Mencari masa untuk menerima input

“Tak tahu nak buat apa. Pening aku ..”

“Penat dah berkerja. Sudah lah tu …..”

Ramai yang tidak keruan pada waktu petang. Hidup dirasakan kekadang kurang bermakna. Demi mencari secangkir makna, ada yang melawat restoran makan lantas dihumbankan apa sahaja makanan ke dalam kantung perut. Ada yang mencari kawan untuk berborak. Ada pelbagai cara untuk mengisi masa kekosongan. Kekadang ada yang halal, tidak kurang juga yang mencari jalan tidak halal untuk mengisi kekosongan dan kegersangan.

Masa memberi input kepada tubuh amat penting. Tubuh manusia bukan sekadar berisi fizikal, namun ada elemen intelek, emosi dan spiritual. Kalau diisi dengan nasi tidak memberi ‘kepuasan’ pada sesuatu masa, mungkin yang diperlukan ialah makanan intelek, emosi atau rohani. Pada banyak masa, manusia mengisi dengan isi fizikal, intelek atau emosi. Dicapainya novel lantas dibaca atau diselaknya buku untuk mengisi diri kegersangan. Dimasukkan CD atau DVD untuk menonton filem. Atau didail nombor rakan untuk berborak pelbagai tajuk.

Masih tidak puas.

Pencarian itu perlu kembali kepada makanan ruh manusia yang ingin bermanja dengan Penciptanya. Pencipta mampu memberi makna dalam kehidupan. Pencipta mampu menjelaskan tujuan kehidupan pada seseorang yang sering alpa pada kesibukan hidup.

Zikir. Quran. Solat. Istighfar. Semua ini mampu mengisi kekosongan. Zikir boleh melonjakkan motivasi diri. Quran boleh memberi inspirasi kepada diri di samping membekalkan nutrisi intelek untuk terus mekar dengan pelbagai ‘eureka’ dalam kehidupan. Istighfar akan memberi lonjakan emosi untuk pergi jauh ke hadapan seperti seorang atlet lompat tinggi – mengambil tempo ke belakang sebelum dihenjutkan badan ke atas melangkaui tiang lompatan.

Ia perlukan masa. Masa untuk memberi input. Kalau tubuh fizikal perlu bersarapan atau makan tengahari, elemen spiritual ini perlu makanan yang lebih kerap. Kalau ia amat jarang diberi perhatian, ia akan sakit. Malah lebih teruk membarah. Kekadang barah itu tidak dirasai pesakit kecuali disiasat oleh doktor atau ia menunjukkan detik-detik terakhir hayat seorang insan. Moga kita tidak menjadi sekronik itu — dengan bekalan ubat yang diturunkan oleh Ilahi lewat al-Quran al-Kareem.

Facebook Comments:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Read previous post:
Timeline & roadmap …

Dalam melaksanakan sesuatu projek, timeline atau roadmap untuk kejayaan perlu dibina. Kalau ia tidak dibina dengan baik dan kemas di peringkat

Close