Bertarung di dunia spiritual – banyakkan doa

Dalam satu episod sinetron di kaca TV ketika balik kampung, saya terperasan satu adegan di mana si ibu sedang berdoa dengan linangan air mata. Apa yang dimunajatkan oleh si ibu itu didengari si anak. Lantas selepas habis doa, si anak terus ‘bertarung’ dengan si ibu menyatakan hujah akal atau inteleknya tidak setuju dengan si ibu. Antara dua pertarungan – dunia intelek dan dunia spiritual, siapa yang akan menang?


Ketika anak saya Adam atau Hajar inginkan sesuatu, saya akan minta mereka berdoa. Ketika berborak-borak pada satu hari, Adam menyatakan ingin dibuatkan susu sambil merengek. Saya sudah hampir waktu solat.

“Boleh Adam berdoa?”
“Boleh,” diangguk kepalanya. “Ya Allah, Adam nak susu. Perkenankan. Ameen”

“Ok,” saya balas. Namun ia belum selesai. Adam yang berumur lebih 3 tahun itu masih merengek sambil berkata, “Nak cepat …”

Saya membalas, “Adam cakap dengan ALlah ya? ” saya lantas menyambung diajar doa baru kepada Adam. Adam mengikut.

“Ya Allah, berikan Adam kesabaran. Ameen” Adam diam. Adam terus bangun lari bermain. Dan saya terus menunaikan solat. Subhanallah dengan kepentingan doa.

Berfikir intelek memahami dunia spiritual

Jika kita mengetahui seseorang berdoa agar dibuat sesuatu pada kita, adakah kita perlu bertemu dengan individu tersebut untuk mematahkan segala hujah atau rasional kurang betul pada beliau ? Ia boleh dilakukan. Namun dunia intelek tidak sama dengan dunia spiritual. Biarpun dunia intelek juga milik Maha Pencipta, namun Allah membiarkannya diuliti manusia dengan pelbagai rencah. Dunia spiritual masih ditabalkan paling tinggi – di mana Allah mengetahui mana yang lebih baik bagi hamba-Nya.

Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanKu (dengan mematuhi perintahKu) dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul. (2:186)

Tidak guna berdebat dengan isi doa?

Apabila kita mengetahui doa seseorang ” ya Allah, berilah aku kekuatan” , ia boleh didebatkan, “eh kau doakan untuk diri kau seorang sahaja? Atau kau nak kau seorang sahaja yang kuat?”

Apabila ada orang berdoa “ya Allah, murahkan rezeki aku”, ia boleh didebatkan “eh kau ingat kau sahaja nak rezeki murah? Aku pun nak sama. Kau memang tak memikirkan kawan langsung.”

Itulah kesan kalau intelek ingin bertarung dengan dunia spiritual. Doa ialah elemen spiritual yang hebat. Intelek mempunyai ruang positif dan negatifnya yang tersendiri. Bagi hati yang baik, setiap doa sendiri atau orang lain akan dipandang positif. Intelek dari hati yang saleem akan memancarkan interpretasi positif. Namun jika hati kita kotor, apa sahaja doa orang lain akan dipandang dengan serong. Padahal Allah mengetahui yang baik dan lebih baik bagi kita. Allah segan menjawab doa hamba-Nya dengan yang kurang baik kerana Allah Maha Kaya.

Melestarikan pertarungan di dunia spiritual

Kalau pertarungan itu antara spiritual positif (beriman kepada Allah) dan spiritual negatif, (beriman kepada Taghut), itu adalah sesuatu yang perlu dielakkan oleh sesama manusia. Namun kalau pertarungan adalah antara orang yang beriman dengan orang yang beriman dengan amalan kebaikan, maka inilah yang dikaitkan dengan pertandingan dan perlumbaan. Allah memang menyeru kita untuk berlumba di dunia spiritual. Jangan seorang di dunia spiritual, seorang lagi di dunia intelektual.

…oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan; kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan); sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. (2:148)

Apabila seseorang berdoa kepada Allah, jangan dibalas dengan elemen intelek atau emosi dalam kehidupan. Balaslah dengan doa juga. Allah akan membalas dengan yang baik atau lebih baik pada kedua-dua doa tersebut. Menarik bukan? Katakan doa itu seperti ‘clash’ Allah akan berikan jalan keluar. Namun kalau kita balas dengan bidasan intelek, ia akan menambahkan stres dalam diri kita.

Tip berlumba dengan doa

  1. Jika anda mendengar seseorang berdoa sesuatu, elakkan berdebat isi kandungannya. Balaslah dengan doa anda sendiri kepada Allah.
  2. Jika anda tidak mendengar tetapi mengjangkakan seseorang berdoa sesuatu, anda juga perlu balas dengan doa. Tidak perlu tanya “apa yang kamu doakan tadi?” Allah milik semua.
  3. Jika anda bertemu dengan orang yang anda rasakan perlu berubah atau berganjak dari idea intelek atau rasionalnya yang korup, anda juga perlu berdoa. Agar rasionalnya itu dibetulkan oleh Allah – jika itu yang baik atau lebih baik bagi anda dan diri individu itu. Selepas berdoa, teruskan usaha di peringkat manusiawi. Jangan diabaikan usaha, kerana ia bermakna mengabaikan sunnatullah dalam melaksanakan perubahan. Doa dan usaha ialah pakej yang perlu ada pada setiap individu beriman.
  4. Anda tidak yakin kesan doa? Doa pada Allah agar anda diberi mata hati yang bersinar meyakini betapa doa amat ‘powerful’.

Moga Allah beri kita kekuatan untuk menghargai dunia spiritual melalui doa.

Facebook Comments:

4 thoughts on “Bertarung di dunia spiritual – banyakkan doa

  • February 3, 2011 at 6:46 am
    Permalink

    Doa lah senjata Muslim yang paling kuat sekali. Sayangnya kita sering buat buat lupa dan tak yakin dengan janji Allah. Seringkali sebenarnya, kita tahu. Cuma kita tak punya kesabaran. Puncanya, sering kita dengar, Allah akan menerima doa Muslim, cuma tidak pasti cepat atau lambat. Kalau bukan sekarang, pasti masa depan. Kalau yang dipinta itu bukan yang terbaik untuk kita, mungkin Allah akan berikan yang lebih baik dari itu. Maka dalam hati kita berkata.. “Ah, taknak lah begitu. Aku nak apa yang aku minta, bukannya benda lain,” berperangai seperti kebudak-budakan yang belum matang dalam berfikir.

    Hasilnya, kita lihat sendiri dunia Muslim hari ini. Perebutan kuasa dengan cara keganasan di Mesir, Yaman, Tunisia. Berebut kuasa dengan pelbagai taktik yang kurang enak dipandang, merendah-rendahkan pihak lawan, membuka keaiban sesama muslim di pihak lawan, dan sebagainya. Di mana lagi kalau bukan di negara kita sendiri…

    Semuanya kerana kita Muslim sudah kurang keyakinan dengan do’a sebagai senjata yang paling ampuh.

    Reply
    • February 5, 2011 at 10:13 pm
      Permalink

      Kalau betul-betul seperti budak, si anak akan menangis dan merengek untuk mendapatkan dari si ibu atau ayah kerana dia amat yakin hanya si ibu atau ayah sahaja yang diharapnya. Berbanding orang dewasa yang tidak berapa budak, minta pada Allah tetapi dalam masa yang sama minta pada orang lain – tanpa rasa yakin Allah akan beri. Moga Allah beri kita keyakinan untuk berdoa kepadaNya selalu dan akan merengek sehingga dapat yang baik atau lebih baik.

      Reply
    • February 4, 2011 at 9:38 pm
      Permalink

      Abu Adam. Boleh rujuk kepada Tab Pengenalan di atas

      Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Read previous post:
Adakah anda Superman ?

Ramai anak-anak yang minat menonton aksi Superman. Namun jika ditanya baik-baik pada diri masing-masing, mahukah anda menjadi Superman dalam kehidupan

Close