Sabar Profesional, Sabar Istiqamah

Dalam kisah Alangkah Lucunya Negeri Ini, Cikgu Shamsul tetap teguh mendidik anak-anak pencompet. Beliau sabar. Mampukah seorang cikgu atau pendidik lain sesabar Cikgu Shamsul?

Kekadang di depan orang biasa dan keadaan biasa, kita boleh bersabar. Namun apabila ia masuk kepada alam ‘kurang profesional’ seperti di rumah atau ketika bersendirian, sabar itu cepat hilang.

“Ketika saya menganjurkan majlis di sekolah, memang saya boleh bersabar menanti dan membaiki keadaan. Namun kalau saya dengan anak murid di kelas, memang cepat hilang sabarnya.”

Masa lama bersama situasi tidak profesional

Apa yang berlaku, apabila dalam situasi profesional atau rasmi, kita tidak menghadapinya dalam masa yang panjang. Kita hadapinya beberapa jam sahaja.

Namun apabila kita menghadapinya dalam jangka masa yang panjang seperti menjadi guru kepada pelajar selama 6 tahun atau bersama pasangan atau anak di rumah, kita tahu naik turun keadaannya. Apabila kita diuji pendek, memang ramai yang boleh bersabar. Namun kalau diuji oleh sesuatu yang berjangka masa panjang, sabar mudah hilang kalau ia hanya setipis kulit bawang.

Sabar itu cahaya matahari

Dalam hadith Nabi mengaitkan sabar itu sebagai cahaya matahari. Ia panas. Namun ia menjadi asas kehidupan sepertimana matahari amat diperlukan oleh tumbuhan dan makhluk di bumi. Apa akan jadi kalau cahaya matahari tidak panjang menerpa ? Sudah tentu ia tidak akan mampu menjadi sumber kehidupan di bumi.

Begitulah sabar. Sabar amat diperlukan untuk satu jangka masa panjang. Sabar bukan pasif. Ia adalah tindakan proaktif kerana simpanan tenaga untuk dialurkan kepada sesuatu yang bermanfaat ini amat penting. Jika tenaga dilepaskan begitu sahaja tanpa keruan, sudah tentu kehidupan akan menjadi longlai bagi menggapai hasrat akhir. Ia longlai kerana tenaga banyak digunakan untuk marah atau melaksanakan sesuatu yang kekadang kurang manfaat. Biarpun Rasul marah, Rasul menjaga kata-kata agar tidak dusta. Ramai yang marah mudah mengeluarkan kata dusta.

“Kamu ini asyik bising sahaja.”

“Awak nie asyik balik lambat sahaja.”
Asyik ? Kalau setiap hari dan saat anak murid bising, ia benar. Kalau ia tidak dilaksanakan setiap masa, perkataan itu boleh membawa dusta. Ia boleh mencederakan hati nurani anak murid yang setia menadah minda untuk belajar berjasa.

Bekalan untuk sabar terus-menerus

Intelek dan emosi manusia mempunyai kemampuan untuk bersabar untuk sesuatu yang boleh kita fikirkan atau rasai. Sudah tentu untuk mendapatkan sabar yang tebal, ia memerlukan bantuan dari sumber spiritual. Hanya bergantung pada diri sendiri mampu menjadikan kita profesional di depan khalayak. Namun apabila bersendirian atau kita rasakan kita paling berkuasa, hanya ada satu lagi pemerhati Yang Maha Berkuasa.

Sabar ini asas istiqamah. Kalau sudah merancang untuk berjaya, sabar profesional amat membantu. Sabar istiqamah akan menentukan samada kita mampu untuk sampai ke destinasi atau terkujur di tepian jalan menuju kejayaan. Sabar adalah satu elemen penting dalam pakej istiqamah.

Facebook Comments:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Read previous post:
Obor Hemah oleh A Samad Said

OBOR HEMAH Guru adalah awan indah terbang rendah, melimpahkan hujan pada musim gersang, menyegarkan benih ilmu, berbuah hikmah; ia renjis

Close