Umum

Nak jadi syurgawan? Ia ambil masa

Saya pernah ditanya oleh beberapa orang peniaga kecil ketika saya membuat latihan (training) di Malaysia: bagaimana saya boleh maju dalam bisnes kerana saya ingin menambah pendapatan dan membantu orang lain. Saya belek-belek pengalaman dan bahan bacaan. Saya mengenal pasti ada pola tersendiri dalam menuju kejayaan – bergantung jenis perniagaan apa yang kita laksanakan.

Saya suka memberi 4 jenis produk dalam perniagaan:

  • Produk fizikal
  • Produk intelek
  • Produk emosi
  • Produk spiritual

Apa beza semua perkara di atas?

Produk Fizikal

Produk fizikal ialah seperti jual beli item atau barang. Kalau anda berjual kain baju, anda adalah penjual produk fizikal.  Kalau anda jual kuih di pasar malam, anda adalah penjual atau peniaga produk fizikal. Ramai orang buat perkara ini. Cara berniaga: buat atau ambil produk, jual. Anda dapat untung.

Produk Intelek

Produk intelek ialah seperti jualan CD pembelajaran, kelas tuisyen atau kelas mengaji. Anda pergi kepada pembeli, dan anda berikan isi pengetahuan kepada individu tersebut. Jika anda tidak ada produk intelek tersebut, anda perlu mendalami dan memahirkan. Dalam produk fizikal, anda tidak semestinya perlu tahu menggunakan sesuatu produk. Namun bagi produk intelek, ia memerlukan pengetahuan dan kefahaman. Cara berniaga: anda ambil masa mendalami atau menyiapkan diri dengan intelek, barulah ia dijual. Anda dapat untung – dan biasanya lebih besar dari sekadar menjual produk fizikal.

Produk emosi

Kalau anda pernah ke DisneyWorld atau pusat peranginan, atau latihan motivasi yang intensif, anda akan merasai keseronokan atau kegembiraan pada emosi. Produk begini mampu mengubah emosi dan tabiat anda – walaupun mungkin sekejap. Produk begini memerlukan persediaan kemudahan fizikal dan memerlukan ilmu pengetahuan – barulah ia menjadi. Cara berniaga: anda perlu lebih banyak masa untuk menyiapkannya, tetapi jika anda sudah siap, ia akan mendatangkan keuntungan berlipat kali ganda.

Produk spiritual

Spiritual bukan melibatkan hubungan jualan dengan sesama manusia. Ia melibatkan antara makhluk dan Pencipta. Allah menerangkan offer dalam al-Quran:

61:10. Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya?

Dalam ayat di atas, Allah menawarkan perniagaan yang boleh mendapat keuntungan tidak terhingga untuk semua umat manusia. Cara berniaga: bina diri untuk menyiapkan diri bagi berjihad pada diri atau harta benda. Maksudnya segala wang ringgit, diri dan harta yang ada semasa mengusahakan produk fizikal, intelek dan emosi perlu diberikan kepada Allah – sebagaimana dalam ayat di atas. Berapa lama masa untuk develop perkara ini? Sepanjang hayat !

Maksud sepanjang hayat

Sepanjang hayat ini bukan bermaksud selepas 50 tahun atau 40 tahun, barulah kita alurkan harta dan jiwa kita ke jalan Allah. Bukan. Sepanjang hayat yang dimaksudkan ialah kalau anda ada hayat hari ini, alurkan kepada perjuangan harta dan diri untuk Allah. Tidak perlu tunggu lagi.

Mengapa? Kerana kita tidak tahu sepanjang mana hayat kita. Kalau Allah hanya beri 2 hari sahaja lagi hayat anda, dan kalau anda tidak berjuang sekarang, ia menyebabkan ‘sepanjang hayat’ anda tidak digunakan untuk ‘berniaga’ dengan Allah. Jadi anda tidak berniaga spiritual yang menyebabkan anda akan kerugian di akhirat nanti.

Semua ambil masa

nullDari penerangan di atas, masa untuk mendapat keuntungan produk spiritual memerlukan nafas panjang. Namun keuntungannya berbaloi. Ia berjalan selari dengan usaha anda seharian berniaga produk fizikal, intelek atau emosi. Katakan anda tidak berniaga produk fizikal, intelek dan emosi, jangan dilupa ‘berniaga produk spiritual’ adalah amat penting dan perlu dilaksanakan oleh semua orang yang ingin kaya syurgawan di akhirat nanti. Kalau tidak dilaksanakan, khuatir akan jatuh papa nerakawan, nauzubillah.

Yang penting kena ingat selalu, ia ambil masa dan berbeza-beza. Jangan kerana nak untung cepat seperti produk fizikal, kita tidak sabar untuk membina produk intelek, emosi dan spiritual untuk berjaya – di dunia dan akhirat. Jom jadi orang kaya syurgawan, dan bukan hanya jutawan. Siapa berminat?

One thought on “Nak jadi syurgawan? Ia ambil masa

  • Benar apa yg incik kata tu. 🙂

    Seperti kata hukama, sedikit itu lebih baik dengan istiqamah. Keempat-empat perkara yang disebut diatas perlu dilatih bertatih satu persatu.

    Jangan biarkan terus segera memecut berlari.. nantikan cepat semput. 😛

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Read previous post:
Dia Telah Pergi…Saya Pasti

Saya baru menerima berita tersebut. Rasa agak terlewat, tetapi Alhamdulillah saya dapat tahu. Saya tidak kenal beliau. Saya tidak pernah

Close