Objektif Yang Salah Memberi Hasil Yang Salah.

 

Objektif Membina Kekayaan

Ekonomi dan bisnes / kewangan adalah dua subjek yang berbeza namun keduanya saling berkaitan. Dan ianya adalah antara subjek yang menjadi kegemaran ramai kerana ia secara langsung menyentuh tentang hal duit dan kekayaan.

Kita mahukan ekonomi yang bagus supaya bisnes / sumber kewangan kita dapat bergerak dengan bagus dan menghasilkan kekayaan untuk kita.

Namun sebelum mempunyai ekonomi, bisnes dan sumber pendapatan yang dapat menjana kehidupan yang diidamkan, elok kita lihat apa objektif dan visi yang diguna pakai dalam doktrin ekonomi dan bisnes pada masa sekarang.

Dan kita akan lihat bagaimana kesan visi dan objektif yang salah akan membawa kepada fenomena keuntungan pada satu pihak minoroti, mengaut kekayaan diatas kesengsaraan pihak majoriti masyarakat.


Doktrin Para ‘Pakar’ Ekonomi Dunia.

 

Sesiapa yang belajar tentang ekonomi, perkara asas yang akan dipelajari adalah tentang masalah dalam ekonomi (the basic, central or fundamental economic problem). Atau juga diistilahkan scarcity.

Doktrin ekonomi daripada sekolah-sekolah perniagaan dunia ini menyatakan bahawa kita hidup diatas bumi yang mempunyai sumber yang terhad. Dan sumber yang terhad ini, tidak dapat menampung kehendak dan keinginan manusia yang tidak terhad (Wikipedia: Scarcity)

Sumber yang terhad itu adalah (Wikipedia: Resource) :-

1. Sumber asli.
2. Sumber manusia.
3. Sumber yang nyata / tak nyata.

Kata mereka, sumber ini perlu diuruskan dengan baik dan diagihkan dengan berkesan. Logik bukan? Ya, untuk mereka. Oleh sebab mereka yang membina teori ini, maka tentulah ‘dengan baik dan berkesan’ itu bermaksud perut mereka perlulah didahulukan daripada yang lain.

Cita-Cita Ahli Bisnes.

 

Ketika belajar subjek kewangan dan perniagaan, saya diajar bahawa: Objektif sesuatu perniagaan didirikan adalah untuk memaksimumkan kekayaan pemilik perniagaan (to maximize the shareholder wealth).

Pelajar jurusan bisnes yang lain pasti berkongsi maklumat yang sama dengan saya. Sebab, kita semua difikirkan oleh profesor dan pakar yang mengkaji dan menulis buku-buku teks perniagaan didunia.

Jika anda seorang pekerja, adakah objektif perniagaan tersebut menarik bunyinya? Kalau saya boss tentulah amat menarik. (duit… duit…duit… hehehe… kamu semua mesti bekerja keras untuk ‘syarikat kita’)

Sumber Yang Tidak Terhad.

 

Secara ringkasnya, kita tidak mempunyai sumber yang terhad. Hanya kemampuan akal manusia sahaja yang terhad. Kalau kita tahu bahawa sumber, sebagai contoh minyak akan kering dan habis, kita boleh mencari alternatif lain untuk menggantikannya.

Untuk itu, kita perlulah berdoa kepada Tuhan agar memberikan kita ilham dan kekuatan untuk menggantikan sumber itu dengan sesuatu yang baru.

Keindahan ekonomi mentaliti tauhid adalah, apabila masalah (problem) berlaku, kita akan segera meminta pertolongan kepada Allah kerana kita yakin bahawa Allah sahaja yang dapat menyelesaikan masalah itu. Sedangkan manusia hanya pengurus (khalifah) yang penuh kekurangan.

Allah itu adalah the unlimited resources, Yang Maha Kaya, Yang Maha Pemberi Rezeki. Tidak siapa dapat memberi apa yang Allah tahankan, dan tidak siapa dapat menahan apa yang Allah ingin berikan.

Niat Berwawasan

 

Syarikat yang hebat tidak didirikan semata-mata untuk mengaut keuntungan. Lebih dari itu mereka wujud untuk membina visi yang mereka yakini dapat membawa manfaat yang besar kepada manusia. Mereka wujud atas kesedaran apa tujuan (purpose) kehadiran mereka diatas dunia.

Menariknya, perkara ini diamalkan oleh syarikat-syarikat gergasi yang berjaya bertahan selama berpuluh-puluh tahun. Mereka faham akan konsep tujuan (purpose) untuk membina dunia yang lebih baik dan ada perkara yang lebih besar selain mencari keuntungan. (Built to Last: Successful Habits of Visionaries Company; Jim Collins & Jerry Porras)

Mereka melihat keuntungan adalah perkara kedua. Keuntungan akan datang dengan sendirinya apabila syarikat mempunyai visi yang jelas, kepimpinan yang berkesan dan sentiasa berinovasi.

Jika saya pekerja, mengapa saya perlu mengerah keringat kerana saya tahu nanti akhirnya keuntungan hanya dinikmati oleh orang atasan sahaja.

Dan pekerja juga akan lebih mengabaikan syarikat. Contoh seperti jika mereka lihat paip air yang terbuka tanpa penggunaan, mereka akan mengabaikannya sahaja.

Mengapa mereka harus kisah tentang pembaziran? Ini bukan syarikat mereka dan orang-orang kaya diatas akan membayarnya.

Bisnes yang mengejar duit tidak dapat memberi manfaat maksimum dari segi produk dan perkhidmatan kepada masyarakat. Dalam masa sama, mereka menumbang merosakkan nilai dan karekter pekerja mereka.

Hanya Allah Yang Maha Tahu.

Facebook Comments:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Read previous post:
Program Mendekatkan Diri Dengan al-Quran

Program Fahami al-Quran Kaedah al-Mubin. Modul yang diimport dari Indonesia. Terhad kepada 20 tempat sahaja. Di hujung program ini, anda

Close