untuk sesiapa yang membaca – termasuk anda. Ia adalah mesej untuk kita sebagai manusia. Apabila ada rasa down, rasa tidak diendahkan oleh manusia atau rasa apa sahaja yang dibuat tidak kena atau tidak bersemangat, Allah tetap ada. Allah tidak pernah benci kepada hamba-Nya. Itu mesej besar selepas sumpah Allah pada ayat 1-2.

Waktu pagi tetap menjelma selepas malam. Malam pasti menjelma selepas siang. Tiada malam yang terus menerus, tiada siang yang terus menerus. Rasa down tidak akan terus menerus, begitu juga rasa bersemangat. Bersemngata atau tidak, hidayah atau tiada itu semuanya bergantung kepada Allah.

Bagaimana menguruskan perkara ini? Selalu ingat Allah tidak pernah tinggalkan atau benci kepada kita. Allah Maha Penyayang.

Benarkah semua orang tidak suka?

Orang lain suka atau tidak tidak begitu penting berbanding ridha dari Allah. Seseorang akan mudah stres jika banyak perkara yang perlu dilaksanakan seharian. Bila ada halangan, akan mudah rasa letih dan tidak bermaya. Apatah lagi apabila orang lain tidak faham atau menyokong kita.

Ubat untuk perkara ini ialah dengan sentiasa menyedari yang akhir itu lebih baik dari yang awal. Begind with the end in mind.

Dan sesungguhnya kesudahan keaadaanmu adalah lebih baik bagimu daripada permulaannya. (4)

Sesuatu yang masih jauh diingatkan oleh Allah sebagai lebih baik dari apa yang ada dekat. Perkataan akhir diulang dalam al-Quran sebanyak 115 kali dan ia tidak semestinya merujuk kepada hari selepas dunia ini. Ia juga merujuk kepada apa yang ada dalam dunia ini.

“Aku nak tunggu dia ni. Tak sabar.”

“Sabar sikit. Yang akhir pasti lebih baik dari apa yang ada sekarang.”

Kata sahabat yang lain,

“Mereka tidak mahu dengar cakap.”

“Sabar kejap sikit. Insha-Allah nanti diorang akan berubah. Yang akhir pasti lebih baik dari apa yang mereka balas sekarang.”

Imam Fakhrudin ar-Razi menyatakan “ Akhirat lebih baik dari kehidupan duniawi kerana di dunia ini Nabi melakukan apa yang beliau inginkan, sedang di akhirat Allah melakukan untuk beliau apa yang Allah kehendaki.”

Ubat kedua  untuk menghadapi kehidupan yang penuh dengan cabaran ialah yakin bahawa Allah akan memberi sesuatu yang memuaskan selepas masa ini.

Dan sesungguhnya Tuhanmu akan memberikanmu (kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat) sehingga engkau reda (berpuas hati). (5)

 

Ini ialah janji Allah kepada pembaca surah ini.  Allah akan memberikan apa sahaja yang akan menyebabkan diri kita puas di dunia dan akhirat tanpa batas.  Di atas dunia ini, Allah pasti akan memberi dan memberi kejayaan kepada kita – namun setiap kejayaan itu ada pelaburan dan usaha yang perlu diberikan.

Hanya akhirat sahaja tempat untuk mendapat kepuasan tanpa batas dengan tiada ujian dan kepayahan. Jika seseorang itu inginkan kejayaan di dunia ini untuk mengejar kejayaan tanpa ujian di akhirat, pasti banyak cabaran yang perlu ditanggung dan dihadapi.

Namun ia amat berbaloi? Kerana segala kejayaan itu boleh diperoleh di dunia tetapi lebih dari itu apabila sampai di syurga Allah nanti.

2 ubat ini menjadikan kita merancang kejayaan atau legasi yang ingin dibina serta memberi manfaat kepada dunia.

Bukti 2 janji Allah

Allah berjanji akhir akan lebih baik dan pasti akan bertemu dengan apa yang kita puas atau suka nanti. Janji ini dilengkapkan dengan bukti yang Allah telah berikan kepada Nabi Muhammad:

  1. Yatim diberi tempat tinggal sempurna
  2. Sesat diberi hidayah
  3. Miskin diberi kekayaan

Perkara ini diabadikan pada ayat berikut:

Bukankah Dia mendapati engkau yatim piatu, lalu Dia memberikan perlindungan? (6) Dan didapatiNya engkau mencari-cari (jalan yang benar), lalu Dia memberikan hidayat petunjuk (dengan wahyu Al-Quran)? (7) Dan didapatiNya engkau miskin, lalu Dia memberikan kekayaan? (8)

Ibu, ayah, sekolah dan bacaan akan mempengaruhi seseorang. Seorang anak yatim ada masalah salah satu dari 4 perkara ini yang akan memberi kesan negatif kepada intelek atau emosinya. Namun apa yang berlaku kepada Nabi Muhammad tidak begitu. Ini disebabkan perlindungan Allah kepada Nabi dan ia juga boleh berlaku kepada semua anak yatim yang lain.

Nabi bingung dengan amalan jahiliah di Mekah dan amalan kaum Nasrani serta Yahudi yang sudah tidak asli. Kebingungan ini dibalas dengan hidayah dari Allah sehingga Nabi mampu membezakan jahiliah dari hidayah serta mengambil tindakan bersendiri di Gua Hira’ Tanpa hidayah dari Allah, kebingungan itu akan terus melanda. Ia juga berlaku kepada kita semua.

Nabi juga miskin, tetapi dicukupkan dengan Abu Talib, Khadijah, Abu Bakar dan penduduk Madinah. Allah menghantarkan kecukupan dan kekayaan kepada Nabi. Kekayaan itu bukan sekadar fizikal malah kekayaan emosi dan spiritual.

“Bukannya ghina (kekayaan) itu diukur dengan banyaknya harta benda tetapi kekayaan yang sebenarnya adalah kekayaan hati dan jiwa.” (HR Bukhairi & Muslim melalui Abu Hurairah)

Perkataan ghina dalam al-Quran berulang 69 kali yang tidak semestinya bercakap tentang kekayaan fizikal.

Nabi bersifat qanaah atau cukup apa yang ada. Syarat qanaah dinyatakan oleh Quraisy Shihab :

1)     Ingin sesuatu dan telah  mampu memilikinya secara sempurna

2)     Memalingkan keinginan dan kepemilikan secara sedar

3)     Menyerahkan apa yang dimiliki kepada pihak lain dengan kerelaan.

Jika sudah dapat anugerah, ada tanggungjawab untuk terus berjaya

Allah mengingatkan kita bahawa ada kerja yang perlu dibuat untuk terus mendapat bantuan dari Allah. Tanggungjawab itu ialah:

1)     Anak yatim jangan dimanipulasikan – perlu diberi kata-kata yang baik  dan diuruskan hartanya dengan bagus

 

2)     Yang meminta jangan dimarah – samada minta fizikal atau bukan fizikal. Tidak boleh diherdik atau diuruskan secara kasar.

Bagaimana menjawab mereka yang meminta? Cara menjawab yang ditunjukkan dalam al-Quran dan as-Sunnah:

a)    Jawap yang sesuai – contohnya tentang haid

b)    Jawab lebih   – contohnya apa yang wajar dinafkahkan

c)    Jawab kurang atau tidak dijawab – contohnya tentang bulan sabit

d)    Saya tidak tahu – contohnya tentang waktu kehadiran hari Qiamat

e)    Jika jawapan untuk mencari kesalahan penjawab, perlu dijawab dengan samar – contoh si Yahudi bertanya berkaitan ruuh

Bagaimana untuk  memberi sumbangan  material seperti digariskan oleh junjungan Nabi:

1)     Jangan ditolak walaupun melihat dia yang meminta memakai gelang emas

2)     Jangan rasa kecil pemberian – bersedekahlah walau dengan sebahagian kurma.

3)     Jangan diikuti kata-kata kesat atau mengungkit (2:264)

4)     Meletakkan perspektif: Tangan di atas lebuh mulia dari tangan di bawah

5)     “Sesiapa yang meminta untuk membanyakkan apa yang dimilikinya, maka ia hanya untuk mengumpulkan bara api neraka” (HR Muslim melalui Ibn Umar.

 

 

3)     Nikmat perlu dizahirkan dan disampaikan

Apa sahaja nikmat yang ada, ia perlu dizahirkan dan diperkatakan dengan mengembalikan keseluruhannya kepada Allah.

Dengan 3 panduan ini, kejayaan akan diperoleh dari semasa ke semasa dari Yang Esa.

Facebook Comments:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Read previous post:
Surah al-Alaq: Penyelesaian masalah yang silih berganti

Zaman itu penuh dengan kerosakan. Nabi berada dalam satu umat yang dipandang ringan oleh Parsi dan Rom. Umat yang tidak

Close