Manual Kehidupan Yang Tidak Bengkok dan Herot


Apabila Ahmad masuk bekerja, pengurus beliau memberikan sebuah manual untuk dibaca dan difahami serta diikuti. Ahmad bersungguh-sungguh untuk memahaminya. Selang seminggu, selepas difahami dan dilaksanakan, pengurus besar memanggil Ahmad. Beliau bertanyakan mengapa melakukan sesuatu yang tidak menurut kepada kehendak syarikat. Ahmad terkejut. Setahunya beliau sudah mengikut kepada apa yang tertulis dalam manual yang diberikan. Si pengurus besar minta dibawakan manual tersebut. Beliau menggeleng-gelengkan kepala.

Manual tersebut adalah manual lama. Manual terkini ada dalam simpanan beliau, dan mempunyai sedikit perbezaan. Lebih penting dari itu, si pengurus besar menunjukkan beberapa kesilapan dalam manual sebelum itu yang boleh mengakibatkan kemalangan dan kerugian syarikat.

Ahmad angguk.

“Kita ubah manual ini agar ia tidak silap. Tapi kita yakin pasti ada kesilapan juga kerana yang membuatnya juga adalah orang yang selalu ada silap. Biasalah kan ? ” senyum pengurus besar tersebut.

Menurut Peter M Senge dalam bukunya The Fifth Discispline, salah satu ciri dalam sesebuah sistem ialah ‘yesterday solution is today’s problem’. Penyelesaian masa lalu boleh menjadi masalah zaman sekarang kerana pelbagai perbezaan yang berlaku – namun di peringkat Pencipta, Dia tahu manakah cara terbaik agar yang dahulu, kini dan akan datang tetap sesuai dengan undang-undang alam.

Tidak ada kebengkokan

Segala puji terentu bagi Allah yang telah menurunkan kepada hambaNya (Muhammad), Kitab suci Al-Quran, dan tidak menjadikan padanya sesuatu yang bengkok (terpesong) (Q S18: 1)

Manusia pasti akan meletakkan manual yang sahih lebih utama daripada manual yang ada pelbagai kesilapan. Inilah sistem nilai yang difahami manusia. Inilah cara pandang manusia yang rasional. Namun dalam realiti, nilai ini kekadang akan diganggu gugat oleh pelbagai perkara lain. Inilah yang menyebabkan cara pandang perlu luas – dan kerana ilmu yang terhad di peringkat manusia, sistem kepercayaan perlu dimantapkan.

Mengapa perlu percaya?

Apakah yang anda akan baca selepas ayat ini ? Sudah tentu anda tahu ia perlulah berkaitan dengan ayat sebelum ini. Tapi tahukah perkataannya seratus peratus ? Tentu tidak. Kepercayaan diperlukan kerana kita tahu apa yang akan berlaku di hadapan atau pada dimensi yang tidak mampu kita kesani.

Orang yang ingin berjaya perlu mengawal dan memahami lebih banyak dimensi. Kalau kejayaan hanyalah melibatkan apa yang kita nampak sahaja, ia akan bersifat jangka masa pendek sahaja. Malah apa yang ada dalam enjin kereta juga kita tidak tahu, namun kita tetap percaya bahawa komponen yang ada itu cukup baik untuk menggerakkan kereta kita ke tempat kerja atau balik kampung.

PERCAYA, CARA PANDANG dan NILAI amat perlu diletakkan pada tempat yang sesuai agar kita mengenalpasti apakah manual terbaik. Kalau anda sudah kenalpasti manual terbaik berasaskan konsep PERCAYA, anda sudah bersedia memulakan perjalanan kehidupan yang makin mencabar. Jangan bimbang, kerana anda akan disiapkan dengan bekalan mantap dari Surah al-Kahf – kalau anda ingin PERCAYA.

 

Facebook Comments:

Leave a Comment

Read previous post:
Siri Penulisan Pengurusan Kehidupan dari Surah al-Kahf

Surah al-Kahf adalah surah yang berada di tengah-tengah al-Quran - satu surah yang menyiapkan diri seseorang untuk menghadapi kehidupan penuh...

Close