Hatta Nabi bekerja…
“Kalau saya buat tugas bersama NGO, ok ke ?”
“Kita perlu membina kekuatan ekonomi untuk berdakwah.”
Usaha dakwah satu tugas mulia. Dalam masa yang sama, ia tidak dibentang karpet merah. Tiada siapa yang boleh meminta dari manusia umum ‘bayarkan gaji saya nescaya saya akan berdakwah dengan bebas.’ Semua orang perlu berusaha mencari nafkah, dan rezeki itu perlu didatangi dengan usaha. Bila saya fikir-fikirkan, hatta Nabi bekerja dengan bersungguh-sungguh bagi membekali dirinya pada usia dakwah selepas 40 tahun.
Saya sempat berborak dengan seorang ustaz,”Memang ustaz-ustaz biasanya mengharapkan bayaran kuliah sebagai nafkah kehidupan ?”
“Tidak semunya, tetapi memang ada yang mengharapkan bayaran kuliah maghrib untuk menyara keluarga.”
Saya baru faham.
Saya kagum melihat ustaz-ustaz serta individu yang berusaha keras membaiki taraf kehidupan mencari nafkah dengan kelebihan masing-masing. Saya sering tertanya-tanya ‘tiadakah penyumbang atau dermawan yang akan memberi derma untuk si pendakwah ini menjalankan tugas dengan gaji tetap sepanjang masa?” Saya merasakan ada tetapi didapati ‘ kalau ada pun yang menderma, sanggupkan seorang insan hidup dengan ihsan dari orang lain ?” Kerja tetap kerja. Usaha tetap perlu digiatkan hatta apabila berkerja dengan NGO. Tanpa nafas kerja yang bersungguh-sungguh untuk mendapatkan nafkah, tidak cukup tetap akan menjadi vocabulary seorang insan.
Tidak mungkin cukup hanya dengan berdakwah mengharap ihsan orang.
Harapan saya ada dermawan yang akan sponsor itu memang wujud. Namun bukan sepanjang kehidupan si pendakwah. Si pendakwah perlu tetap tegas dan utuh berusaha untuk mencari rezeki. Jika kehidupannya ditanggung orang, sudah tentu kesungguhannya memahami hidup akan terhad.
Mesej untuk penyeru kebaikan
Atas dasar itu, perancangan perlu dibuat untuk pendakwah dan pendidik manusia untuk mencari sumber cukup bagi menampung kerja mereka lebih bebas. Mengharapkan sumbangan manusia bukanlah untuk insan yang boleh mencari nafkah tetapi disalurkan kepada yang cacat, tidak mampu bekerja dan tidak mampu mencari nafkah.
Tanpa kerja atau bisnes yang dibuat dengan konsisten mencari nafkah, si pendakwah akan terperuk dalam kepompong tidak menjadi rama-rama. Rama-rama perlu mencari makanan sendiri walaupun sudah pasti ramai yang ingin duduk dalam kepompong sekadar makan daun di tepian sahaja demi meneruskan kehidupan. Allah tidak jadikan manusia sedemikian.
Dalam gerakan Islam ada konsep al-Murabitun iaitu kumpulan/individu mukmin yang bertugas sepenuh masa untuk tujuan-tujuan tertentu. Apabila sesuatu tugas itu dilaksanakan secara sepenuh masa maka sudah tentu ianya merangkumi sumbangan masa, tenaga dan pemikiran.