Potensi statik, potensi dinamik


“Saya ingin kenal potensi saya. Itu harapan saya dalam program hari ini,” kata Ahmad.

“Saya ingin melonjakkan potensi diri saya,” kata Ali.

“Baiklah, saya akan tunjukkan,” kata sang trainer dengan yakin.

“Mengikut analisis saya selepas awak mengisi borang tersebut, awak perlu pakai kereta warna kuning, dan pendapatan awak ialah RM 30,00 0 sebulan. Awak ada potensi sehingga pendapatan begitu jumlahnya. Awak suka kerja sendirian dan masih produktif, serta mempunyai emak dan ayah yang baik serta penyayang. Jika awak bernikah, awak akan berjumpa dengan orang yang suka bercakap.”

Ahmad angguk. Pada masa lain, Ali membaca penerangan tersebut. Ali juga senyum penuh azam selepas balik program. Kali ini dia sudah sedar potensinya.

“Aku tidak pernah pergi program sehingga sedar potensi aku sebegini. Aku ke kuliah memang tak tahu langsung potensi diri. Aku recommend kau pergi program ini. Si trainer tu memang bijak. Dia boleh baca potensi kau nanti, ” kata Ahmad.

Maka Ahmad hidup penuh semangat selepas itu dengan potensi ‘yang dibekalkan’ oleh trainer tadi.

Ia nampak menarik. Namun adakah ia sebenar-benarnya potensi Ahmad? Bagaimana Ahmad boleh mempunyai potensi yang sama padahal Ahmad lahir bulan Januari manakala Ali lahir bulan Disember. Ahmad dieja dengan huruf A,H,M,A dan D manakala Ali dieja dengan A,L dan I. Ahmad tahi lalatnya satu, Ali tahi lalatnya tiga biji. Ahmad tidak pandai bermain tanah liat kerana lahir di US, manakala Ali memang mahir membuat kapal terbang dengan tanah liat kerana sewaktu darjah satu, beliau menang dalam pertandingan membina kapal terbang dengan tanah liat. Yang pasti Ahmad dan Ali berbeza cara ejaan nama menggunakan huruf jawi.

Potensi statik, potensi dinamik.

Begitulah contoh potensi statik yang menggunakan satu perspektif – biasanya menggunakan elemen fizikal seperti tarikh lahir, tahi lalat, jenis mata, atau tanah liat. Yang dimaksudkan potensi statik ialah kerana ‘pemegang mohor’ potensi ini ialah si trainer itu sendiri. Tidak diketahui oleh orang lain kecuali sudah diberi lisen.

Potensi statik ini menyebabkan si pendengar akan kekal dengan potensi dan tidak mampu untuk berkembang. Katakan Ahmad sudah dapat RM 30,000 sebulan, layakkah untuk berhenti? Kalau sudah kahwin tetapi dapat pasangan yang pendiam, perlukah cerai ?  Kalau ayah ibu tidak berkasih sayang, perlukah ‘diderhakai’?

Kekadang penerangan di atas dijawab begini: “Kalau penjaga belum berkasih sayang, awak belikan BMW X5 menggunakan RM 30,000 itu tadi. Tentu mereka akan berkasih sayang. Atau berikan sebuah Mercedes mata belalang untuk si pasangan agar ia berkata-kata dengan anda.”

Sudahlah teknik pelik, diberi pula jawapan mengecewakan. Ia banyak berlaku apabila potensi dilihat dengan akal yang kurang bernaqal.

Potensi dinamik

Apabila Tuhan menyatakan bahawa telah diciptakan manusia sebaik-baik kejadian, ia membuka ruang luas untuk diredah dan diluaskan. Bukan sahaja RM 30,000 sebulan, malah RM 3 juta sebulan pun boleh menjadi potensi manusia jika itu diperlukan dan kembali kepada Tuhan. Namun kalau diperlukan ialah RM 3000 dan sudah ditentukan, hidup perlu diteruskan kerana yang utama ialah usaha menuju spiritual yang tinggi.

Potensi dinamik mampu difahami dan dijelajah oleh setiap individu, tanpa perlu tunggu si pakar motivasi untuk hadir menceritakan pelbagai perkara yang pelik-pelik. Tidak perlu sang trainer bawa lembaran demi lembaran serta tanah liat untuk membuktikan potensi diri padahal ia semua ditafsirkan oleh akal si trainer sahaja.

Potensi dinamik memberi ruang setiap insan meneroka dan berfikir dengan kerangka yang luas.

Apabila diberi potensi statik, si pendengar akan mengadu kepada si trainer atau penceramah selalu. Kalau diberi potensi dinamik, si pendengar akan terus mencari pelbagai sumber bagi melonjakkan potensi dan bukan hanya merujuk kepada seorang insan sahaja. Malah pedoman dalam al_Quran menunjukkan kaedah Nabi ialah untuk mengajarkan Quran bagi memastikan manusia
tidak menyembah Nabi.

Tidaklah patut bagi seseorang manusia yang Allah berikan kepadanya Kitab ugama dan hikmat serta pangkat Nabi, kemudian ia tergamak mengatakan kepada orang ramai: “Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang menyembahku dengan meninggalkan perbuatan menyembah Allah”. Tetapi (sepatutnya ia berkata): “Hendaklah kamu menjadi orang-orang Rabbaniyin (yang hanya menyembah Allah Taala – dengan ilmu dan amal yang sempurna), kerana kamu sentiasa mengajarkan isi Kitab Allah itu, dan kerana kamu selalu mempelajarinya. (Surah Ali Imran ayat 79)

Hatta Nabi dingatkan tentang cabaran ‘disembah’, apatah lagi si penceramah, trainer, pakar motivasi , bos atau siapa sahaja orang biasa. Mengembalikan kepada Quran dan Tuhan menjadi formula praktikal.

Facebook Comments:

1 Comment

  1. Hadi Rofiee says:

    Assalamu’alaikum.

    Artikel Potensi statik, potensi dinamik menarik perhatian.

    Saya terkesan dengan ungkapan penuh inspirasi ini: “Apabila Tuhan menyatakan bahawa telah diciptakan manusia sebaik-baik kejadian, ia membuka ruang luas untuk diredah dan diluaskan”.

    Jutaan terima kasih diucapkan. 🙂

Leave a Comment

Read previous post:
Beberapa topik penting jati diri untuk penceramah dan jurulatih

Apakah yang perlu disentuh jika anda diminta untuk memberi ceramah atau latihan tentang jatidiri? Adakah jatidiri Melayu atau Cina atau...

Close